Sabtu, 3 April 2010

PROJEK 'GULA-GULA' UMNO-BN SEDANG BERMULA


Pengumuman projek politik Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjanjikan empat sekolah baru bagi Hulu Selangor, RM2 juta untuk mengatasi masalah banjir di Kampung Sentosa di Batang Kali serta meluluskan permohonan RM100,000 bagi Masjid Al-Sajdin di kampung yang sama, semalam mendatangkan padah.

Beliau dibidas oleh pelbagai pihak termasuk rakyat yang beranggapan BN cuba menggula-gulakan masyarakat di Hulu Selangor.

PAS dalam satu kenyataan berkata sebagai timbalan perdana menteri dan bukannya menteri kewangan, Muhyiddin berkuasa dengan sewenang-wenangnya mencurahkan peruntukan itu tanpa merrujuk kepada kementerian bertanggungjawab.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Ketua Penerangan Pas, Idris Ahmad. Menurut beliau, dalam kesibukan BN cuba menjadi juara memperjuangkan masalah rakyat di Hulu Selangor, Muhyiddin telah dimalukan dengan pendedahan laporan dari Bernama.

Laporan itu memaparkan kisah empat guru di sekolah rendah Long Latin, Ulu Baram, Sarawak, termasuk sepasang guru suami isteri yang terpaksa tidur dalam sebuah bilik sempit yang daif sejak tiga tahun lalu.



Laporan Bernama itu disiarkan oleh beberapa media media arus perdana hari ini.

“Lebih menyedihkan lagi, bilik kediaman guru-guru yang cekal ini adalah di bawah bilik darjah tempat mereka mengajar. Tidak dapat dibayangkan penderitaan yang mereka alami lantaran layanan 'double standard' menteri pelajaran yang lebih ghairah mengumumkan projek-projek meganya di Hulu Selangor.

“Jika dibandingkan dengan rumah sebahagian guru-guru yang mengajar dan tinggal di Putrajaya, saiz 20 x 10 kaki itu, bersamaan dengan ruang tempat letak kereta di rumah mereka sahaja. Memang mewah guru di Putrajaya kerana kerajaan begitu menjaga imej sekolah di Putrajaya berbanding Ulu Baram,” katanya.

Menurut Idris, pendedahan itu amat memalukan kerana guru-guru berkenaan mengajar di kawasan parlimen BN, yang diwakili oleh Datuk Jacob Dungau Sagan yang juga adalah timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri.

“Apakah Muhyiddin mahu tunggu sampai ahli parlimen Baram ini meninggal dunia baru hendak umumkan peruntukan bagi pembinaan rumah baru bagi guru-guru malang ini? Sewajar sebagai ahli parlimen bertaraf timbalan menteri, kawasan Jacob mendapat peruntukan yang lebih baik sekarang,” katanya.

Idris berkata PAS melihat, pendedahan Bernama ini hanyalah sebahagian kecil daripada kudis-kudis yang ada dalam pengurusan menteri pelajaran dan kerajaan BN.


Justeru, beliau berharap rakyat, khususnya di Hulu Selangor tidak tertipu dengan taktik projek politik itu kerana BN akan menabur sebanyak mana janji dan peruntukan yang mampu semata-mata untuk merampas semula kerusi Hulu Selangor.

Kerusi Hulu Selangor kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad dari PKR pada 25 Mac lalu akibat barah otak.

Suruhanjaya Pilihan Raya, semalam mengumumkan pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor ditetapkan pada Ahad, 25 April, manakala penamaan calon pula ialah pada 17 April.

1 ulasan:

danny berkata...

bn memang dari dulu memang suke bazirkan wang rakyat dlm prk ni...

P/s-Mohon link di blog ini~~