Memaparkan catatan dengan label polis diraja malaysia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label polis diraja malaysia. Papar semua catatan

Selasa, 27 April 2010

KES TEMBAK REMAJA 15 TAHUN DI BAWA KE KABINET


Timbalan pengerusi Umno Selangor, Datuk Noh Omar berkata pihaknya bersimpati dengan kejadian yang menimpa pelajar sekolah - Aminulrasyid Amzah - yang mati ditembak polis awal pagi semalam.

Katanya, beliau berharap kes tersebut dapat disiasat dengan telus bagi mencari keadilan dan kebenaran.

"Saya harap kes ini tidak disensasikan atau dipolitikkan," katanya dalam sidang media di rumah keluarga arwah Aminulrasyid di Shah Alam hari ini.

Beliau yang juga menteri pertanian dan industri asas berkata, dalam mesyuarat kabinet esok, beliau sendiri akan membangkitkan isu tersebut bagi perhatian kerajaan.

Noh juga berkata, Umno negeri akan menawarkan bantuan guaman kerana keluarga terbabit berhak menyaman polis dan kerajaan Malaysia.

"Mereka juga boleh mengadu kes ini kepada pihak Suhakam," katanya. mkini

Isnin, 1 Februari 2010

USAH PERCAYA LAGI PADA POLIS


MANGSA menunjukkan laporan polis dan tempat dia disimpan di Kampung Baru Cina, Kulim.

GEORGETOWN: Lari dari mulut buaya, masuk mulut naga. Mungkin itulah ungkapan yang sesuai bagi menggambarkan penderitaan seorang isteri yang menjadi mangsa pemuas nafsu seorang anggota polis sejak 10 tahun lalu.

Wanita berusia 40 tahun, dari Sungai Nibong di sini, pada awalnya mengharapkan persahabatan dengan anggota polis berusia 47 tahun berkenaan boleh menamatkan penderitaannya yang sering dipukul suami.

Malangnya, wanita yang mempunyai seorang anak perempuan berusia 18 tahun itu hidup terumbang ambing dan bergelumang dosa kerana dipaksa menjadi perempuan simpanan walaupun masih bergelar isteri orang.

Malah, sejak bersekedudukan dengan lelaki itu, dia mendakwa sudah sembilan kali menggugurkan kandungan sehingga rahimnya rosak dan dipaksa mengambil ubat pencegah hamil.

Dia membuat pengakuan itu kepada Berita Harian dalam satu pertemuan di sini sebelum menunjukkan 'markas' tempat anggota polis itu memuaskan nafsunya.

Mengimbau kisah dukanya, wanita itu mendakwa bertemu anggota polis itu ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah pusat kecantikan di Bukit Jambul dan keesokannya, lelaki itu menunggunya dan mahu berkenalan.

Saya memberitahunya saya sudah bersuami tetapi dia tetap mahu berkawan. Saya kemudian menerimanya sehingga dia berani 'merampas' saya daripada suami ketika berada di rumah," katanya.

Wanita itu juga mendakwa anggota polis itu cuba menyalahgunakan kuasa bagi memerangkap suaminya, tetapi ia diketahui pegawai atasannya dan dia ditukarkan ke tempat lain.

Walaupun ditukarkan, anggota polis itu masih berhubung dengannya dan mendakwa seperti dipukau kerana akan mengikuti apa saja yang dikatakan lelaki itu tanpa berani melawan, memendam perasaan serta sentiasa ketakutan.

Dia juga ke tempat anggota polis itu setiap hari selepas bekerja dan ditempatkan di rumah yang tersorok di sebuah kawasan kediaman.

"Setiap hari saya dipukul, didera, dicekik dan diterajang sehingga selalu mengalami sakit dalam badan. Saya juga dipaksa makan dan minum makanan yang dibelinya yang dipercayai dijampi," dakwanya.

Sepanjang 10 tahun berkeadaan begitu, suaminya tidak mengendahkannya lagi kerana kecewa dengan perbuatannya yang bersekedudukan dengan anggota polis itu, manakala hubungan mereka dirahsiakan daripada pengetahuan isteri anggota polis itu.

Dalam tempoh itu, setiap kali hari raya, dia akan dikurung dalam rumah dengan hanya berbekalkan roti, kaya dan air kosong.

Wanita itu mendakwa, pada 14 Januari lalu, dia dirogol dalam tandas kira-kira jam 10.30 malam oleh seorang lelaki tidak dikenali.

Apabila memaklumkan kejadian itu kepada anggota polis itu, dia dipersalahkan dengan mendakwa cuba mengkhianati perhubungan mereka dan dimarahi serta dipukul sebelum ditinggalkan dalam kesakitan.

"Selepas itu saya menghubungi kakak angkat untuk mendapatkan bantuan dan pergi ke Hospital Bukit Mertajam untuk rawatan," katanya.

Dia turut membuat laporan polis mengenai kejadian rogol pada 16 Januari selepas dinasihatkan doktor yang turut mendapati badannya mempunyai kesan lebam.

Selepas membuat laporan, sepasukan anggota polis diketuai seorang pegawai berpangkat Inspektor mengambil keterangan anggota polis itu tetapi memintanya mengaku dia isterinya.

"Saya kecewa dengan sikapnya, malah dia pernah mengugut akan melakukan sesuatu yang dahsyat jika perkara itu terbongkar," dakwanya yang kecewa kerana dua laporan polis yang dibuatnya di Ibu pejabat Polis Kulim, Kedah tidak diambil tindakan. Sumber

Sabtu, 30 Januari 2010

MUSA HASAN PERLU DIDIK POLIS AGAR JANGAN JADI PENGGANAS

Seorang wanita ditembak polis ketika berada dalam kereta, malah ditendang sehingga patah tulang rusuknya semasa merangkak keluar dari kereta, dengan darah yang mengalir dari tubuhnya. Sejumlah lima tembakan ditujukan kepadanya, dengan dua tembakan terkena pada lengan dan pergelangan tangan, satu pada dada, di samping dua lagi terlepas tetapi meninggalkan luka.

Ketika kejadian ini berlaku, wanita yang bernama Norizan bt Salleh ini berada di sebelah kiri tempat duduk belakang dalam kereta, bersama seorang wanita dan dua orang lelaki yang lain. Mereka yang sedang dalam perjalanan mendapati sebuah kereta MPV muncul di sebelahnya secara tiba-tiba, dan polis di dalam kereta itu mula menembak sebelum mereka mengetahui apa yang berlaku sebenarnya.

Norizan bt Salleh, 30 mendedahkan insiden yang berlaku pada awal pagi 30 Oktober 2009 ini dalam satu sidang media, bersama peguamnya Surendran, ibunya Siti Alimah bt Abu, Ketua Penerangan PKR Latheefa Koya dan AJK Wanita PKR Rozaini Mohd Rosli, semalam.

Dipaksa untuk membuat pengakuan

Menurut Norizan, rakannya dalam kereta turut diseksa, malah dipaksa polis untuk mengaku bahawa mereka telah melakukan jenayah merompak. Apa yang peliknya, mereka tidak melalui prosedur soal siasat dan tahanan. Oleh itu, Norizan yang tidak mempunyai rekod jenayah langsung tidak tahu mengenai "kesalahan yang dilakukannya" sehingga hari ini, lebih-lebih lagi beliau tidak didakwa di mahkamah.

Mengimbas kejadian yang berlaku tahun lalu ini, Norizan menceritakan bagaimana beliau pulang ke rumahnya dari rumah kawan di Segambut, Kuala Lumpur pada pukul tiga awal pagi, dengan menaiki kereta Waja. Mereka melalui MRR2, dan beliau mendapati sebuah kereta MPV di sebelah kereta mereka ketika dalam perjalanan.

Menurut Norizan, polis di dalam kereta itu menghalakan pistol ke arah mereka, dan mula menembak sebelum mereka sempat berhenti. Peluru menembusi kereta mereka, malah lima tembakan dilakukan ke arah dirinya, dengan salah satu terkena pada dada, sehingga darah mengalir tanpa berhenti.

Norizan menekankan beberapa kali, bahawa mereka tidak tahu apa-apa ketika kejadian itu berlaku, malah tidak tahu apa yang akan berlaku seterusnya. Kemudian, Norizan mula kabur, dan tidak sedar di mana keretanya berhenti. Tiba-tiba, pintu kereta dibuka, dan polis menghalakan pistol ke arahnya.

Kemalangan jalan raya, kata polis

Wanita yang tidak bersenjata ini meminta tolong, tetapi dibalas pula dengan tendangan polis. Beliau merangkak keluar dan ditendang oleh polis yang sama, sebelum dipijak belakangnya, yang berakhir dengan retaknya dua tulang rusuknya.

Norizan (gambar kanan) berkata, beliau nampak dirinya dikepung lebih daripada 10 kereta polis. Norizan seterusnya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dirawat. Empat hari kemudian, beliau dihantar ke Institut Jantung Negara. Sejumlah 11 hari beliau tinggal di hospital di bawah pemantauan polis.

Ketika keluar dari hospital, Norizan dimaklumkan bahawa kos rawatan sejumlah RM20,000 perlu ditanggungnya sendiri, dan bukan polis yang mencederakannya kerana polis memberitahu hospital bahawa Norizan ditimpa kemalangan jalan raya. Bagaimanapun, ibu tunggal yang masih menganggur, dan mempunyai seorang anak berumur 10 tahun ini gagal menjelaskan hutang ini.

IO yang mencederakan Norizan

Norizan memberitahu bahawa dirinya pernah meminta bantuan daripada Micheal Chong, Pengerusi Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA. Micheal Chong pula membawanya untuk membuat laporan di Balai Polis Sentul. Kebetulannya, Investigation Officer yang bertanggungjawab dalam siasatan adalah orang yang mencederakannya pada hari kejadian berlaku.

Kemudian, Norizan dibawa ke Balai Polis Kepong untuk membuat laporan, dan polis memberitahu bahawa dirinya akan dihubungi dalam masa 48 jam. Tetapi, beliau tidak dihubungi sehingga kini setelah laporan itu dibuat pada 16 November 2009.

Selain itu, menurut Surendran, tiga orang kawan Norizan yang tidak berani untuk menampilkan diri semalam juga diseksa oleh polis. Salah seorang mengadu kepada Surendran bahawa mereka digantung secara terbalik, disapu cili pada badannya, dan dipukul tapak kakinya. Menurutnya, polis berbuat demikian agar mereka mengaku diri mereka terlibat dalam kes rompakan.

Sebagaimana yang diketahui, kaki pemandu kereta juga tercedera kerana tembakan pistol. Walau bagaimanapun, Surendran tidak pasti sama ada tiga orang yang lain mempunyai rekod jenayah.

Keadilan untuk mereka yang tidak bersalah

Latheefa Koya (gambar kanan) menyeru agar polis menyiasat kes ini dengan segera, malah mengembalikan keadilan untuk mereka yang tidak bersalah tetapi dibunuh oleh polis. Ketua Biro Penerangan PKR ini tidak menolak kemungkinan untuk menganjurkan demonstrasi sebagai protes dan mendesak agar polis menyegerakan siasatan kes ini.

Beliau juga menggesa agar polis menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis ( IPCMC) untuk menghentikan keganasan sedemikian dan mengelakkan lebih orang dimangsakan sebegini. Malah, Latheefa Koya khuatir polis tidak akan membiarkan nyawa mangsa itu daripada hidup selepas ini.

"Kami mahu kerajaan, Kementerian Dalam Negeri respon kepada kes yang didedahkan hari ini. Bukan sahaja kami nak memperjuangkan keadilannya, tetapi mempertahankan keadilan untuk semua orang. Kami berharap polis memandang kes ini dengan serius, menyiasat. Ini bukan mengarut... Ini untuk mengelakkan mangsa seterusnya ditembak, dan saya amat bimbang, lain kali mereka (polis) akan memastikan mereka tidak dibiarkan hidup," ulasnya.

Norizan antara yang hidup dan tampil ke depan

Surendran (gambar kiri) pula mendakwa bahawa kes ini adalah bukti kes "shoot-to-kill" (tembak untuk bunuh), dan Norizan adalah mangsa yang masih hidup dan berani tampil untuk mendedahkan salahguna kuasa polis ini.

"Kami tidak lagi percaya kepada kenyataan polis. Mangsa sebelum ini ditembak mati kesemuanya. Mujur kami ada seorang mangsa yang masih hidup dan tampil untuk mendedahkan tingkahlaku polis," katanya.

Malah, Surendran menyenaraikan kes-kes penyalahgunaan kuasa polis sehingga mangsanya terbunuh sebelum ini, termasuk enam orang di Kulim yang ditembak mati oleh polis pada Februari 2009 dan lima orang yang ditembak mati di Klang pada awal November 2009.

Menurut Surendran, dalam kes di Kulim, beliau diberitahu jiran mangsa bahawa salah seorang lelaki yang ditembak mati adalah seorang yang berpenyakit mental; sementara kes di Klang pula berakhir dengan tregedi kakak seorang mangsa membunuh diri bersama anaknya kerana terlalu sedih.

*Ong Vic Kee ialah wartawan MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang.