Khamis, 31 Disember 2009

SALAM SEMANIS GULA BUAT RAKYAT 1MALAYSIA - NAJIB

Rakyat mendapat hadiah tahun baru dari kerajaan apabila harga runcit gula dinaikkan sebanyak 20 sen sekilogram kepada RM1.65 di Semenanjung dan RM1.75 di Sabah dan Sarawak mulai 12 tengah malam ini.

Salam semanis gula dari Najib untuk rakyat 1Malaysia. Inilah hadiah yang paling berharga sempena sambutan tahun baru 2010. Ternyata slogan "Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan" dimemanfaatkan sebaik-baik mungkin.

Rabu, 30 Disember 2009

MISI SELAMATKAN MAHATHIR


KOTA KINABALU 29 Dis. - Kerajaan tidak akan menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat dakwaan seorang penulis Barat kononnya bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah membazirkan RM100 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penubuhan suruhanjaya bebas berkenaan tidak sesuai kerana tuduhan tersebut merupakan kandungan sebuah buku.

"Ada saja saranan ditubuhkan suruhanjaya diraja, tetapi dalam hal ini, tidak wajar dicadangkan suruhanjaya diraja ditubuhkan semata-mata kerana ada orang menulis sebuah buku.

"Apa yang penting adalah kita melihat masa depan. Semua Perdana Menteri telah memberi sumbangan yang besar sehingga membolehkan masyarakat kini menikmati pelbagai kemajuan.

"Jika tidak, Malaysia tidak akan menjadi maju seperti sekarang sehingga dianggap sebagai satu contoh," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di sini hari ini sebagai mengulas tindakan Barry Wain yang berpangkalan di Singapura menulis buku mengenai Dr. Mahathir ketika pentadbirannya bertajuk Malaysian Maverick: Mahathir in Turbulent Times.

Barry antara lain mendakwa Dr. Mahathir telah menyebabkan kerajaan kerugian sehingga RM100 bilion sepanjang era pentadbirannya.

Pengerusi DAP, Lim Kit Siang kemudian mahu kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat dakwaan tersebut.

Selasa, 29 Disember 2009

SIAPA KENAL PEMILIK NOMBOR TELEFON NIE!...

Mamat atau Minah penghantar SMS nie, nak apa sebenarnya!... Kalau nak berniaga video, ngko jual jer kat "pasar malam" atau kat "Petaling Street". Gila meroyan ker!... ape..., hantar sms serupa along ceti nak buat promosi.


Lebih 100 video "homemade yg terpanas"
utk koleksi anda! Jika mau, Sila balas YA.
Yang pasti SEKtified! Hanya utk umur 18 keatas, warning!!

Sender: +60134506312
SMS Center: +60193900000


Jikalau Anda Boleh Tahan Nikmat Koleksi Video Peribadiku
Yang Cukup Hebat dan Panas dlm handset ku!
Sila Htr msg YA ke 0135169330
Warning! Utk Umur 18 keatas.

Sender:
+60134310359
SMS Center:
+60193900000

KOMISYEN PUNCA PESAWAT MiG-29N HENDAK DITUKAR

Tun Dr. Mahathir Mohamad mempertikaikan langkah kerajaan yang disifatkannya sebagai tidak bijak apabila memilih untuk menggantikan pesawat MiG-29N dengan pesawat tempur pelbagai guna (MRCA) yang lain.

Bekas Perdana Menteri itu amat berharap supaya kerajaan membatalkan keputusan tersebut dan memilih untuk membaik pulih pesawat MiG-29N sedia ada.

Beliau turut menarik perhatian dengan menyatakan, penjualan dan pembelian pesawat oleh kerajaan mampu memberi keuntungan besar sehingga berjuta-juta ringgit kepada orang tengah.

"Apakah ada kepentingan orang tengah yang mempengaruhi keputusan menukar MiG-29 untuk beli (pesawat) yang baru?" katanya dalam entri terbaru bertajuk MiG-29 dalam blognya, www.chedet.co.cc.

Dr. Mahathir juga mempertikaikan kewajaran kerajaan mengesahkan bahawa pesawat pejuang itu sudah tidak dapat digunakan lagi, walhal usianya belum mencecah 20 tahun.

Menurut beliau, banyak negara lain yang turut menggunakan pesawat itu seperti India masih menggunakannya tanpa sebarang masalah dan tidak bertindak menukarkannya kepada pesawat lain.

"Saya percaya ada cara untuk baik pulih pesawat pejuang dan pesawat lain. Tak bolehkah kita baik pulih MiG-29N ini? Kalau kita tak boleh, orang Rusia mungkin boleh. Mungkin India juga boleh.

"Jika pesawat pejuang yang berharga ratusan jutaan hanya tahan 20 tahun, lebih baik kita tidak ada pesawat pejuang," katanya.

Tambah Dr. Mahathir, walaupun pesawat tentera Rusia lebih murah berbanding buatan Amerika Syarikat (AS), tetapi sejumlah wang yang besar masih terpaksa dibelanjakan untuk menukar kepada pesawat baru yang sudah pasti akan menelan kos jutaan ringgit.

"Dalam keadaan ekonomi negara sekarang, mampukah kita belanja ratusan juta untuk pesawat ganti?

p/s: Zaman pemerintahan chedet dulu mana ada perbelanjaan membazir semacam ini. Kah!... 3x

Isnin, 28 Disember 2009

GEROMBOLAN GAGAL SERAH MEMORANDUM DESAK PAS KELUAR PAKATAN SEMALAM

Sekumpulan penyokong gerombolan dianggarkan melebihi 20 orang berkumpul di perkarangan pejabat perhubungan PAS Selangor bagi menyerahkan memorandum mendesak PAS mengakaji semula kedudukan mereka dalam pakatan rakyat Selangor.

Desakan tersebut dibuat atas nama Badan Bertindak Gerakan Kesedaran Penyokong dan Pengundi Pas (GKPPNS) pada pukul 11.30 pagi semalam.

Mereka kononya tidak berpuas hati terhadap pimpinan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang didakwa mengenepikan PAS dalam memperjuangkan Islam dan bangsa Melayu.

Bagaimanapun memorandum tersebut tidak berjaya diserahkan semalam kerana pejabat ditutup dan hanya akan diserahkan kepada Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hassan Ali pada hari ini.

Dalam perkembangan sama, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dilaporkan menafikan penglibatan PAS dalam demonstrasi tersebut dan mendakwa ianya fitnah pihak tertentu yang mahu memecahbelahkan Pakatan Rakyat Selangor.

Berikut adalah SMS yang disebarkan sebelum ini berbunyi, "Satu perhimpunan mendesak PAS Selangor keluar dari Pakatan rakyat akan diadakan pada 27 Dis 09 jam 1100 di Pej PERHUBUNGAN PAS Sel. No. 13C, Ting. 3 BLOK 1, WORLDWIDE BUSINESS CENTRE, SEK. 13, S/ALAM. Penyerahan memorandum juga akan dilakukan dan di terima sendiri oleh Dato Hassan Ali. Hadir beramai2 demi...".

SMS itu terhenti setakat itu sahaja! demi... apa kita pun tak tahu.

Bagaimanapun setelah diselidiki, sms itu datangnya dari salah seorang penggerak Umno negeri itu.
Credit foto: muslimeen-united.blogspot.com


Poster berbunyi "Membela Nasib Melayu" sinonim dengan ayat-ayat UMNO



Geng gerombolan tutup muka dengan poster, supaya orang tak kenal



Puak nie tak kacau pulak... malah beri kerjasama, siap salam lagi...

Ahad, 27 Disember 2009

KELEBIHAN 10 MUHARRAM


Dalam bulan Muharram hari yang paling bertuah ialah hari ke-10 atau lebih dikenali dengan nama Hari Asyura’. Pada hari tersebut kita disunatkan berpuasa. Malah dalam Mazhab Imam Hanafi puasa hari ke-10 dalam bulan Muharram ini adalah satu-satunya fardhu puasa yang pertama sebelum difardhukan puasa bulan Ramadhan.


Hadith daripada Aisyah:

Sesiapa ingin berpuasa (sunat 10 Muharram) maka bolehlah dia berpuasa. Dan sesiapa yang tak ingin berpuasa maka boleh dia tinggalkan”. Hadith riwayat Bukhari dan Muslim.

Malah dalam sebuah hadith riwayat Muslim Nabi berpuasa pada 10 Muharram kerana pada hari tersebut diselamatkan Nabi Musa a.s daripada lemas dan juga daripada buruan Firaun.


KELEBIHAN

Baginda bersabda: “Berpuasa sunat pada 10 Muharram akan menghapuskan dosa setahun sebelumnya”. Riwayat Muslim.

BEZAKAN PUASA DENGAN ORANG YAHUDI……. Oleh kerana orang Yahudi juga berpuasa pada 10 Muharram maka disunatkan umat Islam berpuasa sejak 9 Muharram lagi bagi membezakan dengan puasa orang Yahudi. Hadith ini dikhabarkan oleh Ibnu Abbas dalam sebuah hadith riwayat Muslim dan Abu Daud. Atau kalau tidak dapat dikerjakan pada 9 Muharram maka boleh juga digandingkan 10 Muharram dengan 11 Muharram.


SEJARAH 10 MUHARRAM

Imam al-Ghazali menyebut dalam kitabnya Mukasyafatul Qulub bahawa pada tarikh tersebut:
1- Terbunuhnya Sayyidina Hussain (cucu Nabi) di Karbala’.
2- Diterima taubat Nabi Adam a.s.
3- Dicipta Adam a.s.
4- Dimasukkan Adam a.s ke dalam syurga.
5- Dicipta arasy, Kursi, langit, matahari, bulan, bintang-bintang.
6- Dilahirkan Nabi Ibrahim a.s.
7- Selamat Nabi Ibrahim daripada api Namrud.
8- Selamat Musa dan pengikutnya.
9- Lemas Firaun.
10- Dilahirkan Nabi Isa a.s.
11- Diangkat Nabi Isa kelangit.
12- Diangkat Nabi Idris ke langit.
13- Mendaratnya kapal Nabi Nuh dengan selamat di atas bukit Judy.
14- Nabi Sulaiman diberi kerajaan yang besar.
15- Dikeluarkan Nabi Yunus dari perut ikan Nun.
16- Nabi Ya’kub dapat melihat kembali selepas daripada menjadi buta.
17- Dikeluarkan Nabi Yusuf daripada telaga buta.
18- Disembuhkan Nabi Ayyub daripada penyakitnya.
19- Hujan yang pertama turun dari langit kebumi.


14 Perkara yang sunat dilakukan pada hari Asyura :


1. Melapangkan masa / belanja anak isteri . Fadhilat - Allah akan melapangkan hidupnya pada tahun ini.
2. Memuliakan fakir miskin. Fadhilat - Allah akan melapangkannya dalam kubur nanti
3. Menahan marah. Fadhilat - Di akhirat nanti Allah akan memasukkannya ke dalam golongan yang redha
4. Menunjukkan orang sesat. Fadhilat - Allah akan memenuhkan cahaya iman dalam hatinya
5. Menyapu / mengusap kepala anak yatim. fadhilat - Allah akan mengurniakan sepohon pokok di syurga bagi tiap-tiap rambut yang di sapunya.
6. Bersedekah. Fadhilat - Allah akan menjauhkannya daripada neraka sekadar jauh seekor gagak terbang tak berhenti-henti dari kecil sehingga ia mati. Diberi pahala seperti bersedekah kepada semua fakir miskin di dunia ini.
7. Memelihara kehormatan diri. Fadhilat - Allah akan mengurniakan hidupnya sentiasa diterangi cahaya keimanan.
8. Mandi Sunat. Fadhilat - Tidak sakit (sakit berat)pada tahun itu lafaz niat : sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala.
9. Bercelak. Fadhilat - tidak akan sakit mata pada tahun itu
10. Membaca Qulhuwallah hingga akhir seribu kali. Fadhilat - Allah akan memandanginya dengan pandangan rahmah diakhirat nanti
11. Sembahyang sunat empat rakaat. Fadhilat - Allah akan mengampunkan dosanya walau telah berlarutan selama 50 tahun melakukannya. lafaz niat : sahaja aku sembahyang sunat hari Asyura empat rakaat kerana Allah Taala. Pada rakaat pertama dan kedua selepas fatihah di baca Qulhuwallah sebelas kali.
12. Membaca “has biallahhu wa nik mal wa kiil, nikmal maula wa nikmannasiir”. Fadhilat - Tidak mati pada tahun ini
13. Menjamu orang berbuka puasa. Fadhilat - Diberi pahala seperti memberi sekalian orang Islam berbuka puasa.
14. Niat Puasa - Sahaja aku berpuasa esok hari sunat hari Asyura kerana Allah Taala.
fadhilat - Diberi pahala seribu kali Haji, seribu kali umrah dan seribu kali syahid dan diharamkannya daripada neraka. - nikhassanazmi.blogspot.com

Sabtu, 26 Disember 2009

UMNO JUARA TIPU RAKYAT

SHAH ALAM, 26 Dis: Umno dipercayai sedang menggerakkan satu perhimpunan kononnya untuk mendesak agar PAS Selangor keluar dari Pakatan Rakyat.

Menurut satu sms yang dihantar kepada Harakahdaily, perhimpunan itu akan diadakan esok 27 Disember jam 11 pagi di perkarangan pejabat perhubungan PAS Selangor dekat sini.

Dalam perhimpunan itu, sms itu memaklumkan, satu memorandum akan diserahkan dan menurutnya memo itu akan diterima sendiri oleh Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali.

"Datanglah beramai-ramai demi kepentingan Melayu...," tulis sms itu.

Ketika disemak dari penghantar sms itu, didapati sumbernya adalah penggerak Umno di negeri ini.

"Dia nak ambil kesempatan dari isu yang berlaku di Selangor sekarang untuk memecahkan PAS," kata sumber yang menghantar mesej ini kepada Harakahdaily.

Sementara itu, blogger Raja Petra Kamarudin dalam tulisannya memberitahu, para pemimpin Umno telah memberitahu orang-orangnya dalam agensi kerajaan negeri ini bahawa Barisan Nasional akan mengambil alih Selangor Januari ini.

Ekoran itu, katanya, banyak agensi kerajaan negeri yang masih dipimpin oleh penyokong Umno 'tidak berfungsi sebagaimana yang sepatutnya'.

Ini kerana, mereka menunggu apakah kerajaan negeri Pakatan di Selangor ini akan jatuh atau tidak ke tangan BN Januari ini sebagaimana yang dijanjikan pemimpin Umno itu.

Adalah dipercayai, jika benarlah tulisan Raja Petra ini bermakna antara strategi Umno adalah dengan memecahkan PAS di Selangor dan seterusnya memecahkan Pakatan Rakyat.

Rabu, 23 Disember 2009

KEHILANGAN ENJIN F5E - NAJIB PERLU LETAK JAWATAN

KUALA LUMPUR, 23 Dis: PAS mahu Datuk Seri Najib Tun Razak meletakan jawatan serta merta berhubung kes kehilangan dua enjin pesawat pemintas F5E pada 2007 iaitu semasa beliau memegang Menteri Pertahanan dan Timbalan Perdana Menteri.

Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad dalam satu kenyataan memberitahu, Najib sepatutnya berbuat demikian pada tahun 2008 lagi sewaktu kehilangan itu dikesan.

Namun dakwanya, Najib seperti merahsiakan perkara itu kerana mahukan laluan mudah menjadi Perdana Menteri menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"Selaku Menteri beliau bertanggungjawab penuh diatas kecuaian terbesar yang berlaku dalam sejarah pentadbiran Kementerian Pertahanan. Sewajarnya beliau meletakan jawatan pada tahun 2008 iaitu ketika kehilangan enjin berkenaan disedari hilang bagi memberikan laluan kepada siasatan menyeluruh kes ini.

"Jelas beliau cuba merahsiakan perkara ini dari rakyat bagi memastikan laluan mudah agar dirinya dilantik sebagai Perdana Menteri mengantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi.Kelicikan politik beliau dalam menyembunyikan kes ini jelas memperlihatkan agenda beliau itu.

Kes kehilangan ini juga jelasnya tidak boleh dianggap remeh kerana ia adalah simbolik disebalik kegagalan sistem pertahanan negara dibawah pentadbiran Najib.

"Dibawah pentadbiran Najib, kita sudah lali mendengar kisah ruang udara negara diceroboh, helikopter nuri terhempas, kapal terbang terhempas, dan juga kisah-kisah perbelanjaan Kementerian Pertahanan yang dihalang untuk di Audit oleh Jabatan Audit negara.

Katanya rakyat tidak harus membiarkan pemimpin yang mementingkan politik peribadi dari keselamatan negara dan rakyat.

Apatah lagi, di zaman beliau juga bermacam program dilaksanakan yang akhirnya merugikan rakyat dan negara.

"Zaman Najib menjadi menteri pertahanan juga menyaksikan munculnya projek Angkawan Negara yang berakhir dengan kisah Pelancong Angkasa. Program Latihan Khidmat Negara juga dicipta dengan begitu banyak tragedi sedangkan manfaat yang diterima kurang dari 10 peratus dan masalah sosial generasi muda hari ini kian membarah. Zaman beliau begitu banyak kecuaian, kerugian, penipuan dan pembaziran," katanya lagi.

"Jika 2 unit enjin pesawat yang besar boleh hilang dari kawalan pasukan keselamatan negara, esok lusa apa pula yang hilang jika Najib masih kekal menjadi Perdana Menteri," katanya. Sumber

Selasa, 22 Disember 2009

PROJEK "CAP AYAM" RUNTUH LAGI DI TERENGGANU

HULU TERENGGANU - Bumbung Terminal Pengangkutan Awam bernilai RM4.2 juta yang dalam pembinaan di Kuala Berang dekat sini runtuh menyebabkan empat pekerja di situ cedera.

Kejadian pada pukul 3 petang semalam berlaku ketika 15 pekerja dengan dua daripada mereka sedang memasang kaca sebagai bumbung penghadang cahaya.

Kerja-kerja memasang kaca di atas bumbung penghadang cahaya di terminal pengangkutan awam itu telah bermula sejak seminggu lalu.

Penyelia projek, Zahir Hariri berkata, dia terdengar bunyi kuat ketika berada di pejabatnya dan terkejut apabila mendapati bumbung sepanjang 27.4 meter itu telah runtuh.

"Ia menyebabkan dua pekerja warga Bangladesh yang berada di atas bumbung dan dua lagi iaitu seorang warga Bangladesh dan seorang rakyat tempatan yang berada di bawah cedera," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini semalam.

Menurut beliau, kesemua yang mengalami cedera ringan di kaki, dahi dan tangan akibat terkena serpihan kaca itu dihantar ke Hospital Hulu Terengganu dan dirawat sebagai pesakit luar.

Katanya, kejadian itu dipercayai berpunca daripada penyambungan panel yang tidak sempurna pada penghadang cahaya itu. Lagi kejadian runtuh sebelum ini.


Kontraktor 'OKU" punca binaan runtuh

kemaskini Kebanyakan projek berkualiti rendah di Terengganu, sehingga menyebabkan strukturnya runtuh dan retak, didakwa dimajukan oleh "kontraktor OKU (orang kuat Umno)", syarikat yang mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin kerajaan negeri.

Projek tersebut termasuk pembinaan terminal pengangkutan awam bernilai RM4.2 juta di Kuala Berang yang terjejas apabila sebahagian bumbungnya runtuh semalam.

"Kita panggil kontraktor ini kontraktor OKU atau Orang Kuat Umno," kata Presiden Majlis Pemuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat), Mohamad Fauzi Abu Samah.

"Kontraktor ini rapat dengan politik, itulah yang menjadi masalah bila dibuat bukan untuk kepentingan rakyat tetapi untuk kepentingan politik," katanya lagi.

Beliau diminta mengulas insiden struktur bangunan runtuh yang kerap terjadi di negeri itu tahun ini selepas bumbung stadium, yang baru disiapkan dengan harga RM300 juta, ranap awal Jun lepas.

Bumbung sebuah masjid di Kemaman pula yang dilaporkan berharga RM2.1 juta runtuh awal Oktober lalu.

Isnin, 21 Disember 2009

UMNO MUNGKIN KEMPUNAN UNTUK JADI PENGERUSI BN P.PINANG

KUALA LUMPUR, 21 Dis: Pergolakan BN Pulau Pinang dilihat berpanjangan apabila pemimpin nombor dua Umno negeri itu pula menegaskan bahawa jawatan Pengerusi BN negeri bukannya hak turun-temurun mana-mana pihak.

Penegasan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman itu dipercayai umum ditujukan kepada Presiden Gerakan Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.

"Jawatan (Pengerusi BN Pulau Pinang) tersebut bukannya hak turun-temurun atau hak seumur hidup kepada mana-mana individu mahu pun parti," kata Zainal.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno (2009-2011) menegaskan bahawa Koh tidak berhak menolak permintaan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya Umno mempengerusikan BN Negeri kerana Umno mempunyai Adun terbanyak di Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu sebanyak 11 orang.

Beliau menegaskan, soal menerima atau menolak permintaan Ahmad seharusnya dipulangkan kepada Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri.

Ujarnya lagi, Umno lebih layak mempengerusikan BN Pulau Pinang demi berdasarkan sokongan rakyat dalam Pilihanraya Umum ke-12 (PRU12) lalu.

Dengan Umno menyandang Pengerusi BN Negeri kelak, dipercayai mampu meraih semula sokongan rakyat kepada BN.

Lebih pada itu, Zainal turut menuduh Koh tidak menjalankan tugas yang diamanahkan kepadanya selaku Pengerusi BN Negeri belakangan ini.

Koh turut dituduh tidak mengadakan aktiviti-aktiviti sewajarnya demi kepentingan rakyat, khususnya di kalangan akar umbi parti-parti komponen sendiri.

Dalam perkembangan berkaitan, dilaporkan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merika turut menyokong desakan Zainal dan Ahmad tersebut.

Pun begitu, beliau berharap Koh dan Gerakan tidak menganggap Umno cuba memonopoli BN negeri itu.

"Ini bukan bererti bahawa Umno hendak monopoli BN Pulau Pinang," ujarnya.

Beliau turut menasihatkan Koh supaya tidak mempertahankan jawatan Pengerusi BN walaupun Gerakan pernah menyandang jawatan penting itu sejak 35 tahun lalu.

"Beliau (Koh) tidak lagi boleh sentimental dan perlu melihat realiti (sokongan rakyat kepada Gerakan dan Umno sekarang)," ujarnya.

Koh yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang diajak bersepakat dengan Umno serta parti-parti komponen BN yang lain dalam isu dalaman BN tersebut demi kepentingan bersama.

"Kita (Umno dan Gerakan) perlu sepakat...ini bukan soal parti tapi (soal) perjuangan, (iaitu) bagaimana mahu yakinkan rakyat kepada BN," jelasnya.

"Kita nak rampas balik Pulau Pinang pada Pilihanraya Umum ke-13 nanti..."

Ahad, 20 Disember 2009

UMNO PULAU PINANG MAHU TENDANG KOH TSU KOON

PULAU PINANG 19 Dis. – Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang malam tadi memutuskan untuk menuntut jawatan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri diserahkan kepada parti itu.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, permintaan itu dibuat sejajar usaha memantapkan kedudukan BN Pulau Pinang dan bukannya mempunyai agenda tertentu.

Jelasnya, adalah wajar jawatan tersebut diserahkan kepada UMNO memandangkan parti komponen BN lain di negeri itu tidak memenangi sebarang kerusi pada pilihan raya umum lalu.

‘‘UMNO bukan berhajat mengambil alih jawatan itu semata-mata, tetapi bagi memperkuatkan BN negeri ini dan ia juga bukan soal kepentingan personaliti, ia demi kebaikan BN.

‘‘Permintaan ini wajar berdasarkan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat kepada UMNO negeri ini dan kita yakin rakan parti komponen lain menyokong.

‘‘Biar UMNO pula yang menyelaras BN Pulau Pinang supaya lebih berkesan membantu parti komponen di negeri ini,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat badan itu di sini.

Jawatan Pengerusi BN Pulau Pinang selama ini dipegang oleh Gerakan dan sekarang ia disandang oleh Presidennya, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.

Tambah Ahmad Zahid, jawatan tersebut kelak tidak semestinya dipegang beliau tetapi oleh mana-mana pemimpin UMNO negeri yang difikirkan layak memikul tanggungjawab itu.

Sehubungan itu, beliau berharap Pengerusi Dewan Tertinggi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak mempertimbangkan perkara itu.

Ditanya adakah UMNO berbincang dengan parti komponen lain mengenai hasrat itu, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO berkata, mereka tidak perlu berbuat demikian.

Dalam perkembangan lain katanya, UMNO negeri juga akan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin supaya pelantikan Ahli Majlis, Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) bukan hanya terdiri daripada pakatan pembangkang.

‘‘Bagi tujuan itu, rombongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari negeri ini memohon menghadap Tuanku Mizan dalam masa terdekat,” ujarnya.

Perkhidmatan barisan Ahli Majlis MAIPP termasuk Yang Dipertuanya, Shabudin Yahaya iaitu ADUN Permatang Berangan daripada UMNO akan tamat akhir bulan ini.

Selain itu beliau memberitahu, mereka turut meminta semua jabatan dan agensi Kerajaan Pusat supaya menjalankan program yang memberi keuntungan kepada golongan Melayu di negeri ini.

Pada mesyuarat berkenaan, UMNO negeri turut mengalu-alukan keputusan Majlis Tertinggi (MT) parti menarik balik penggantungan hukuman ke atas bekas Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail.

‘‘Sekarang ini kita menyerahkan kepada ahli-ahli bahagian itu untuk mengambil langkah tertentu bagi memberi peluang kepada Ahmad melakukan tugas yang bersesuaian,” katanya.

Jumaat, 18 Disember 2009

AZIZ DAH PECAH LUBANG, BUNG MOKTAR TAK PERLU BERDALIH LAGI



Sebelum ini Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin menafikan bahawa beliau akan berkahwin dengan pelakon terkenal tanah air, Zizie Ezette.

"Saya tidak cukup kacak untuk beliau," kata wakil rakyat BN itu ketika dihubungi melalui telefon selepas wakil media gagal menjejakinya di bangunan Parlimen.

Walaupun Bung Moktar enggan mengesahkan perkahwinannya itu, rakan karibnya, Datuk Mohamad Aziz yang juga Ahli Parlimen Sri Gading, semalam mengesahkan pernikahan mereka.

“Dah selamat...saya doakan beliau bahagia. Saya sempat berpesan kepada Bung Moktar jangan berahsia lagi... biar semua kawan tahu kerana ucapan tahniah adalah doa,” katanya ketika dihubungi semalam.

Bung Moktar yang sering mewarnai persidangan Dewan Rakyat dengan kelantangannya, menjadi tumpuan apabila beliau dikatakan sudah bernikah dengan Zizie dan majlis resepsi diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini malam kelmarin.

Bagaimanapun, Bung Moktar ketika dihubungi enggan mengesahkan perkara itu tetapi berjanji memaklumkan mengenai perkara itu apabila tiba masanya kelak.

"Ini bukan masa terbaik membuat komen. Saya perlu menjaga hati banyak pihak dan saya tidak mahu melukai sesiapa," katanya.

Beliau juga berkata, khabar angin yang beliau mengahwini Zizie, 31, di sebuah hotel lima bintang malam kelmarin adalah tidak benar.

Ketika ditanya mengapa beliau tidak menghadiri sidang Parlimen sejak kelmarin, Bung Moktar berkata, beliau berada di Kinabatangan.

"Saya mempunyai kerja di sana... sangat mustahak. Saya sudah mendapat pelepasan daripada Chief (Datuk Seri Nazri Aziz)," katanya.

Beliau turut ditanya mengenai penampilannya yang semakin bergaya sejak akhir-akhir ini termasuk mengubah gaya rambutnya.

"Ramai kawan-kawan yang mewarnakan rambut... mengapa kamu tidak tanya mereka. Jangan buat spekulasi," katanya.

p/s: Selamat pengantin baru dan selamat menyambut Maal Hijrah buat Bung & Zizie.

Khamis, 17 Disember 2009

ASALKAN CUKAI, BEBANKAN RAKYAT LAH NAMANYA

KUALA LUMPUR, 17 Dis: Pasukan Khas Pakatan Rakyat Anti-GST (Anti-GST Task Force) hari ini sekali lagi menyanggah kenyataan Menteri Kewangan kedua, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah bahawa pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak akan membebankan rakyat.

Menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak masuk akal, Ahli Jawatankuasa Anti-GST Tony Pua berkata, pengenalan GST akan menyebabkan rakyat terpaksa menanggung lebih RM 6.4 bilion cukai yang sepatutnya diperolehi daripada pihak industri.

"Jika perolehan cukai daripada para peniaga akan dikurangkan sehingga RM 5.4 bilion dan dalam masa yang sama pendapatan negara bertambah kepada RM 13 bilion, bermaksud jumlah cukai RM 6.4 bilion akan diperolehi daripada rakyat.

"Persoalannya bagaimana menteri boleh keluarkan kenyataan rakyat berpendapatan rendah mampu menyimpan seperti mereka yang berpendapatan tinggi?. Pengecualian cukai RM 6.4 bilion yang dinikmati oleh para peniaga akan dibayar oleh pengguna yang terdiri daripada pekerja berpendapatan rendah, pesara, pelajar ataupun golongan pertengahan," katanya yang juga Ahli Parlimen Pelating Jaya Utara pada sidang media di lobi Parlimen pagi tadi.

Seorang lagi Ahlijawatankuasanya, Dr. Dzulkifli Ahmad pula berkata, perlaksanaan GST merupakan satu beban kerana ia mengakibatkan semua rakyat tidak mengira sempadan pendapatan terpaksa membayar cukai dengan kadar yang sama sekaligus membuatkan golongan berpendapatan rendah lebih menderita.

"kalaulah golongan berpendapatan rendah buat simpanan, golongan pendapatan tinggi pun buat simpanan, kelompok pengeksport pun buat simpanan akhirnya macammana datangnya pendapatan lebihan daripada cukai ini. Rakyat yang manjadi mangsa kerana terpaksa membayar cukai," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor juga berkata, rancangan Kerajaan melaksanakanGST disebabkan mereka sudah kehabisan sumber kewangan dan terpaksa mencari sumber ain untuk menampung hutang Kerajaan.

"Menteri cuba yakinkan rakyat cukai ini baik untuk rakyat tapi sebearnya Kerajaan sudah banyak berhutang sehingga terpaksa mencari sumber lain,"tegasnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution berkata, pasukan Anti-GST akan meningkatkan usaha memberikan penerangan kepada rakyat mengenai kesan buruk yang akan ditangggung rakyat jika GST dilaksanakan.

Ini termasuk perbincangan meja bulat parlimen melibatkan ahli parlimen dan pakar industri bagi mendapatkan pandangan dan maklumbalas daripada golongan ini.

"Untuk tempoh Januari hingga MAC, Pasukan Anti GST akan meningkatkan tindakan membantah pelaksanaan cukai ini.

Kami akan mengadakan perbincangan meja bulat parlimen dengan 'industry ekspert' untuk dapatkan pandangan dan maklumbalas daripada kelompok ini.

"Kami juga akan adakan kaukus parlimen melibatkan Ahli Parlimen tentang GST," katanya lagi.

Selain itu, pasukan ini akan mengadakan siri jelajah ke seluruh negara melibatkan program berbentuk forum, pengedaran risalah penerangan mengenai GST.

Rakyat juga boleh memberi maklum balas mengenai GST melalui emai NOtoGST@gmail .com

Semalam, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, pelaksanaan GST yang bermula pertengahan 2011 nanti dijangka hanya sekitar empat peratus berbanding kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) di antara lima hingga 10 peratus selama ini.

Menurutnya, GST juga dikecualikan ke atas barangan keperluan seperti produk pertanian dan makanan asas bagi memastikan ia tidak membebankan rakyat khususnya golongan miskin serta berpendapatan rendah.

Beliau berkata, pelaksanaan GST berupaya mengurangkan kos operasi para peniaga di negara ini dengan penjimatan tahunan sebanyak RM4 bilion bagi semua sektor perniagaan dan RM1.4 bilion untuk sektor eksport.

Ahmad Husni berkata, ini kerana syarikat yang mencatatkan perolehan tahunan kurang daripada RM500,000 dikecualikan daripada membayar GST. Sumber

SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1431 DAN MALAYSIA VS VIETNAM

Sendiri fikir lah... mana tempat korang semua nak beri keutamaan petang ini. Adakah korang rasa Sambutan Maal Hijrah 1431 adalah tahun untuk mengagungkan serta meninggikan syair Islam atau menonton siaran langsung bolasepak antara pasukan Malaysia lawan Vietnam lebih mendatangkan kepuasan dan menafaat, silakan... Lu fikirlah sendiri...


Sambutan Maal Hijrah 1431

Tarikh dan Masa: 17 Disember 2009 dari 6:30 ptg - 9:30 mlm.

Tempat: Masjid atau Surau.

Negeri/Bandar: Seluruh ceruk rantau negara 1Malaysia.

Aktiviti: Sambutan Maal Hijrah 1431.

Aturcara Majlis:
1. Dimulai dengan Doa Akhir Tahun
2. Solat Maghrib
3. Doa Awal Tahun
4. Tahlil
5. Solat Isyak
6. Jamuan Ringan



Live Perlawanan Bolasepak - Malaysia vs Vietnam

Tarikh dan Masa: 17 Disember 2009 dari 5:30 ptg - 7:30 mlm.

Tempat: Kedai Kopi, Tempat Awam atau Rumah Kediaman.

Negeri/Bandar: Seluruh ceruk rantau negara 1Malaysia.

Aktiviti: Perlawanan Akhir Bolasepak Sukan SEA 2009.

Aturcara Majlis:
1. Lambung duit syiling untuk menentukan kedudukan, kiri atau kanan.
2. Susunatur kedudukan pasukan.
3. Wisel permulaan.
4. ........
5. ........
6. ........

Rabu, 16 Disember 2009

BUNG MOKTAR TIDAK CUKUP KACAK UNTUK ZIZIE EZETTE

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin hari ini menafikan bahawa beliau akan berkahwin dengan pelakon terkenal tanah air, Zizie Ezette.

"Saya tidak cukup kacak untuk beliau," kata wakil rakyat BN itu ketika dihubungi melalui telefon selepas wakil media gagal menjejakinya di bangunan Parlimen.

Desas-desus yang mengatakan Bung Moktar, 50, akan berkahwin dengan Zizie, 31, merebak dengan pantas di Parlimen sejak pelakon itu membuat pengakuan dilamar seorang ahli parlimen dari Sabah baru-baru ini.

Sebelum itu, Bung Moktar telah berjanji untuk datang ke bangunan Parlimen untuk berjumpa dengan beberapa wakil media yang ingin mendapatkan kepastian mengenai hubungan beliau dan Zizie.


Bagaimanapun, wakil media kemudiannya dimaklumkan melalui SMS bahawa beliau
sibuk dan terpaksa menghadiri satu mesyuarat hari ini.

"Sorry, there is no kahwin kahwin kahwin, hahahaha," katanya dalam satu lagi SMS kepada media.

Ditanya sama ada beliau telah melamar Zizie menerusi SMS, Bung Moktar tidak membalasnya.

Selain media, ramai ahli parlimen turut tercari-cari Bung Moktar untuk mengesahkan perkara itu.

Rakan karib beliau, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, ketika dihubungi, enggan memberi sebarang komen manakala Datuk Ismail Kassim (BN-Arau) pula berkata, perkara itu soal peribadi dan beliau tidak tahu mengenainya.

Bung Moktar telah berkahwin dan mempunyai empat anak. BERNAMA

Selasa, 15 Disember 2009

HUKUMAN REJAM SAMPAI MATI


MOHAMED ditanam dalam lubang di Afgoye, pada Ahad lalu.


MOGADISHU - Sekumpulan militan Islam memaksa penduduk melihat mereka merejam seorang lelaki sehingga mati kerana berzina di Somalia, lapor sebuah akhbar semalam.

Kumpulan itu turut membunuh seorang lelaki kerana didakwa sebagai pembunuh.

Menurut beberapa saksi, hukuman itu mencetuskan pertempuran senjata antara kumpulan tersebut dengan kumpulan lain dengan mengakibatkan tiga militan terbunuh.

Kejadian berlaku di Afgoye, 32 kilometer dari sini pada Ahad lalu.

"Tiga anggota pejuang kumpulan Hizbul Islam terbunuh dan lima lagi cedera apabila mereka saling bergaduh antara satu sama lain," kata seorang pekedai, Halima Osman.

"Sebahagian anggota kumpulan itu mahu menangguhkan hukuman manakala yang lain menentangnya.

"Anggota-anggota itu kemudian berbalas tembakan.

"Kumpulan yang menentang hukuman itu tewas dan kemudian melarikan diri," tambahnya.


SEORANG lelaki menimbus tanah di dada Mohamed.


Sebelum dijatuhkan hukuman mengikut undang-undang syariah, Hakim Osman Siidow Hasan memberitahu penduduk, dua lelaki itu mengaku melakukan kesalahan selepas siasatan dilakukan.

Seorang wanita yang mengaku melakukan hubungan seks di luar nikah turut dihukum 100 kali sebatan.

"Ini merupakan hari penghakiman," kata Osman kepada orang ramai.

"Kami telah melakukan siasatan dan mereka sudah mengaku," tambahnya.

Hukuman itu dibuat selepas pertempuran antara kumpulan yang menentang dan kumpulan yang mahu hukuman itu dilaksanakan dengan segera berakhir.

Seorang anggota keluarga mangsa yang dibunuh kemudian menembak mati penembaknya yang telah ditangkap.


BEBERAPA orang merejam Mohamed sehingga dia mati.


Pesalah zina tersebut, Mohamed Abukar Ibrahim ditanam di dalam lubang sehingga ke dada dan direjam sehingga dia mati.

"Saya tidak sanggup untuk melihatnya," kata seorang lelaki, Ali Gabow.

Menurutnya, seorang wanita yang mengaku berzina itu dihukum 100 kali sebatan kerana dia menyatakan dirinya masih belum berkahwin. - Kosmo

Isnin, 14 Disember 2009

UMNO PENGKHIANAT RAKYAT

Sebagai memintas program 'Umno Juara Rakyat' pada tahun depan, PAS pula menganjurkan 'Umno Pengkhianat Rakyat' bagi "membongkar segala pembohongan dan juga kezaliman" parti Melayu itu kepada orang Melayu dan umat Islam.

"Jentera penerangan (PAS) di semua peringkat diminta bersedia untuk menggerakkan kempen ini hingga ke peringkat akar umbi, khususnya di kubu-kubu kuat Umno bagi memastikan rakyat dapat melihat wajah sebenar Umno,' kata ketua penerangan PAS Idris Ahmad.

Program 'Umno Pengkhianat Rakyat', yang akan dilancarkan 9 Januari ini, akan dilengkapi dengan buku kecil yang mendedahkan tindakan Umno terhadap orang Islam dan Melayu di negara ini, katanya lagi.

Kenyataan Idris itu dipercayai sebagai reaksi usaha Umno untuk menganjurkan program 'Umno Juara Rakyat' pada Januari ini dalam usaha menggerakkan jentera parti itu di peringkat akar umbi bagi persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Menurut Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, keputusan menganjurkannya dibuat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti itu, 4 Disember lalu.

Program raksasa itu, yang dilaporkan antara usaha mentransformasi Umno dalam memperkasakan masyarakat Melayu, akan dirasmikan presidennya Datuk Seri Najib Razak.

Muhyiddin dipetik berkata, serentak dengan pelancaran 'Umno Juara Rakyat', semua ahli Umno dminta menggerakkan kerja mereka bagi menghadapi persiapan pilihan raya umum ke-13.

Dengan nada seumpamanya, Idris juga menyeru semua ketua penerangan PAS supaya bekerja keras "untuk memastikan Umno dapat ditumbangkan di kubu-kubu kuat mereka" pada pilihan raya tersebut - yang dijangka lebih sengit daripada sebelumnya.

"PAS akan menggunakan segala kemudahan media dan saluran maklumat yang pelbagai bagi memperjelaskan fakta-fakta kezaliman yang selama ini disembunyikan oleh Umno," katanya.

"Umno yang selama ini selalu melaung-laungkan slogan 'Hidup Melayu' kini tersepit kerana semakin ramai orang Melayu hilang kepercayaan kepada Umno selepas beberapa siri kezaliman yang mereka lakukan." Sumber

SKANDAL PKFZ - SELESAIKAN SEGERA SEBELUM MAHATHIR TUTUP MATA


KUALA LUMPUR, 14 Dis:
Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohammad didesak segera campur tangan untuk membantu menyelesaikan skandal Zon Bebas Perlabuhan Klang (PKFZ).

Desakan tersebut dibuat selepas tiga Pegawai Kanan Lembaga Pelabuhan Klang (PLB) didakwa di Mahkamah dua hari lalu.

Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin mendesak demikian supaya skandal PKFZ tidak terkubur begitu sahaja seperti skandal Perwaja disebabkan yang tertuduh, Tan Sri Eric Chia meninggal dunia.

"Skandal Perwaja umpamanya berlaku di zaman Mahathir dan cuba diselesaikan di zaman Abdullah (Perdana Menteri) dengan mendakwa Eric Chia, cumanya skandal itu diam begitu saja apabila yang didakwa (Eric) mati saja.

"Samalah seperti skandal PKFZ, Mahathir perlu tampil selesaikannya sebelum dia mati kerana ia melibatkan dia sewaktu jadi Perdana Menteri," kata Badrul.

Ujarnya lagi, Mahathir tidak perlu mengangkat diri sendiri dengan mendakwa Umno seperti usus yang busuk, di dalam blognya.

"Usus yang busuk yang dia (Mahathir) kata kepada Umno sebenarnya membarah sejak jadi Perdana Menteri, jadi tidak perlulah (Mahathir) mengangkat diri sendiri kalaupun nak menutup beberapa skandal yang mula berlaku di zamannya," ujarnya.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar yang dihubungi kemudian, mendesak suatu suruhanjaya diraja yang bebas segera ditubuhkan.

Ujarnya, penubuhan itu membolehkan Mahathir dan beberapa pemimpin Umno serta BN yang lain segera dalam masa.

"Kalau dibuat Suruhanjaya Diraja, Tun Dr. Mahathir boleh segeralah dipanggil," tegasnya.

"Bukan saja Tun boleh dipanggil jika Suruhanjaya segera dibentuk, malah Abdullah (bekas Perdana Menteri) pun boleh dipanggil kerana minit mesyuarat kabinet yang bocor itu berlaku dizamannya (Abdullah)."

Beliau meminta Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak juga perlu dipanggil oleh Suruhanjaya Diraja kerana beliau selaku Timbalan Perdana Menteri kepada Abdullah turut mengetahui minit kabinet berkaitan skandal pembelian tanah nelayan di PKFZ yang telah dibocorkan.

Beliau turut mendoakan Mahathir panjang umur supaya skandal PKFZ boleh diselesaikan, tidak seperti skandal PERWAJA yang terbengkalai disebabkan kematian Eric Chia.

Menurut Laporan Audit Price Waterhouse Coopers (PWC) yang diumumkan pada era Mahathir, 2002, dipercayai minit kabinet berhubung menjadikan tanah Pulau Indah sebagai kawasan pelabuhan bebas bocor.

Kebocoran itu mendorong salah seorang Ahli Lembaga Pengarah (1997-2003) bagi Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) Datuk Abdul Rahman Palil membeli tanah tersebut melalui Koperasi Pembangunan Koperasi Nelayan Selat Lumut (KPNSL), sebelum kebinet mengumumkan projek PKFZ.

Abdul Rahman kemudiaannya dilaporkan mengisytiharkan dirinya sebagai Pengerusi KPNSL.

Dilaporkan KPNSL menjual tanah tersebut dengan harga yang murah, RM3 perkaki persegi.

Tanah itu kemudiannya dibeli oleh Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB) dengan harga berlipat kali ganda, RM25 kaki persegi.

Menurut Laporan Audit PWC juga, skandal PKFZ di PPSB ini turut membabitkan beberapa pemimpin Umno dan BN.

Antaranya, Pengerusi KDSB Datuk Seri Azim Zabidi yang juga Bendahari Umno - Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) KDSB Datuk Seri Tiong King Sing yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan BN (BNBBC) - Timbalan CEO Datuk Faizal Abdullah yang juga Ketua Pemuda Umno Kapar, dan sebagainya.

Dalam Hansard Parlimen Mei lalu, dilaporkan skandal yang bernilai RM1.6 bilion pada tahun 2002 itu melambung antara RM7.4532 bilion dan RM12.5 bilion.

NAZRI MARAH BILA DISURUH LETAK JAWATAN



''Kerja bodoh.'' Itulah reaksi spontan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berhubung desakan supaya beliau melepaskan portfolio Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).

Sambil menegaskan beliau tidak bimbang dengan 'ugutan' tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, apa yang sepatutnya dilakukan oleh persatuan teksi terbabit adalah mencari jalan meningkatkan mutu perkhidmatan mereka.

''Itu kerja bodoh, lebih baik buat kerja cari jalan bagaimana nak meningkatkan mutu perkhidmatan.

''(Mereka) suruh saya letak jawatan (lepaskan portfolio), pertama, saya nak sebut, kalau suruh saya letak jawatan bermakna, memang mereka ini merupakan pemandu teksi yang buat kesalahan sebab saya tegur mereka yang buat kesalahan.

''Apa pasal kita nak membela pemandu yang buat kesalahan," katanya.

Semalam, Persatuan Teksi Eksekutif Malaysia (Pupteksm) mendesak beliau melepaskan portfolio LPKP ekoran kenyataannya yang didakwa mencemarkan imej pemandu teksi.

Beliau sebelum itu hadir melancarkan bas baru The Combined Bus Services Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Mohamed Nazri berkata, beliau tidak pernah mengatakan sikap pemandu teksi di negara ini lebih teruk daripada tandas (jamban), sebaliknya itu adalah aduan para pelancong.

''Kalau dulu dalam tinjauan kita tanya pelancong apa yang mereka tak puas hati di Malaysia, mereka kata, tandas yang kotor, sekarang banyak aduan tentang pemandu teksi yang tak amanah, menipu dan tak ikut meter," katanya.

''Sebab itu saya kata, persatuan yang bela pemandu yang ingkar, melanggar syarat, yang menipu, mereka patut mengambil tindakan terhadap ahli-ahlinya, bukan suruh menteri letak jawatan. Ini menunjukkan kebodohan mereka.

''Saya tak akan berhenti. Dan saya tahu, Perdana Menteri juga tak akan suruh saya berhenti. Jadi, berhentilah buat kerja bodoh ini," katanya.

Dalam masa sama, Mohamed Nazri meminta orang ramai terus membuat aduan tentang kesalahan yang dilakukan oleh pemandu teksi bagi membolehkan tindakan segera diambil terhadap mereka.

Sabtu, 12 Disember 2009

ROYALTI MINYAK - NAJIB DERHAKA WASIAT BAPANYA

Pada 1975, ketika Allahyarham Tun Abd Razak bin Hussein Al-Haj masih menjadi Perdana Menteri satu perjanjian telah ditandatangani oleh Menteri Besar Kelantan ketika itu, Datuk Mohammad Nasir dengan Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah berhubungan dengan sumber minyak Kelantan.

Menurut terma perjanjian itu, Kelantan diberikan royalti sebanyak 5 peratus setahun dan dibayar tunai dua kali setahun untuk hasil minyak yang ditemui di kawasan pantai dan pesisirnya.

Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan Kelantan mula mengeluarkan minyak sejak 2004 dan Laporan Jabatan Perdana Menteri yang diedarkan kepada pegawai kerajaan negeri, menyebut bahawa anggaran pengeluaran petroleum di Kelantan adalah RM2.5 bilion setahun.

Berdasarkan laporan itu kerajaan negeri Kelantan mengutus surat rasmi menuntut sebanyak RM1 bilion dari Kerajaan Persekutuan bagi jumlah royalti dan kerugian yang tidak pernah dibayar sejak 2004.

Tuntutan royalti minyak kelantan ini turut disokong oleh Ketua Pembangkang DUN Kelantan dari Umno, Datuk Md Alwi Che Mat pada julai lalu dan berharap agar Kerajaan PAS Kelantan mengemukakan bukti dan dokumen-dokumen berkaitan untuk menuntutnya.

Malangnya, Dato' Seri Najib anak kepada Tun Razak menderhakai perjanjian yang buat di zaman pemerintahan ayahnya dan enggan membayar royalti seperti yang telah dipersetujui sebagai respon kepada kekalahan teruk BN di Kelantan pada PRU Mac 2008.

Tindakan beliau jelas mengkhianati amanah perjuangan ayah beliau yang pastinya tidak akan tenang dalam kubur dengan kezaliman yang dilakukan pada hari ini terhadap rakyat Kelantan.

Seorang anak yang baik akan menyelesaikan segala hutang piutang dan janji arwah bapanya kepada sesiapa sahaja dengan harapan bapanya akan mendapat keredhaan Allah.

Namun Najib tidak bertindak demikian, malah memungkiri wasiat yang telah dipersetujui di zaman pemerintahan bapanya.

Inilah contoh anak derhaka yang juga zalim kepada rakyat demi kepentingan politiknya. Idea wang ehsan ditimbulkan bagi mempengaruhi pemikiran rakyat sebagai menunjukan sikap bermuka-muka beliau, walhal rakyat lebih jelas dengan isi perjanjian Petronas-Kelantan 1975.

Idea wang ehsan ini bermula dizaman Tok Guru Najib iaitu Tun Mahathir yang ketika itu tertekan dengan kemenangan mengejut PAS di Terengganu.

Bagi membalas tindakan rakyat Terengganu yang menolak Kerajaan BN, maka Mahathir menarik balik wang royalti minyak Terengganu dan mengantikannya dengan wang ehsan.

Maka bermulalah sejarah wang ehsan iaitu satu pakej yang dibuat oleh BN khusus untuk negeri-negeri yang dikuasai oleh Parti bukan BN.

Keadaan ini berbeza dengan negeri Sabah yang diperintah oleh Parti Bersatu Sabah (PBS) dari tahun 1985-1994.

Walaupun ketika itu Sabah tidak dikuasai BN, namun royalti minyak tetap diberikan bukannya wang ehsan.

Maka jelaslah bahawa BN yang kini dipimpin Najib sengaja untuk menzalimi rakyat Kelantan dan menderhakai wasiat bapanya.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Jumaat, 11 Disember 2009

MAMPUKAH UMNO PENUHI PERMINTAAN MIC

MIC mahu kerajaan menutup Pusat Tahanan Simpang Renggam di Johor kerana mendakwa ia menjadi sarang pembiakan penjenayah khususnya di kalangan kaum India berbanding usaha memulihkan mereka.

"Penjenayah kecil-kecilan yang dihantar ke pusat itu kemudian keluar sebagai penjenayah tegar," kata presidennya Datuk Seri S. Samy Vellu kepada pemberita selepas merasmikan bengkel Pemuda MIC mengenai pencegahan jenayah di kalangan pemuda India di sini.

Menjawab satu soalan, Samy Vellu berkata beliau sedar bahawa beberapa badan bukan kerajaan (NGO) juga mahu pusat berkenaan ditutup.

Pusat tersebut dibina pada 1986 bagi menempatkan tahanan yang ditangkap di bawah Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 serta banduan lain dan banduan reman.

Samy Vellu, yang melawat pusat berkenaan pada 2007 ketika menjadi Menteri Kerja Raya, menegaskan bahawa pusat tersebut sesak dan banduan tinggal dalam keadaan jijik.

Dilaporkan bahawa pusat itu hanya boleh menampung 2,000 tahanan tetapi kini jumlahnya melebihi 4,000 banduan.

Samy Vellu mencadangkan supaya banduan yang menjalani hukuman penjara dipindahkan ke penjara moden seperti Penjara Sungai Buloh manakala tahanan yang belum didakwa dibawa ke mahkamah untuk menghadapi hukuman.

"Bagi banduan yang tidak dapat didakwa di mahkamah atas pelbagai sebab, kami fikir mereka harus dikenakan hukuman khidmat masyarakat dan kemudian dipindah ke pusat pemulihan lain yang dilengkapi dengan kemudahan moden," katanya.

Menurutnya, ketika kunjungan ke pusat itu, beberapa tahanan mengadu bahawa mereka sepatutnya ditahan selama dua tahun dan mendakwa pihak berkuasa telah melanjutkan tempoh tahanan mereka.

Katanya beliau yakin Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan mempertimbangkan permintaan MIC itu atau mencari penyelesaian alternatif. BERNAMA

GERAKAN PUN DAH BERBULU DENGAN UMNO



Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon diminta menyampaikan bantahan itu kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak serta meminta penjelasan tentang pengembalian hak keahlian Ahmad baru-baru ini.

Pemimpin Umno itu dikenakan tindakan September tahun lalu berhubung ucapannya yang menganggap kaum Cina sebagai pendatang di negara ini sewaktu berkempen dalam pilihan raya kecil parlimen Permatang Pauh, sebulan sebelumnya.

"Jikalau tidak (bantah), kedudukan Gerakan akan menjadi lebih tergugat," kata ketua penerangan Angkatan Muda, Lee Khai Loon.

"(Pembatalan hukuman asal) ini menunjukkan Umno tidak ikhlas dalam menghukum pemimpin yang bersifat perkauman sempit.

"Semua usaha yang dibuat hanya semata-mata sandiwara Umno untuk meredakan emosi tidak puas hati parti-parti komponen BN pada masa (timbul isu) tersebut.

"Sebenarnya Umno tidak pernah mengambil kira perasaan parti-parti komponen. Hakikatnya juga, kedudukan MCA dan Gerakan dalam BN langsung tidak diberi kehormatan oleh Umno."

Lee menambah, bekas ketua bahagian Bukit Bendera itu bukan sahaja belum insaf, malah "terus bermaharajalela sehingga meminta tiga pemimpin tinggi Gerakan untuk mohon maaf secara terbuka."

"Ahmad bukan sahaja tidak insaf, malahan tetap dengan pendirian bahawa orang Cina adalah pendatang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.



Selepas dibebaskan daripada hukuman itu oleh Majlis Tertinggi Umno Jumaat lalu, Ahmad semalam mahu Dr Koh, pengerusi Gerakan negeri Datuk Teng Hock Nam dan bekas ahli parlimen Bukit Bendera, Chia Kwang Chye memohon maaf kepadanya.

Susulan kenyataan penasihat Gerakan, Tun Lim Keng Yaik semalam yang menyeru semua anggota parti itu agar berani menentang "ketuanan Melayu", Lee bertanya sama ada Dr Koh sanggup membantah tindakan Umno membebaskan Ahmad.

Dalam perkembangan berkaitan, apabila diajukan isu memohon maaf tersebut, Teng hari ini berkata ringkas: "Siapa dia (Ahmad) dalam Umno? Kenyataannya tidak layak saya jawab."

Pemimpin Pemuda MCA negeri Eng Hiap Boon pula berkata pergerakan itu kesal dengan keputusan mengejut Umno dan membidas sikap tidak sensitif parti itu terhadap masyarakat Cina.

"Asalnya, komuniti Cina fikir Umno akan menyingkirkannya (Ahmad), tetapi Umno hanya membekukan keahlian Ahmad selama tiga tahun.

"Dan kini beliau dapat kembali keahliannya dalam tempoh hanya setahun. (Keputusan) ini tidak boleh diterima," katanya.

Tambahnya, kembalinya Ahmad bersama Umno meletakkan BN dalam dalam keadaan yang sangat memalukan.

Khamis, 10 Disember 2009

UMNO KENA JAWAP SOALAN INI


Zolkharnain Abidin

Ada dua soalan menarik yang dikemukakan oleh Nga Kor Meng, MP Taiping yang patut dijawab oleh Umno.

Pertama, bagaimana rakyat Malaysia boleh menghayati konsep 1 Malaysia dan ketuanan Melayu sedangkan konsep itu tidak memperlihatkan kesaksamaan dari segi bangsa?

Kedua, adakah konsep ketuanan Melayu yang diperjuangkan oleh Umno adalah selari dengan impian bangsa Malaysia yang terdiri daripada Melayu, Cina, India dan sebagainya?

Semua orang tahu, ketuanan Melayu hanyalah retorik Umno sahaja. Ianya dilaungkan sungguh-sungguh semasa Umno kurang mendapat sokongan orang Melayu.

Kini, ketika Umno semakin hilang sokongan bukan Melayu, parti itu mempromosikan pula konsep 1 Malaysia, konsep yang lebih lunak berbanding ketuanan Melayu yang agak rasis.

Ringkasnya, semasa orang Melayu tak sokong Umno, guna ketuanan Melayu dan semasa bukan Melayu pula tak sokong Umno, guna 1 Malaysia.

Bolehkah kita kata begini? Ketuanan Melayu dan 1 Malaysia adalah ketuanan Umno dan 1 Umno. Umno bukan membela Melayu dan bukan Melayu tetapi membela orang Umno. Itu pun sebahagian orang Umno sahaja.

Sampai sekarang Umno bermusuh dengan Melayu yang tidak menyokong Umno. Buktinya, royalti minyak Kelantan tidak diberikan kepada kerajaan dan rakyat Kelantan. Kerajaan Kelantan adalah kerajaan orang Melayu dan rakyat Kelantan, 95 peratus adalah orang Melayu.

Umno juga bermusuh dengan orang bukan Melayu yang tidak menyokong Umno. Buktinya, Umno memusuhi DAP tetapi tidak memusuhi MCA. Umno tidak menyerang Pulau Pinang semasa diperintah Gerakan tetapi menyerangnya semasa diperintah DAP. Gerakan adalah Melayu?

Semasa Umno bermusuh dengan orang Melayu, Umno berbohong dengan konsep ketuanan Melayu dan semasa Umno bermusuh dengan DAP, Umno berbohong dengan konsep 1 Malaysia.

Apa yang benar? Umno hanya tidak bermusuh dengan (sebahagian) Melayu Umno dan tidak bermusuh dengan (sebahagian) bukan Melayu yang menyokong Umno.

Mengapa pula sebahagian? Kerana ada ahli Umno sendiri yang tidak mengundi Umno. Kalau Umno tidak bermusuh dengan orang Umno, tentu tidak akan ada ahli Umno yang tidak mengundi Umno.

Ramai orang Melayu yang melarat, bukan kerana mereka tidak layak menerima bantuan tetapi kerana mereka bukan Umno.

Dulu, semasa borang buku teks sekolah perlukan tandatangan JKKK Umno, ramai anak Melayu yang tidak ditandatangani borang itu oleh JKKK. Anak Melayu begitu dapat buku teks dengan ihsan guru sahaja. Bolehkah orang Melayu melupakan kezaliman Umno itu?

Hari ini, Umno tidak memberikan hak rakyat Kelantan, royalti. Bolehkah 30 tahun lagi rakyat Kelantan melupakan kezaliman Umno ini?

Kalau apa yang dibuat oleh Umno kepada orang Melayu 10 atau 20 tahun lalu, masih diingati oleh orang Melayu kini, maknanya kezaliman Umno hari ini akan tetap dikenang oleh generasi 20 dan 30 tahun akan datang.

Maksudnya, hari ini orang Melayu benci Umno. 20 atau 30 tahun lagi pun, orang Melayu benci Umno.

Umno juga pernah bermusuh dengan bukan Melayu. Semak balik kenyataan pemimpin-pemimpin Umno ketika krisis parti itu dengan MCA. Apatah lagi tindakan pemimpin-pemimpin Umno terhadap orang bukan Melayu DAP.

Kalau orang Melayu tidak boleh melupakan kejahatan Umno, tentu itu juga perasaan orang bukan Melayu kepada Umno. Kebencian kepada Umno oleh orang Melayu dan bukan Melayu tidak pernah pudar. Kenapa? Kerana Umno menipu mereka dengan slogan yang diciptanya, ketuanan Melayu dan 1 Malaysia.

Rabu, 9 Disember 2009

UMNO-BN BERTUAH DAPAT PM SEPERTI NAJIB




ISU BTN - NAZRI DAN MAHATHIR BERTELAGAH

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata beliau tidak bersetuju dengan pandangan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kursus Biro Tata Negara (BTN) tidak perlu dirombak.

Mantan PM, Dr Mahathir mempertikaikan mengapa Nazri perlu terperangkap dengan permainan politik pembangkang sehingga perlu merombak modul kurikulum yang diguna pakai oleh BTN dan telah sekian lama dipraktikkan secara berkesan di Malaysia.

“Saya tahu Dr Mahathir mengulas mengenai patriotisme dan sebagainya, ya saya setuju mengenai patriotisme ... ia untuk semua.

“Namun terdapat mereka yang menghadiri kursus (BTN) yang kemudianya keluar dengan perasaan marah. Terdapat banyak contoh ... jadi saya ingin tahu di mana silap saya dalam menyokong rombakan silibus BTN,” katanya Nazri.

Malah Nazri juga menyifatkan Dr Mahathir sebagai “rasis betul” kerana mempertahankan kursus-kursus BTN sambil mengulangi keputusan Kabinet sebelum ini bahawa program-program itu akan dirombak.

“Dia rasis betul. Anda seharusnya bertindak sebagai seorang rakyat Malaysia sama ada menteri ataupun sebaliknya.

“Anda mesti buat apa yang anda perkatakan. Jangan kerana bila anda menjadi Perdana Menteri, anda mahu setiap orang menyokong anda, anda bertindak seperti seorang rakyat Malaysia. Sebaik sahaja bukan lagi jadi Perdana Menteri, anda hanya bercakap pasal orang Melayu, saya tidak boleh menerima komen beliau,” katanya.

Oleh itu kata Nazri beliau “sangat percaya bahawa kursus-kursus BTN mesti selari dengan slogan 1 Malaysia yang digerakkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Menjawap tuduhan mengatakan beliau rasis, Mahathir mencadangkan agar Nazri keluar daripada UMNO untuk membuktikan yang beliau anti perkauman. Beliau harus sedar kedudukannya dalam parti dan peka dengan kenyataannya yang menyentuh isu perkauman khususnya orang melayu,” jelas Dr Mahathir.

Disebabkan Nazri menyatakan pandangannya bahawa Mahathir rasis, beliau diserang bertubi-tubi oleh blogger-blogger UMNO sendiri seperti blogger kuat mencarut parpukari, rockybru, cucu tok selampit dan banyak lagi.

Sebelum ini Dr Mahathir pernah menulis di dalam blognya berkaitan luahan seorang bekas pemimpin kanan UMNO berkata "UMNO busuk hingga ke ususnya" samada daripada peringkat terendah hingga ke peringkat tertinggi. Maka disini terbuktilah bahawa busuknya telah pun mengeluarkan baunya.

Selasa, 8 Disember 2009

PROGRAM "PERMATA" SEBENARNYA TAK BERAPA PINTAR

SHAH ALAM, 8 Dis: Kerajaan Negeri Selangor mempersoalkan kewajaran langkah Kerajaan Persekutuan dalam memperkenalkan Program PERMATA Pintar untuk memberikan pendekatan pembelajaran yang berbeza kepada pelajar pintar cerdas sedangkan mutu pendidikan secara keseluruhan merosot.

Perdana Menteri Najib Razak kelmarin menyatakan hasrat kerajaan pusat mewujudkan Program PERMATA Pintar untuk memberi tumpuan kepada pelajar pintar, misalnya mengadakan tadika pintar dan sekolah pintar.

“Sebenarnya BN telahpun memperkenalkan 300 buah Sekolah Kluster atau Kelompok Sekolah Cemerlang (KSC) sejak tahun 2007, jadi kami tidak jelas apa perbezaan Sekolah Kluster dengan Program PERMATA Pintar yang terbaru ini,” kata Exco Pendidikan Selangor, Dr Halimah Ali dalam satu kenyataan media hari ini.

Halimah berkata, secara keseluruhan mutu pendidikan negara kita bertambah merosot, malah jurang taraf sekolah semakin melebar di antara kawasan maju dengan mundur.

“Sejauh manakah peluang terbuka kepada murid-murid dari sekolah-sekolah kampung, estet atau kawasan setinggan untuk menyertai program itu?”

“Dengan curahan wang yang banyak ke dalam program PERMATA Pintar yang bersifat ekslusif dan elitis, ianya mungkin boleh membantu segelintir pelajar yang mempunyai kecerdasan luar biasa, akan tetapi ia tidak akan memperbaiki keadaan pendidikan negara seluruhnya.”

“Sebaliknya menambahlebarkan lagi jurangnya dengan sekolah-sekolah terbiar di kawasan mundur,” ujar Adun Selat Klang itu.

Halimah menyarankan agar Kerajaan Persekutan fokus pada usaha mempertingkatkan infrastruktur sekolah khususnya sekolah bantuan modal sepertimana dilakukan di Selangor di mana RM16 juta diperuntukkan untuk Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Tamil dan Sekolah Persendirian Cina.

Berhubung dengan isu pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dibenarkan mengambil tambahan dua mata pelajaran tetapi keputusan keseluruhan akan tetap mengambil kira 10 mata pelajaran teras, Halimah berpendirian keputusan kementerian itu jelas bercanggahan dengan konsep yang dibawa oleh Perdana Menteri sendiri iaitu memberi tumpuan kepada pelajar pintar.

“Apa gunanya untuk mengadakan Program PERMATA Pintar jika kerajaan sendiri menghadkan potensi mereka yang pintar ini?,” soal Halimah.

Katanya, kerajaan sewajarnya mengambil kira semua mata pelajaran yang diambil bagi menggalakkan pelajar yang cemerlang dalam pelajaran berpeluang untuk terus maju ke depan.

Isnin, 7 Disember 2009

WAHAI PEMIMPIN MCA, DENGARILAH NASIHAT MUHYIDDIN

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ahli jawatankuasa pusat MCA harus berkorban dengan mengosongkan jawatan mereka bagi membolehkan pemilihan baru diadakan mengikut kehendak perlembagaan parti itu.

"Mahu tidak mahu, mereka harus berkorban supaya jumlah dua pertiga minima yang diperlukan boleh dicapai," kata timbalan perdana menteri kepada pemberita yang mengikuti misi perdagangan dan pelaburan selama empat hari ke Tokyo.

Menurutnya, pemimpin MCA harus bertindak secara satu pasukan memandangkan terdapat ruang dan harapan bagi menyelesaikan kemelut parti itu, lapor Bernama.

Muhyiddin berkata, semua pemimpin MCA, termasuk presiden Datuk Seri Ong Tee Keat, timbalan presiden Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan naib presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai mempunyai pengaruh masing masing dalam badan tertinggi MCA.

"Kalau dua pertiga sahaja pun tidak baik kerana sepertiga tidak setuju. Oleh itu, sebaik mungkin, bila berhenti, semua berhenti.

"Lepas itu, kita membolehkan perwakilan MCA menentukan masa depan MCA dan bukan pemimpin MCA sahaja (berbuat demikian)," kata Muhyiddin.

Ketika ditanya sama ada adil atau tidak bagi mereka yang tidak terlibat dengan isu itu perlu meletak jawatan, Muhyiddin berkata isunya bukan adil atau tidak.

Ohhh!.... Muhyiddin, pandainya nak beri nasihat pada MCA. Siap suruh-suruh letak jawatan lagi supaya bertanding semula. Tapi yang hairannya kalau kena batang hidung pemimpin UMNO yang buat perangai semacam itu, tak pula sibuk-sibuk Muhyiddin minta letak jawatan.

Contoh yang paling nyata apa yang berlaku pada Adun UMNO di DUN Kota Siputeh. Muhyiddin sepatutnya nasihatkan Adun Kota Siputeh terlebih dahulu supaya letak jawatan kerana Adun tersebut tak mampu nak pikul tanggungjawap jadi wakil rakyat kawasannya kerana malas nak hadir mesyuarat DUN. Sedangkan berdasarkan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah dalam Perkara 51 menyatakan "Jika mana-mana ahli bagi Dewan Undangan Negeri tiada hadir di dalam Dewan dengan tiada kebenaran Speaker di dalam dua kali menyuarat berturut-turut maka tempatnya itu hendaklah menjadi kosong".

Sepatutnya DUN tersebut kosong, tetapi perkara tersebut tidak berlaku di Kedah malah Muhyiddin dengan jentera UMNO sedaya upaya pula mencabar keputusan mahkamah tinggi yang menyatakan DUN tersebut sebenarnya telah diistihar kosong.

Ini belum lagi termasuk politik yang telah berlaku di negeri Perak semasa rampasan kuasa oleh UMNO-BN. Apakah Muhyiddin sedar akan duduk perkara itu samada ianya sah atau tidak? Kenapa tidak nasihat pemimpin UMNO supaya mereka harus bersabar. Kenapa tidak dibubarkan DUN dan adakan semula pilihanraya samada rakyat majoriti memilih UMNO-BN ataupun Pakatan Rakyat.

Begitulah rakusnya pemimpin UMNO bila berkuasa. Mereka hanya tahu untuk memberi nasihat kepada orang lain tetapi mereka sendiri tidak mampu untuk menerima nasihat. Walaupun nasihat telah diberi pada PRU12 yang lalu melalui undi, namun UMNO masih berdegil dan tunggulah pula hukuman dari rakyat lagi pada PRU13 pula.

Muhyiddin sepatutnya berasa malu untuk menasihatkan pemimpin MCA kerana pemimpin UMNO sendiri pun beliau gagal untuk menonjolkan diri mereka sebagai calon berdisiplin serta mempunyai contoh tauladan yang baik.

Ahad, 6 Disember 2009

PERLETAKKAN JAWATAN MENTERI - KABINET NAJIB PENUH MISTERI

Minggu ini ada dua orang penting letak jawatan. Pertama, Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Sulaiman Abdul Taib Mahmud. Kedua, Datuk Ahmad Said, Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Timbalan Menteri Pelancongan yang masih muda itu memberi alasan dia meletak jawatan atas sebab kesihatan. Siapa yang percaya lelaki segar bugar seperti Sulaiman sakit? Kecualilah sakit yang tak nampak sakit, sakit mental contohnya.....

Ahmad Said pula berkata dia letak jawatan atas sebab peribadi kerana telah lama berkhidmat dan untuk mendampingi keluarga. Itu juga jawapan pelik. Dah hang tau telah lama berkhidmat, yang hang dulu tu pi gatai-gatai sambung kontrak tu buat apa? Kalau dah sayang sangat keluarga, sejak dulu Ahmad Said boleh buat pilihan jangan sambung kontrak dan duduk di rumah saja menghabiskan wang pencennya yang berlambak itu bersama keluarga.

TPM Najib pula berkata Ahmad Said letak jawatan tanpa desakan dan tekanan mana-mana pihak. Dia letak jawatan atas pilihan sendiri dan telah memaklumkannya kepada Najib. Jika Ahmad Said letak jawatan kerana suka-suka saja tanpa sebab, mengapa Najib tidak menasihatkannya bersabar untuk menghabiskan kontrak yang cuma berbaki beberapa bulan saja lagi itu?


Ini yang saya heran sangat dengan VIP-VIP kita ni. Suka sangat memberi alasan yang orang tahu ia bukan yang sebenarnya. Suka sangat mereka bohong sunat supaya tidak rasa malu.


Tok Mufti Perak yang pandai mengeluarkan fatwa itu mungkin boleh beritahu apa hukumnya bohong sunat VIP-VIP kita tu.


~ pendikar gunung kriang

SEKITAR MAJLIS PELANCARAN KELAB PENYOKONG PAS, PAS KAWASAN BATU DI TAMAN MELEWAR







Sabtu, 5 Disember 2009

NAJIB AKAN TERIMA 'BALA' JIKA DAKWAAN BALA BENAR


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akhirnya bersuara terhadap dakwaan bahawa adiknya Datuk Mohamed Nazim telah memaksa penyiasat persendirian P Balasubramaniam menutup mulut.

Beliau menafikan dakwaan itu yang menurutnya tidak berasas.

Apabila soalan itu diajukan kepada beliau dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno malam ini, Najib berkata, beliau tidak akan melayan kenyataan semberono.

Beliau diminta mengulas dakwaan Balasubramaniam dalam siri video wawancaranya yang disiarkan dalam Youtube.

Dalam wawancara tersebut, Balasubramaniam mendakwa Nazim dan beberapa individu lain, bertindak sebagai proksi Najib, bagi memaksanya menarik balik akuan bersumpah pertamanya.

Beliau juga mendakwa ditawarkan RM5 juta oleh Nazim dan individu lain yang dikaitkan dengan kes tersebut.

Akuan bersumpah itu, yang diumumkan 3 Julai tahun lalu, mengandungi dakwaan yang Najib mempunyai hubungan dengan Altantuya Shaariibuu - kenyataan yang dinafikan Najib kemudiannya.

Balasubramaniam telah menarik balik akuan bersumpah pertamanya itu dalam tempoh 24 jam dalam situasi yang meragukan dan meninggalkan negara bersama anggota keluarganya.

Walaupun pelbagai pihak telah mendesak Najib supaya memberi reaksi terhadap perkembangan terbaru itu, tetapi perdana menteri dan adiknya itu sebelum ini, hanya membisu.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata ia telah memulakan siasatan terhadap isu tersebut.

Jumaat, 4 Disember 2009

HIMPUNAN PAS FOR ALL BERSAMA NIK AZIZ ESOK


KUALA LUMPUR, 4 Dis - Mursyidul Am PAS, Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dihujani pelbagai fitnah dan dugaan muktahir ini akan bersama-sama rakyat pada "Himpunan Perpaduan Umah PAS For All" di Taman Melewar, Sabtu 5 Disember jam 9.30 malam.

Program ini akan menampilkan kedua-dua Pengerusi Kelab Penyokong PAS (KPP) India dan Cina, Balasubramaniam dan Hu Phang Chow yang akan berintraksi dengan para penyokong Pakatan Rakyat, kata Setiausaha PAS Kawasan Batu, Haji Ismail Yahya kepada Harakah.

Turut menyampaikan pidato, AJK PAS Pusat, Mohd Hanipa Maidin yang akan mengulas isu-isu berkaitan royalti minyak, PRK Kota Siputeh, pengharaman BTN dan tohmahan jahat Umno terhadap MB Kelantan.

Himpunan ini juga bersempena sambutan Jubli Perak 25 Tahun PAS Kawasan Batu.

Orang ramai dan penyokong Pakatan Rakyat dijemput hadir bagi mengikuti ulasan terkini Mursyidul Am tentang kontroversi doa terhadap PM dan tuntutan royalti minyak.

Khamis, 3 Disember 2009

KENA TONGGENG PUNGGUNG JIKA NAK AMBIL BEG

Ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Datuk Azhar Ibrahim dari Umno, digantung daripada menghadiri sidang DUN kerana insiden 'tunjuk punggung', menyebabkan semua ADUN BN bertindak keluar dewan.

Azhar yang juga ADUN Penaga digantung sepanjang sidang dewan sekarang, yang akan berakhir esok, selepas beliau enggan memohon maaf berhubung tuduhan menunjukkan punggung kepada Sim Tze Tzin (DAP-Pantai Jerjak) semalam.

Azhar dituduh melakukan perbuatan itu ketika hendak keluar dewan setelah Timbalan Speaker Tan Hock Leong mengarahkan beliau keluar kerana enggan menarik balik istilah "dua tiga kerat" semasa membahaskan Bajet 2010 semalam.

Bercakap kepada media di lobi dewan, Azhar mendakwa ia merupakan satu lagi konspirasi Pakatan Rakyat untuk menutupnya daripada mengkritik pentadbiran kerajaan negeri.

"Saya cuma membongkok untuk ambil beg kerana beg saya berada di bawah, takkan pula saya nak lambung guna kaki dan tangkap, tapi dituduh menunjukkan punggung pula.

"Inilah satu contoh yang ditunjukkan oleh sebuah kerajaan yang tidak bermoral, tidak bermaruah dan tidak sanggup menerima kritikan," katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan, insiden ini bermula apabila Sim yang mengambil bahagian dalam perbahasan Bajet 2010 pagi ini membangkitkan isu itu yang kemudiannya mendapat perhatian daripada Abdul Halim.

Speaker itu kemudian mengarahkan Azhar supaya memohon maaf kerana perbuatan itu seolah-olah menghina Sim.

Abdul Halim juga mempelawa Azhar untuk menonton tayangan video kejadian semalam namun Azhar enggan.

"Saya tidak bersalah, untuk apa saya minta maaf atas perkara yang saya tidak lakukan. Saya ada prinsip dan berpegang kepada prinsip itu," katanya.

Selain Azhar, lapan lagi wakil rakyat Barisan Nasional turut keluar dewan sebagai tanda protes terhadap tindakan yang dikenakan.

Azhar digantung sehingga persidangan selesai esok.

Azhar berkata beliau akan menghantar aduan kepada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berhubung tindakan yang dikenakan terhadapnya, dan salinan aduan itu dihantar kepada semua Speaker DUN negeri. Sumber: mkini

Satu masa dulu Menteri Besar Pahang yang menunjukkan isyarat lucah tetapi menipu menyatakan bahawa beliau tak tunjukkan isyarat lucah tetapi sekadar mengangkat tangannya kerana dikatakannya terseliuh.

Itulah jenis wakil rakyat UMNO yang ada kini. Melakukan perbuatan-perbuatan yang tersangat tidak berdisiplin dan berakhlak. Tetapi kemudian mencipta alasan-alasan untuk melepaskan diri mereka.