
SERENDAH 13 Apr - Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam  ini mengumumkan Datuk Zaid Ibrahim secara rasmi sebagai calon Pakatan  Rakyat akan mewakili gagasan itu dalam pilihan raya kecil P094 Parlimen  Hulu Selangor 25 April depan sambil menyifatkan beliau telah 'diuji'.
Pengumuman  yang dibuat tepat pukul 10.58 malam di Kompleks Sukan dan Komuniti  Serendah dihadapan lebih 5,000 penyokong Pakatan Rakyat yang telah  menunggu dengan sabar sejak pukul 8 malam sekaligus menamatkan spekulasi  media mengenai calon yang diplih bagi bertanding tersebut.
Anwar  yang memulakan ucapan beliau pada pukul 10.45 malam  membuat pengumuman  itu Anwar berkata keputusan memilih Zaid dibuat setelah pucuk pimpinan  KEADILAN bermesyuarat serta menyaring kesemua calon yang layak secara  teliti.
"Zaid adalah seorang yang istimewa kerana belum ada  dalam sejarah negara seorang Menteri sanggup berhenti kerana hendak  pertahankan hak rakyat berbanding dengan pemimpin Umno yang merangkak  cium tangan pemimpin sebab nak jadi menteri.
"Zaid ini degil  pertahankan prinsip, beliau tidak boleh terima bila kerajaan guna  undang-undang rakus tindas rakyat. Beliau kata,'enough is enough, here's  my resignation letter'. Hari dia letak jawatan hari yang sama juga saya  adakan pertemuan sulit dengan dia. Saya kagum beliau tunjuk semangat  korban untuk rakyat.
"Beliau menjelajah keseluruh negara, dia  beritahu saya samada dia dipilih atau tidak dipilih sebagai calon  beliau tetap berkempen untuk parti. "Beliau sebagai peguam tinggal di  Selangor selama lebih 30 tahun dan rekod beliau sebagai Ahli Parlimen  Kota Bharu dia jaga kawasan dengan baik, saya pasti beliau akan memberi  khidmat jauh lebih baik kepada rakyat dan saya minta sokongan dan mandat  kepada dia.
"Bila Umno ketahui kita akan calonkan Zaid mereka  adakan mesyuarat tergempar petang tadi. Saya tidak kira Palanivel atau  orang lain atau Umno kita akan pertahankan semangat juang untuk membawa  perubahan. Zaid akan wakili semua masyarakat Melayu, Cina, India dan  Orang Asal di Hulu Selangor," kata Anwar semasa memperkenalkan Zaid.
Turut  hadir Majlis Pengumuman Calon Pakatan Rakyat termasuk Presiden KEADILAN  Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden KEADILAN, Dr  Syed Husin Ali Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Naib Presiden  DAP, Dr Tan Seng Giaw.

Dalam ucapan sulungnya sebagai calon  Pakatan Rakyat, Zaid berkata beliau amat memahami masalah rakyat  Selangor.
"Saya bersyukur diberi kepercayaan menjadi calon  bagi Pakatan Rakyat dan saya terharu kerana saya tahu saya ahli parti  yang baru tetapi inilah pengorbanan kawan-kawan di Hulu Selangor,  kepimpinan Pakatan Rakyat Selangor dan pucuk pimpinan KEADILAN yang beri  peluang kepada saya. Saya rakamkan penghargaaan kepada mereka dan saya  terima amanah ini dengan penuh kesedaran dan keinsafan. Beban  yang dipikul oleh pimpinan adalah berat saya mahu sama-sama pikul beban  itu supaya kerajaan yang zalim ini kita atasi.
"Saya bukan orang  luar, saya sudah bermastautin lama di Selangor dan saya tahuu masalah  orang Selangor dan Hulu Selaqngor, orang miskin, nasib peneroka Felda.  Negara kita kaya tapi kerana tamak tidak cukup untuk rakyat.  Dengan sokongan rakyat saya boleh jadi suara di Hulu Selangor," kata  Zaid dalam ucapan ringkas beliau.