Ahad, 9 Disember 2018

HIMPUNAN ICERD LEBIH BERSIH DARIPADA HIMPUNAN BERSIH 2.0 - 5.0


ADA yang kata hanya 55 ribu, ada yang dakwa lebih 500 ribu, ada yang letak 1.5 juta dan ada yang menjangkakan sejuta peserta hadir ke Himpunan Tolak ICERD yang berlangsung di Dataran Merdeka atau apa yang digelar Himpunan 812. Tidak ada suatu mekanisma terbaik bagi mengira kehadiran peserta itu. Limpahan mereka, membingungkan semua pihak kerana bagi yang ingin mendakwa himpunan ini gagal, mereka akan meletakkan jumlah yang sedikit. Manakala bagi yang suka memperbesar-besarkan kehebatan mereka, akan menokok tambah bilangan sehingga tidak masuk akal.
Ketika himpunan berlangsung, tiada laporan berkenaan salah laku peserta. Tiada kedengaran tembakan amaran oleh pihak berkuasa kerana kedegilan peserta, melawan arahan polis. Tidak kelihatan tangkapan dibuat atas apa-apa alasan perlanggaran undang-undang. Tidak terlihat juga kelibat trak FRU yang suatu ketika dahulu, sangat sinonim dengan peserta, sama ada mengejar mereka, mahupun menyemburkan air kimia sebagai acara khas antara pihak berkuasa dengan peserta seperti bermain polis sentri gayanya.
Kejadian ketika perhimpunan Bersih pada masa lalu.

Tiada kenderaan polis diranapkan, tiada anggota pihak berkuasa dikepung atau dicederakan. Tiada kedai yang dimusnahkan, malah penjaja atau pemilik kedai makan yang menjalankan perniagaan mereka, sangat gembira dengan pelanggan yang memenuhi setiap inci ruang perniagaan mereka. Tinggal lagi adakah mereka sempat melayani pelanggan mereka yang berpusu-pusu itu atau tidak. Namun, datang peserta sebagai petualang merosakkan perniagaan mereka, tidak sekali. Malah ada juga terbaca, penyokong PH yang dalam keadaan mencarut dan memaki peserta, turut mahu berniaga pada masa perhimpunan itu. Itulah nilai kepercayaan mereka terhadap himpunan aman ini.
Peserta beratur mengikut garisan yang dibuat oleh pimpinan. Yang datang dari Sogo, beratur dengan sopan. Yang datang dari Masjid Jamek, melangkah gagah. Yang datang dari Masjid Negara, menapak seiring dan yang sudah sedia menunggu di Dataran Merdeka, tetap menunggu walaupun hujan dan panas. Begitu berdisiplin mereka berhimpun, bukan untuk bertumbuk, berkumpul bukan untuk merusuh. Berjalan seiringan, bukan untuk memecah perpaduan. Tujuan mereka satu, untuk menunjukkan kepada sesiapa sahaja bahawa jika agama Islam diperkotak-katikkan, mereka akan bangun, seiya sekata, mempertahankan keagungan agama ini. Entah dari mana datangnya mereka ini, tidak terbilang arahnya.
Peserta himpunan ICERD mengutip sampah setelah berakhir himpunan aman tersebut.

Sampah dikutip seusai perhimpunan. Lalu lintas dijaga kemas oleh Jabatan Amal. Tanpa kehadiran polis sekalipun untuk mengawal, mereka sudah terlatih, memastikan displin peserta mengikut kehendak pihak berkuasa. Ceramah pimpinan, menaikkan semangat peserta, menyedarkan mereka dari lamunan khayalan keindahan janji-janji palsu musuh Islam dalam menarik umat kepada mereka. Inilah suasana dan keadaan yang sangat biasa yang boleh ditonton oleh semua pihak. Peserta datang tanpa dibayar sama ada tambang, mahupun makan. Entahlah bagi ahli Umno yang mungkin pertama kali mengeluarkan belanja dari poket sendiri. Jangan direka cerita ahli PAS dibekalkan wang tambang atau duit makan mahupun saku. Tiada manusia waras yang akan percaya.
Tiada kedengaran kidung yang menghasut, menghina bangsa dan agama lain. Mereka dilarang mencaci maki kepercayaan lawan. Mereka tidak dibiarkan mencarut marahkan musuh kerana ianya bukan akhlak Islam yang diajarkan oleh Nabi. Tiada potret pimpinan mana-mana gerakan yang dibakar atau dihina dek kerana geram yang menggunung kepada mereka. Kesemua dendam dan amarah, disimpan, hanya pergerakan memberi amaran kepada bukan Islam agar tidak terus menerus menghina Islam. Tiada juga adegan gesel-menggesel berlainan jantina. Dalam kesibukan berhimpun, terlihatlah ribuan manusia melakukan solat berjemaah, kewajipan tiada ditinggalkan. Menambahkan lagi kepercayaan orang ramai. 

Pastinya jika PAS mengepalai perhimpunan, polis, tentera dan anggota keselamatan, tidak dipeningkan oleh gelagat sesetengah peserta yang degil. PAS akan memastikan kesemua pesertanya mengikut landasan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Tidak boleh ini dinafikan. PAS berjaya mendidik ahli-ahli mereka berpegang dengan disiplin yang sangat tinggi. Ia sentiasa menyusahkan lawan PAS kerana penanda aras disiplin yang tinggi ini. Pasti akan ada suara berbunyi, kalau PAS, pasti tidak kecoh. Kalau PAS mesti bersih. Kalau PAS, mesti Jabatan Amal akan membantu. 

Bagi sesetengah pihak, berita ini kelihatannya seperti satu berita yang mengagumkan. Mereka yang tidak biasa dengan disiplin PAS, akan merasakan kehebatannya, mengujakan. Tetapi bagi PAS, ianya bukanlah satu berita yang menghairankan. Biasa-biasa sahaja kerana semua disiplin ini telah diterapkan ahli PAS dalam setiap himpunan tajaan mereka. Ianya sudah menjadi satu tabiat, bukan hal yang baharu dibuat-buat. Rakyat dan pihak berkuasa tidak ragu jika PAS menjanjikan perhimpunan aman, kerana pastinya keamanan yang akan diberikan jika tiada provokasi. Disiplin ini datangnya dari Islam. PAS tidak ada kelebihan melainkan jika terus menerus berpaut pada dahan Islam. Taniah kepada semua peserta atas solidariti bagi menjadi benteng mempertahankan hak dan keistimewaan Melayu dan Islam.

MOHD NASIR ABDULLAH
9 Disember 2018 - HARAKAHDAILY 9/12/2018

Selasa, 4 Disember 2018

ICERD - KESAN DAN IMPLIKASI TERHADAP ARTIKEL 153

Apa itu ICERD?

International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD) atau Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Ras Antarabangsa ialah sebuah konvensyen (perjanjian) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. ICERD adalah konvensyen antarabangsa yang mewarisi asas penting daripada Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia 1948, dan terlebih dahulu Magna Carta 1215. Secara sejarahnya, definisi hak asasi ini dibentuk beracuankan pemahaman Barat.

Sebagai sebuah hak asasi manusia generasi ketiga, Konvensyen tersebut meminta anggotanya untuk menghapuskan diskriminasi terhadap kaum dan menggalakkan kesefahaman di antara semua kaum. Namun, Konvensyen ini juga menghendaki ahli anggota untuk mengharamkan ucapan benci (hate speech) dan menjenayahkan penyertaan dalam organisasi perkauman.

Konvensyen ini juga mengandungi sebuah mekanisme aduan berindividu, menjadikannya dapat dikuatkuasakan terhadap anggotanya dengan berkesan. Ini telah menyebabkan pembangunan perundangan terhad terhadap tafsiran dan pelaksanaan Konvensyen ini. 

Konvensyen ini telah diterima pakai dan dibuka untuk ditandatangani oleh Perhimpunan Agung PBB pada 21 Disember 1965, dan mula berkuatkuasa pada 4 Januari 1969. [1

Namun, hingga ke hari ini, Malaysia tidak mengesahkannya. Malaysia adalah satu daripada 15 buah negara yang tidak mengesahkannya, termasuk Brunei dan Israel. 

Konvensyen ini dipantau oleh Jawatankuasa Penghapusan Diskriminasi Ras atau Committee on the Elimination of Racial Discrimination (CERD). 


Mengapa ICERD perlu ditolak?
Melalui Perlembagaan Persekutuan, Islam diiktiraf sebagai agama rasmi, namun agama lain tetap bebas untuk diamalkan. Pun begitu, penyebaran agama lain kepada orang Islam adalah dilarang.
Ini adalah kompromi awal atas kehendak Raja-Raja Melayu yang menjadi tonggak agama Islam, suatu agama yang diamal secara turun temurun di Malaysia (dulunya Tanah Melayu).
Kaum Melayu juga diberi beberapa keistimewaan. Ada institusi awam yang menjaga kepentingan Melayu seperti MARA, MRSM, UITM dan sebagainya. Ada juga peruntukan khas pemilikan tanah tertentu dibawah skim Tanah Rizab Melayu.
Keunikan yang disebut di atas menjadikan Malaysia negara yang hampir bebas konflik dan pertumpahan darah (kecuali tragedi 13 Mei). Rakyat hidup dalam harmoni sedang keistimewaan penduduk asal iaitu kaum Melayu dihormati.
Soalnya, kenapa perlu kita mengambil acuan hak asasi Barat, sedangkan acuan kita lebih sejahtera, dan sesuai yang mana telah termaktub di dalam Artikel 153?

Isu ICERD. Siapa memulakan dahulu?
Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad ketika berucap di United Nation General Assembly (UNGA) sendiri telah menyebut di dalam ucapannya bahawa kerajaan Malaysia bersedia untuk meratifikasikan ICERD di dalam perhimpunan antarabangsa tersebut.
Tindakan kerajaan yang mahu meratifikasikan ICERD melalui kenyataan Menteri Perpaduan, Waythamoorthi telah mendapat tentangan dan bantahan yang hebat daripada rakyat, khusus orang Melayu di negara ini.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu bahawa kerajaan pimpinan beliau mahu meratifikasi ICERD setelah berunding dengan “semua pihak”. Kenyataan itu tidaklah terlalu berbeza daripada kenyataan yang dibuatnya di perhimpunan agung PBB September lepas. Katanya, Malaysia akan meratifikasi semua baki konvensyen PBB, tetapi hanya selepas diadakan rundingan mengenainya. [2]
Triti PBB lain yang masih tidak ditandatangani oleh Malaysia adalah Konvenan Hak Sivil dan Politik, Konvenan Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya, Konvenan Perlindungan Hak Semua Pekerja Migran dan Anggota Keluarga Mereka, Konvenan Perlindungan Semua Orang Daripada Penghilangan Paksa, Konvenan Mengenai Status Pelarian dan Konvenan Mengenai Penyiksaan dan Layanan serta Hukuman Zalim, Tidak Berperikemanusiaan dan Menjatuhkan Maruah.
ICERD mendapat perhatian di Dewan rakyat bulan lepas apabila ia mendapat tentangan dari MP Pembangkang kerana berlaku percanggahan dengan perlembagaan persekutuan jika ia diratifikasikan.

Perhimpunan Bantah ICERD
UMNO dan PAS seluruh Malaysia akan teruskan perhimpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi (ICERD) pada 8 Disember ini walaupun Pejabat Perdana Menteri telah memutuskan bahawa kerajaan tidak akan meratifikasi ICERD pada 23 Nov 2018 yang lalu.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata himpunan bantah ICERD yang dijadualkan berlangsung pada 8 Disember itu lebih bersifat pandangan politik.
Beliau berkata, kerajaan hari ini masih bercelaru terhadap keputusan untuk meratifikasi ICERD atau tidak berikutan terdapat segelintir menteri yang masih mengeluarkan kenyataan tidak selari dengan pandangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Mengapa ia (perhimpunan) diteruskan? Kerana kita ada pandangan politik iaitu apabila ada segelintir menteri yang membuat kenyataan nak tangguh, tunggu dulu (berkaitan ratifikasi ICERD). Ini menunjukkan kerajaan masih celaru sedangkan kita perlukan penegasan. [3]
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang, turut memberi jaminan bahawa perhimpunan bantah ICERD akan berjalan lancar tanpa sebarang perkara tidak diingini atau provokasi.
“Kita beri jaminan dan kita juga akan bekerjasama dengan pihak polis untuk mengawal peserta perhimpunan supaya ia berjalan lancar.
“Perkara ini (meratifikasi ICERD) berkait dengan orang Islam dan Melayu secara khusus tanpa mengira latar belakang politik termasuk polis itu sendiri. Justeru, kita merasa bertanggungjawab terhadapnya kecuali orang yang tidak memahami isu ini dan merasakan ia perkara remeh,” katanya.
Penyertaan UMNO dalam perhimpunan di ibu negara pada 8 Disember ini adalah untuk mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang tidak akan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata UMNO tidak berhasrat untuk menarik diri daripada menghadiri perhimpunan itu walaupun kerajaan membuat sudah membuat keputusan mengenai ICERD.
“Kita akan ikut rancangan, UMNO akan hadir perhimpunan 8 Disember ini dan ucapkan terima kasih kepada kerajaan tidak akan terus meratifikasi ICERD. [4]
Tujuan himpunan ini diteruskan bagi menunjukkan umat Islam bangkit bersatu untuk mencerminkan solidariti mereka menjaga kesucian Perlembagaan Persekutuan dengan agama Islam adalah agama rasmi negara serta mahu mempertahankan perkara-perkara penting membabitkan hak asal dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan kontrak sosial (berkaitan) orang Islam, kaum Melayu dan Bumiputera.

Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan
Artikel 153 Perlembagaan Malaysia memberikan tanggungjawab kepada Yang di-Pertuan Agong menjaga hak keistimewaan orang Melayu dan penduduk asal Malaysia, secara kumpulannya dirujuk sebagai Bumiputera. Artikel mengspesifikkan bagaimana kerajaan pusat melindungi kepentingan kumpulan-kumpulan ini dengan mendirikan kuota kemasukan ke dalam perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam. Ia juga biasanya dianggap sebagai sebahagian daripada sosial kontrak, dan biasanya dikatakan sebagai pertahanan legal bagi ketuanan Melayu - kepercayaan orang Melayu bahawa mereka adalah penduduk asal Malaysia. [5]
Berikut adalah penyataan penuh Artikel 153 Perlembagaan Malaysia.
Perkara 153. Perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit, dsb. bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.
(1) Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.
(2) Walau apa pun apa-aa jua dalam Perlembagaan ini, tetapi tertakluk kepada peruntukan Perkara 40 dan peruntukan Perkara ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjalnakan fungsinya di bawah Perlembagaan ini dan undang-undang persekutuan mengikut apa-apa cara yang perlu untuk meindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan untuk memastikan perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak apa-apa perkadaran yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong daripada jawatan dalam perkhidmatan awam (selain perkhidmatan awam sesuatu Negeri) dan daripada biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya atau kemudahan khas lain yang diberikan atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan dan, apabila apa-apa permit atau lesen dikehendaki oleh undang-undang persekutuan bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan, maka, tertakluk kepada peruntukan undang-undang itu dan Perkara ini, daripada permit dan lesen itu.
(3) Yang di-Pertuan Agong boleh, bagi memastikan, mengikut Fasal (2), perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak jawatan-jawatan dalam perkhidmatan awam dan biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain, memberikan apa-apa arahan am yang dikehendaki bagi maksud itu kepada mana-mana Suruhanjaya yang baginya Bahagian X terpakai atau kepada mana-mana pihak berkuasa yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi pemberian biasiswa, danasiswa atau keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain itu; dan Suruhanjaya atau pihak berkuasa itu hendaklah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.
(4) Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini dan undang-undang persekutuan mengikut Fasal (1) hingga (3) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh melucutkan mana-mana orang daripada apa-apa jawatan awam yang dipegang olehnya atau daripada terus mendapat biasiswa, danasiswa atau keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain yang dinikmati olehnya.
(5) Perkara ini tidaklah mengurangkan peruntukan Perkara 136.
(6) Jika menurut undang-undang persekutuan yang sedia ada suatu permit atau lesen dikehendaki bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan, maka Yang di-Pertuan Agong boleh menjalankan fungsinya di bawah undang-undang itu mengikut apa-apa cara, atau memberikan apa-apa arahan am kepada mana-mana pihak berkuasa yang dipertanggungkan di bawah undang-undang itu dengan pemberian permit atau lesen itu, sebagaimana yang dikehendaki untuk memastikan perizaban apa-apa perkadaran daripada permit atau lesen itu bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong; dan pihak berkuasa itu hendaklaah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.
(7) Tiada apa-apa jua dalam Perkara ini boleh berkuat kuasa untuk melucutkan atau memberi kuasa supaya dilucutkan apa-apa hak, keistimewaan, permit atau lesen mana-mana orang, yang terakru kepada orang itu atau yang dinikmati atau dipegang oleh orang itu atau untuk memberi kuasa untuk menolak pembaharuan mana-mana permit atau lesen mana-mana orang atau untuk menolak pemberian apa-apa permit atau lesen kepada waris, pengganti atau penerima serah hak seseorang jika pembaharuan atau pemberian itu mungkin semunasabahnya dijangkakan mengikut perjalanan biasa keadaan.
(8) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, jika menurut mana-mana undang-undang persekutuan apa-apa permit atau lesen dikehendaki bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan, maka undang-undang itu boleh membuat peruntukan bagi perizaban apa-apa perkadaran daripada permit atau lesen itu bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak; tetapi tiada undang-undang sedemikian boleh, bagi maksud memastikan perizaban itu;
(a) melucutkan atau memberi kuasa supaya dilucutkan apa-apa hak, keistimewaan, permit atau lesen mana-mana orang, yang terakru kepada orang itu atau yang dinikmati atau dipegang oleh orang itu; atau
(b) memberi kuasa untuk menolak pembaharuan mana-mana permit atau lesen mana-manaa orang atau untuk menolak pemberian apa-apa permit atau lesen kepada waris, pengganti atau penerima serah hak mana-mana orang jika pembaharuan atau pemberian itu mengikut peruntukan yang lain dalam undang-undang itu mungkin semunasabahnya dijangkakan mengikut perjalanan biasa keadaan, atau menghalang mana-mana orang daripada memindahkan hakmilik bersama dengan perniagaannya apa-apa lesen yang boleh dipindahkan hakmiliknya untuk mengendalikan perniagaan itu; atau
(c) jika tiada permit atau lesen dahuluya dikehendaki bagi mengendalikan pertukangan atau perniagaan itu, memberi kuasa untuk menolak pemberian permit atau lesen kepada mana-mana orang bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan yang telah dijalankan olehnya secara bona fide sebaik sebelum undang-undang itu mula berkuat kuasa, atau memberi kuasa untuk menolak pembaharuan kemudiannya mana-mana permit atau lesen mana-mana orang, atau untuk menolak pemberian mana-mana permit atau lesen sedemikian kepada waris, pengganti atau penerima serah hak mana-mana orang itu jika, mengikut peruntukan yang lain dalam undang-undang itu, pembaharuan atau pemberian itu mungkin semunasabahnya dijangkakan mengikut perjalanan biasa keadaan.
(8A) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, jika di dalam mana-mana Universiti, Kolej dan institusi pendidikan lain yang memberikan pendidikan selepas Malaysian Certificate of Education atau yang setaraf dengannya, bilangan tempat yang ditawarkan oleh pihak berkuasa yang bertanggungjawab bagi pengurusan Universiti, Kolej atau institusi pendidikan itu kepada calon-calon bagi apa-apa kursus pengajian adalah kurang daripada bilangan calon yang layak mendapat tempat-tempat itu, maka adalah sah bagi Yang di-Pertuan Agong menurut kuasa Perkara ini memberikan apa-apa arahan yang perlu kepada pihak berkuasa itu untuk memastikan perizaban apa-apa perkadaran daripada tempat-tempat itu bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong; dan pihak berkuasa itu hendaklah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.
(9) Tiada apa-apa jua dalam Perkara ini boleh memberi Parlimen kuasa untuk menyekat perniagaan atau pertukangan semata-mata bagi maksud perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.
(9A) Dalam Perkara ini ungkapan “anak negeri” berhubung dengan Negeri Sabah atau Sarawak hendaklah mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Perkara 161A.
(10) Perlembagaan Negeri yang ber-Raja boleh membuat peruntukan yang bersamaan (dengan ubah suaian yang perlu) dengan peruntukan Perkara ini.
Terdapat perbezaan ketara di antara artikel 153 perlembagaan Malaysia dengan artikel 153 perlembagaan Singapura yang masing-masing menyebut mengenai hak istimewa orang Melayu. Artikel 153 (Malaysia) lebih spesifik dengan menjelaskan bagaimana hak-hak orang Melayu dan Bumiputra Malaysia dipertahankan.

Kontrak Sosial
Kontrak sosial di Malaysia merujuk kepada perjanjian oleh bapa-bapa kemerdekaan negara dalam Perlembagaan, dan merupakan penggantian beri-memberi atau quid pro quo melalui Perkara 14 - 18 yang berkenaan dengan pemberian kewarganegaraan Malaysia kepada orang-orang bukan Melayu, dan Perkara 153 yang memberikan hak istimewa rakyat kepada mereka daripada kaum bumiputera. Istilah ini juga kekadang digunakan untuk merujuk kepada bahagian-bahagian yang lain dalam Perlembagaan, seperti Perkara yang mengatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular.
Dalam konteks biasa yang berkaitan dengan hubungan ras, kontrak sosial telah kerap kali dibidaskan, termasuk juga oleh ahli-ahli politik dalam kerajaan campuran Barisan Nasional yang menegaskan bahawa tidak habis-habis bercakap tentang hutang orang-orang bukan Melayu kepada orang-orang Melayu terhadap kewarganegaraan yang diberikan telah merenggangkan golongan-golongan bukan Melayu daripada negara mereka. Kritikan-kritikan seumpama ini telah ditentang oleh media Melayu dan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), parti politik yang terbesar dalam Barisan Nasional. Banyak orang Melayu, biasanya daripada UMNO, telah mempergunakan kontrak sosial ini untuk mempertahankan prinsip Ketuanan Melayu.
Kontrak sosial selama ini telah lama diamalkan oleh para pemimpin terutamanya pemimpin dari parti kompenen Barisan Nasional. Tidak terdapat syarat-syarat formal mengenai kontrak sosial ini. Di bawah sedikit petikan mengenai kontrak sosial.
Perlembagaan Malaysia tidak merujuk kepada sebuah “kontrak sosial” (dari segi hak kewarganegaraan dan hak istimewa) secara ketara, dan tidak terdapat sebarang undang-undang atau dokumen yang pernah menjelaskan syarat-syarat kontrak sosial secara penuh. Pembela-pembelanya sering merujuk kepada Perlembagaan sebagai mengemukakan kontrak sosial, dan bapa-bapa kemerdekaaan juga bersetuju dengannya, walaupun rujukan kepada kontrak sosial tidak dibuat dalam Perlembagaan. Sebaliknya, kontrak sosial biasanya dianggap sebagai suatu persetujuan yang memberikan kewarganegaraan kepada orang-orang bukan Melayu dan bukan orang asli (kebanyakannya orang Malaysia Cina dan Malaysia India) sebagai ganti untuk pemberian hak keistimewaan kepada orang-orang Melayu dan orang-orang asli (dirujuk secara kolektif sebagai Bumiputera). Sebuah buku teks kajian Malaysia pendidikan tinggi yang menepati sukatan pelajaran kerajaan mengatakan: “Oleh sebab pemimpin-pemimpin Melayu bersetuju untuk melonggarkan syarat-syarat kewarganegaraan, pemimpin-pemimpin komuniti Cina dan India telah menerima kedudukan istimewa Melayu sebagai penduduk asli Malaya. Dengan penubuhan Malaysia, status kedudukan istimewa itu diperluas untuk merangkumi komuniti-komuniti penduduk asli Sabah dan Sarawak.”
Perlembagaan secara ketara memberikan tanah rizab Bumiputera, kuota dalam perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam, kuota untuk lesen perniagaan, dan kebenaran untuk memonopoli industri-industri yang tertentu, jika kerajaan membenarkan. Bagaimanapun pada hakikatnya, khususunya selepas pengenalan Dasar Ekonomi Baru Malaysia (NEP), akibat rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 ketika kaum Melayu hanya memiliki 4% daripada ekonomi Malaysia, hak-hak istimewa Bumiputera diperluas kepada bidang-bidang yang lain; kuota-kuota ditentukan untuk ekuiti Bumiputera dalam perbadanan awam, dan diskaun-diskaun sebanyak 5% hingga 15% untuk membeli kereta dan harta tanah diberikan.
Setengah-setengah orang mengatakan bahawa kecondongan terhadap orang-orang Melayu dalam pendidikan dan politik sebahagiannya merupakan tindak balas terhadap keupayaan orang-orang Malaysia Cina untuk memperoleh kebanyakan kekayaan negara itu. Bagaimanapaun, orang-orang Malaysia India boleh mengemukakan hujah bahawa merekalah yang mengalami kerugian yang paling banyak, walaupun ini boleh dipertikaikan.
Kerajaan ada mengundurkan sistem kuota untuk kemasukan ke universiti-universiti awam pada 2003 dan memperkenalkan dasar “meritokrasi”. Bagaimanapun, sistem baru ini dikritik secara meluas oleh orang-orang bukan Bumiputera kerana hanya memanfaatkan kaum Bumiputera yang ditempatkan dalam rancangan matrikulasi yang menonjolkan kerja kursus yang agak mudah sedangkan orang-orang bukan Bumiputera terpaksa mengambil Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Walaupun secara teori, orang-orang bukan Bumiputra boleh masuk aliran matrikulasi, ini jarang berlaku pada hakikatnya. Meritokrasi juga dikritik oleh sebilangan pihak dalam UMNO sebagai berdiskriminasi kerana ia mengakibatkan orang-orang Melayu luar bandar terkebelakang dalam kadar kemasukan universiti.
Suruhanjaya Reid yang menyediakan kerangka Perlembagaan menyatakan dalam laporannya bahawa Perkara 153, tulang belakang kontrak sosial, adalah bersifat sementara, dan menyesyorkan bahawa ia dikaji semula 15 tahun selepas kemerdekaan. Suruhanjaya juga menyatakan bahawa perkara itu dan peruntukan-peruntukannya hanya diperlukan untuk mengelakkan keadaan tiba-tiba yang tidak menguntungkan kepada orang-orang Melayu dalam persaingan dengan ahli-ahli masyarakat Malaysia yang lain, dan hak-hak istimewa yang diberikan kepada orang-orang Melayu oleh perkara itu harus dikurangkan secara beransur-ansur dan akhirnya dihapuskan. Bagaimanapun, disebabkan Peristiwa 13 Mei yang menyebabkan pengisytiharan darurat, tahun 1972 yang merupakan tahun kajian semula Perkara 153 berlangsung tanpa sebarang peristiwa.
Menurut penyokong-penyokong kontrak sosial, sebagai balasan untuk enakmen peruntukan-peruntukan yang pada asalnya bersifat sementara, orang-orang Malaysia bukan Melayu diberikan kewarganegaraan di bawah Bab I Bahagian III dalam Perlembagaan. Kecuali hak-haki istimewa Bumiputera, orang-orang bukan Bumiputera dianggap sebagai sama saja dengan orang-orang Bumiputera dan diberikan semua hak kewarganegaraan di bawah Bahagian II dalam Perlembagaan. Pada tahun-tahun kebelakangan ini, sebilangan orang telah mencuba untuk membekalkan warganegara-warganegara Melayu dengan lebih banyak hak politik menurut falsafah ketuanan Melayu. Kebanyakan penyokong ketuanan Melayu memperdebatkan bahawa hak-hak tambahan ini telah ditulis dalam undang-undang dan hanya perlu dipertahankan daripada pembangkang-pembangkang.
Apabila mengambil alih jawatan presiden UMNO, Tunku Abdul Rahman (kemudian menjadi Perdana Menteri Malaysia pertama) menyatakan bahawa “…apabila kami (orang-orang Melayu) menentang Malayan Union (yang menjejaskan kedudukan hak-hak orang Melayu), kaum-kaum lain tidak mengambil bahagian kerana mereka mengatakan ini hanya merupakan masalah Melayu, dan bukan masalah mereka. Mereka juga menunjukkan bahawa kesetiaan mereka adalah kepada negara-negara asal mereka dan oleh itu, menentang Laporan Barnes yang bertujuan untuk menjadikan bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan. Jika kami menyerahkan orang-orang Melayu kepada orang-orang yang dikatakan orang Malaya ketika kerakyatan mereka masih belum ditakrifkan, kami akan menghadapi banyak masalah pada masa hadapan.” Bagaimanapun, dia menambah bahawa “Bagi mereka yang mencintai dan berasa bahawa mereka terhutang kesetiaan yang tidak berbelah bagi, kami menyambut mereka sebagai orang Malaya. Mereka harus merupakan orang Malaya yang benar, dan mereka akan mempunyai hak-hak dan hak-hak istimewa yang sama dengan orang-orang Melayu.”
Ketiga-tiga di atas merupakan sentimen yang sering dimainkan oleh parti-parti politik sejak kebelakangan ini. Semangan muhibah dikalangan pemimpin-pemimpin awal negara seakan-akan dipermainkan oleh anak cucu mereka yang menjadi pemimpin parti-parti politik pada hari ini. Persoalannya ketika isu kontrak sosial dimainkan oleh pemimpin bukan melayu…di mana pemimpin-pemimpin Melayu terutama dari pembangkang tampil mempertahankan kontrak sosial yang sudah sekian lama terbina?? 

Adakah adil sekiranya kita membiarkan konsep Ketuanan Melayu ini dihapuskan dan diganti dengan konsep Ketuanan Rakyat (sedangkan Ketuanan Melayu juga adalah sama kecuali penekanan yang lebih diberikan kepada orang Melayu) yang belum terbukti lagi menjamin masa depan orang Melayu? Adilkah sekiranya anak-anak kita terpaksa mengharungi keperitan untuk ‘survive’ di masa hadapan sedangkan kita telah membesar dengan agak selesa sehingga apa yang kita kecapi setakat hari ini adalah hasil dari konsep Ketuanan Melayu. 

Diharap anak-anak muda faham akan kenapa walaupun negara kita sudah 60 tahun merdeka konsep ini masih digunapakai. Konsep ini bukan lah sesuatu yang baru dan sejarah membukti bahawa terpisahnya Malaysia dengan Singapura adalah akibat perbuatan tidak bertanggungjawab pemimpin parti induk DAP iaitu PAP yang memainkan isu ketuanan Melayu ini. 

Adakah anda lebih gemar konsep Ketuanan Melayu ini digugurkan dan digantikan dengan konsep Malaysian Malaysia atau konsep Ketuanan Rakyat??? Bukankah pemimpin parti seperti PKR, Amanah dan Bersatu ini merupakan anak-anak yang membesar hasil dari konsep Ketuanan Melayu ini. Cuba fikirkan di mana pemimpin-pemimpin ini berada sekiranya konsep Ketuanan Melayu dihapuskan dahulu?? Adakah mereka akan begelar pemimpin???