Jumaat, 30 Julai 2010

PKFZ - SEKOLAH BERTINGKAT-TINGKAT TAPI BODOH BERLAPIS-LAPIS

KUALA LUMPUR, 30 Julai: Jika benar Tun Dr Ling Liong Sik menipu kerajaan Malaysia seperti tuduhan ke atasnya di Mahkamah Sesyen Putrajaya semalam, bagaimanakah mereka yang ditipu masih kekal dalam jemaah menteri hingga sekarang.

Ketika mempersoalkan perkara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, jika benar penipuan itu berlaku, mereka yang ditipu sehingga dua kali dalam tempoh tidak sampai dua bulan hilang kelayakan sebagai anggota jemaah menteri termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ling yang juga bekas Menteri Pengangkutan menghadapi tuduhan menipu kerajaan sekitar 25 September 2002 dan 6 November 2002 dengan memperdayakan jemaah menteri untuk memberikan persetujuan pembelian tanah di Pulau Indah untuk projek Mega Distribution Hub di Pelabuhan Klang.

Perdana Menteri, timbalannya dan sebahagian anggota kabinet kini adalah anggota kabinet pada masa penipuan itu didakwa berlaku.

"Persoalannya ialah bagaimana sebahagian yang kena tipu masih kekal dalam jemaah menteri hingga sekarang dan menjawat jawatan yang lebih besar iaitu Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dan ramai lagi anggota jemaah menteri pada 2002 yang turut kena tipu masih kekal dalam kabinet kerajaan Umno Barisan Nasional (BN)," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Jika tuduhan ke atas Ling benar, Mahfuz menyifatkan perkara itu sangat memalukan kerana perkara itu menunjukkan dalam kabinet kerajaan BN ada penipu dan ada yang kena tipu sehingga mengakibatkan kerugian yang sangat besar kepada negara dan rakyat.

"Yang menipu sudah tentu jahat dan bijak. Yang kena tipu pula sudah tentu lemah dan bangang.

“Yang tipu tak beramanah sementara yang kena tipu pun sama tak beramanah dan pak angguk dalam mesyuarat jemaah menteri.

"Apalah malang rakyat Malaysia diperintah oleh kerajaan Umno BN yang anggota jemaah menterinya orang yang bodoh bangang dan mudah ditipu sebanyak dua kali dalam tempoh tak sampai dua bulan," kata Mahfuz.

Malaysia, katanya, tidak akan maju jika jemaah menteri dari kalangan penipu dan menteri yang mudah ditipu terus berkuasa.

Sambil menyatakan BN boleh dibaca sebagai "Bohong Negara," Mahfuz menyeru rakyat supaya "menyelamatkan Malaysia daripada penipu negara".

Seorang lagi Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berharap semua anggota kabinet yang didakwa telah ditipu oleh Liong Sik turut sama dipertanggungjawabkan atas apa yang berlaku itu.

Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, anggota kabinet bukan anggota pasukan bola sepak amatur.

Jika pasukan bola sepak amatur ditipu, katanya, ia masih boleh dimaafkan.

Tetapi, kata Salahuddin, anggota kabinet memegang jawatan berprofil tinggi yang memberikan kesan amat besar kepada kepentingan dan harta negara.

"Apabila mereka ditipu sehingga dua kali dalam tempoh tidak sampai dua bulan, ia merupakan condict unbecoming kerana mereka sebenarnya melakukan act of negligence yang didefinisikan sebagai the failure to use ordinary care.

"Sebab itulah kesemua anggota kabinet yang didakwa telah ditipu itu mesti bertanggungjawab dan dipertanggungjawabkan kerana kerugian yang telah ditanggung oleh negara berhubung perkara itu ternyata amat besar," katanya.

Beliau juga tidak mahu menolak spekulasi yang mendakwa tuduhan terhadap Ling itu sebenarnya adalah sindiran pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir Perdana Menteri ketika penipuan itu didakwa berlaku.

"Beberapa pihak telah mula mendakwa dan membuat spekulasi bahawa apa yang berlaku itu sebenarnya ialah 'dakwa Ling, sindir Mahathir'.

"Susah juga untuk terus menolak spekulasi itu," katanya.

PKFZ - KITA TENGOK SIAPA YANG KENA!...

Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek terkejut apabila dimaklumkan pendakwaan terhadap bekas Menteri Pengangkutan dan bekas presiden parti itu, Tun Dr. Ling Liong Sik di Mahkamah Sesyen Putrajaya semalam.

Bagaimanapun, Soi Lek berkata, beliau dan pemimpin MCA yang lain yakin Liong Sik akan mendapat perbicaraan yang adil mengikut sistem perundangan di negara ini.

Soi Lek hanya mengetahui berita itu ketika pemberita memintanya mengulas mengenai perkara berkenaan.

"Bila?... selain daripada beliau (Liong Sik), siapa lagi (yang didakwa)?" tanya Soi Lek kepada pemberita yang menemuinya selepas beliau melawat Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Poi Lam di sini semalam.

Sementara itu di Kuala Lumpur, bekas Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Kiat berkata, kes pendakwaan Liong Sik tidak akan menjejaskan proses pemulihan dalam parti MCA.

Tee Kiat yang juga bekas Menteri Pengangkutan berkata, adalah tidak adil untuk mengaitkan apa yang berlaku ke atas Liong Sik, yang menjadi Presiden MCA sejak 1986 hingga 2003, dengan parti itu sekarang.

"Rakyat ingin tahu hasil penyiasatan pihak SPRM dan polis. Ini adalah kepentingan umum," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Undang-Undang Malaysia Ke-15 anjuran Majlis Peguam. - BERNAMA.


Kronologi Skandal PKFZ

  1. Kes skandal PKFZ Malaysia ini bermula dengan melalui pendedahan Laporan Audit PriceWaterhouse Coopers (PWC) yang diumumkan pada era Mahathir, 2002, berlaku kebocoran pada minit mesyuarat kabinet untuk menjadikan tanah Pulau Indah sebagai kawasan pelabuhan bebas. Maknanya terdapat individu yang mengetahui nilai dan potensi sebenar tanah tersebut pada masa itu.
  2. Ini menyebabkan salah seorang Ahli Lembaga Pengarah (1997-2003) bagi Lembaga Pelabuhan Klang(PKA) Datuk Abdul Rahman Palil membeli tanah tersebut melalui Koperasi Pembangunan Koperasi Nelayan Selat Lumut (KPNSL), sebelum daripada kabinet mengumumkan projek PKFZ lagi.
  3. Datuk Abdul Rahman Palil Abdul Rahman kemudiaannya dilaporkan mengisytiharkan dirinya sebagai Pengerusi KPNSL.
  4. Dilaporkan KPNSL menjual tanah tersebut dengan harga yang murah, RM3 perkaki persegi.
  5. Tanah itu kemudiannya dibeli oleh Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB) dengan harga berlipat kali ganda, RM25 sekaki persegi.
  6. Menurut Laporan Audit PWC juga, skandal PKFZ di PPSB ini turut membabitkan beberapa pemimpin Umno dan BN.
  7. Antaranya, Pengerusi KDSB Datuk Seri Azim Zabidi yang juga Bendahari Umno – Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) KDSB Datuk Seri Tiong King Sing yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan BN (BNBBC) – Timbalan CEO Datuk Faizal Abdullah yang juga Ketua Pemuda Umno Kapar, dan ramai lagi yang lain.
  8. Kos bagi melaksanakan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ)dijangka melonjak kepada RM12.453 bilion jika Lembaga Pelabuhan Klang(PKA) gagal menjelaskan bayaran ansuran pinjaman Kementerian Kewangan mengikut jadual.
  9. Dalam Hansard Parlimen Mei 2009, dilaporkan skandal yang bernilai RM1.6 bilion pada tahun 2002 itu melambung antara RM7.4532 bilion dan RM12.5bilion.

Khamis, 29 Julai 2010

PATUTKAH NAJIB BERCUTI KE LUAR NEGARA!...

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan bercuti ke luar negara mulai hari ini hingga 10 Ogos, menurut kenyataan akhbar pejabat Perdana Menteri yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Kenyataan dua perenggan itu turut memaklumkan sepanjang tempoh tersebut, tugas Perdana Menteri akan dijalankan oleh timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin. - Bernama

-----------------------------------------------

Dalam rakyat sedang menghadapi krisis ekonomi, PM pula bersenang lenang bercuti ke luar negara. Rakyat sedang menderita akibat semua barangan keperluan naik, tidakkah PM perasaan!... Benarlah kata-kata Najib 'Rakyat didahulukan'.

Selasa, 27 Julai 2010

GENG PIJAK KEPALA LEMBU DIDENDA RM1000

Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini menjatuhkan hukuman denda RM1,000 atau dipenjara selama sebulan jika gagal membayar denda itu kepada semua 12 lelaki yang dituduh terlibat dalam perhimpunan haram sambil membawa kepala lembu pada tahun lalu.

Hakim Hasbi Hasan memutuskan perkara itu selepas kesemua 12 tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan iaitu menyertai perhimpunan haram di depan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah kira-kira jam 2.25 petang, 28 Ogos tahun lalu..

Mereka ialah Ahmad Mahayuddin Abd Manaf, 36, dan timbalannya, Ibrahim Sabri, 42; Eyzva Ezhar Ramly, 31; Mohd Azmir Mohd Zain; 35, Ahmad Suhairi Zakaria, 30; Mohd Hilmi Ni, 40; Jainudin @ Zainudin Md Yusuff, 67; Mohd. Jurit Ramli, 39; Mohammad Nordin Zakaria, 56; Jamil Mohamad Isa, 40; Rahimuddin Md. Harun, 39; dan Azhari Shaari, 39.

Dua daripada mereka, Mohd Azmir dan Eyzva Ezhar turut didenda; masing-masing RM3,000 bagi kesalahan membawa dan memijak kepala lembu dalam perhimpunan itu.

Sebelum ini, semua 12 mereka didakwa mengikut Seksyen 27(5A) 1967 Akta Polis yang membawa hukuman lebih berat.

Isnin, 26 Julai 2010

SHAHRUKH KHAN - SEKOLAH LAHIRKAN ANAK HARAM AKAN DIBINA

MELAKA: Selepas menggalakkan golongan muda di negeri ini berkahwin awal dengan menyediakan bantuan sebanyak RM500, kerajaan Melaka bercadang menubuhkan pula sebuah sekolah khusus untuk remaja yang hamil sama ada secara sah mahupun di luar nikah.

Ketua Menterinya, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, penubuhan sekolah kendalian Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) itu penting untuk dilaksanakan dalam membantu remaja yang berkahwin awal dan pasangan terlanjur membina kehidupan dan membesarkan bayi sambil meneruskan pelajaran di sekolah itu tanpa gangguan masyarakat.

Remaja dari negeri ini yang perkahwinan mengalami masalah boleh meneruskan persekolahan di sini. Kita akan membantu mereka daripada melakukan perkara tidak elok seperti berzina, membuang bayi atau lari dari rumah, katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan ulang tahun ketiga Perkampungan Buku serta pelancaran buku Makan-Makan dan Beli-Belah di Melaka di Taman Botanikal, Ayer Keroh, di sini, semalam.

Katanya, cadangan penubuhan sekolah khas itu sudah dibincangkan dengan JAIM dan akan dilaksanakan meskipun tidak mendapat sokongan daripada mana-mana pihak, termasuk Kementerian Pelajaran.

Saya tetap akan menubuhkan sekolah ini untuk memberi peluang kedua bagi pasangan muda yang sudah terlanjur atau bagi pasangan remaja sudah berkahwin tetapi berdepan masalah keluarga untuk meneruskan kehidupan tanpa gangguan sambil meneruskan pelajaran di sekolah ini, katanya.

Mohd Ali yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berkata, perkahwinan awal bukan menjadi masalah kerana ia berkesan untuk menangani bencana sosial di kalangan remaja.
Katanya, masyarakat wajar memudahkan urusan perkahwinan kerana Islam sendiri adalah agama yang memudahkan umatnya menja-lani kehidupan, termasuk dalam urusan pernikahan.

Mohd Ali berkata, buat permulaan, sekolah berkenaan khusus untuk pasangan remaja dari Melaka tetapi sedia menimbangkan kemasukan dari seluruh negara selepas pertimbangan teliti, termasuk restu daripada keluarga masing-masing.

Sabtu, 24 Julai 2010

KSN sepatutnya neutral, profesional

GEORGETOWN, 24 Julai: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyelar Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan apabila beliau bertindak mempertahankan Pegawai Kemajuan Negeri, Nik Ali Mat Yunus yang didakwa cuba mensabotaj kepimpinan kerajaan negeri.

Lim juga mendakwa sokongan yang diberikan oleh KSN membuktikan kegagalan yang wujud pada mereka dalam membina sebuah pentadbiran yang telus dan profesional.

Katanya, tindakan KSN mempertahankan Nik Ali walaupun sebelum ini ternyata setiap pegawai perkhidmatan awam sepatutnya bersikap berkecuali dan profesional serta neutral sudah tidak wujud lagi pada perkhidmatan awam yang ada sekarang.

Mereka ini, ujarnya sudah dipolitikkan dengan membenarkan penjawat awam mengkritik dan mengecam kerajaan negeri yang mendapat mandat dari rakyat.

Sepatutnya, kata beliau sebagai seorang Pegawai Kemajuan Negeri yang profesional dan berkaliber, kenyataan kesat seperti yang dilemparkan kepada Ketua Menteri iaitu biadap dan dayus adalah suatu tindakan yang tidak seharusnya dilemparkan oleh seorang penjawat awam kepada pemimpin yang memerintah negeri.

Mengulas kenyataan KSN yang menyokong tindakan Nik Ali menyelarnya, Guan Eng menambah, Sidek tidak mengambil tindakan yang proaktif untuk mengatasi masalah yang wujud.

"KSN seharusnya menegur tindakan Nik Ali sebagai Pegawai Kemajuan Negeri yang mengkritik kerajaan negeri secara terang-terangan. Ini adalah bertentangan dengan prinsip dan jawatan seorang penjawat awam dalam kerajaan negeri yang memerintah," tambahnya lagi.

Ketegangan antara Lim dan Nik Ali bermula setelah isu kecurian pasir di Balik Pulau mulai dipersoalkan setelah ianya bergerak sebelum kerajaan negeri diperintah oleh Pakatan Rakyat pada Mac 2008 yang lalu.

Nik Ali yang cuba mempertahankan tindakannya telah mengeluarkan kenyataan yang merendahkan status Ketua Menteri sehinggalah Lim menyelar Nik Ali dan memintanya supaya melepaskan jawatan sebagai Pegawai Kemajuan Negeri Pulau Pinang setelah tidak dapat memberi komitmen dan kerjasama kepada kerajaan negeri.

Jumaat, 23 Julai 2010

BERAHIM KATAK CADANG PARTI BARU 'PERKOSA'

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mencadangkan agar satu perlembagaan digubal untuk menubuhkan sebuah parti baru yang mengambil kira objektif Pas dan UMNO.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, cadangan itu merupakan pelan kedua yang boleh digunakan sekiranya rancangan menemukan UMNO dan Pas secara rasmi tanpa syarat sama ada dalam bentuk meja bulat atau muzakarah tidak berhasil.

''Dengan wujudnya parti baru, maka Pas dan UMNO boleh dibubarkan dan ahlinya bersatu dalam satu parti baru. Parti baru itu nanti mungkin sesuai dinamakan "PERKOSA".

Siapa Si Katak ini yang dok sibuk nak menyatukan Pas dan UMNO. Diri sendiri pun asyik melompat sana sini.

Khamis, 22 Julai 2010

KERAJAAN PERPADUANG: UMNO PERALAT MUFTI

KUALA LUMPUR, 22 Julai: Tindakan Umno yang tergamak memperalatkan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria supaya berbohong dan mendakwa terdapat pimpinan PAS yang meminta beliau menguruskan perpaduan PAS-Umno membuktikan parti itu memang tenat dan terdesak, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat melihat sendiri tingkah laku dan kelakuan Umno di penghujung hayat mereka.

"Institusi agama seperti jawatan mufti pun sanggup diperkudakan. Semuanya halal bagi mereka asalkan dapat terus berkuasa. Dulu, kini dan selamanya Umno menipu rakyat," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mahfuz melihat apa yang berlaku kepada Umno itu sebagai balasan Allah malah beliau yakin rakyat juga ingin melihat Umno dimuziumkan.

"Akhirnya balasan Allah ke atas mereka sehinggakan daripada parti yang nampak hebat dan perkasa, sekarang ini desperate.

"Saya berkayakinan umat Islam dan bangsa Melayu ingin melihat Umno dimuziumkan berserta kebobrokan, kezaliman dan kerakusannya dalam Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Beliau juga menyindir Umno kerana baru sekarang "terlolong ingin menyatupadukan bangsa Melayu".

"Inilah balasan kepada sikap bongkak, sombong dan kezaliman mereka. Kezaliman mereka bukan sahaja terhadap rakyat, malah alam semula jadi Malaysia pun mereka zalimi demi memenuhi kerakusan mereka," katanya. hrk

Rabu, 21 Julai 2010

KECURIAN KABEL PUNCA TAK UPDATE BLOG


Apa yang boleh aku katakan lagi... dengan sedihnya aku tak dapat update blog nie! Sehinggalah hari ini baru boleh menulis semula. Itu pun terpaksa gunakan perkhidmatan Maxis berukband berkelajuan sederhana iaitu 1.5 Gb. Lembab lebih kurang Streamyx jugak.

Nak tahu kisahnya. Ianya hanya disedari pada petang 13 Julai lalu. Patutlah... sampai kesudah streamyx aku tak boleh nak connection langsung. Asyik failed jer!...

Aku cuba telefon TM, untuk bertanyakan apa masalahnya tentang talian perkhidmatan mereka. Mereka berjanji untuk menyelesaikannya dalam masa 24 jam. Aku akur dengan janji TM.

Selang beberapa hari, talian masih tiada nada (senyap). Diberitakan, talian kabel telah dicuri di dalam sesalur telefon dalam bangunan kediaman. Maknanya, telefon tetap ada dan hidup tapi tak boleh pakai...Adoyai!... Sampai bilakah perkara ini akan berlaku?

Aku masih tak puas hati. Pagi tadi sekali lagi aku hubungi TM bertanyakan macam mana cara penyelesaiannya. TM maklumkan, mereka telah buat pemeriksaan bahawa kehilangan kabel adalah tanggungjawap pihak pengurusan bangunan kerana kabel yang dicuri selepas DB kepunyaan TM.

Ada kawasan yang TM pergi pasang semula kabel namun tidak sampai seminggu, kabel tersebut dicuri lagi. Kasihan juga pihak TM.

Aku tak salahkan TM 100% di atas kesulitan ini kerana bukan mereka yang salah tapi berpunca dari manusia pencuri yang tidak tahu halal dan haram. Tunggulah kamu di akhirat esok... ramai manusia kamu kena jumpa minta maaf termasuklah aku. Aku cadangkan kabel telefon tu dijadikan macam kabel elektrik yang bervoltan tinggi. Kalau dipotong jer...terus kena karan dan terus jadi abu... Fuhhh... , ada ker macam tu?.

Isnin, 12 Julai 2010

ANWAR EJEN CIA, UMNO EJEN YAHUDI

Tindakan menuduh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai alat Agensi Perisikan Pusat (CIA) menunjukkan bahawa Umno sudah terdesak, kata ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Katanya, Umno jadi terdesak ekoran kegagalan parti itu untuk meyakinkan rakyat mengenai kontroversi seperti kontrak kerajaan dengan Apco Worldwide dan Asiasoft.

"Tuduhan alat CIA nyata berat dan biadap dalam keadaan segalanya bermula apabila beberapa isu yang dibangkitkan oleh Datuk Seri Anwar secara umumnya dan KEADILAN khususnya mendapat perhatian rakyat dan gagal dijawab secara berfakta," kata Shamsul Iskandar (kanan) dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut mengecam Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, khususnya kerana berkata tindakan akan diambil terhadap Anwar jika ada bukti beliau mempunyai hubungan agensi perisikan Amerika Syarikat itu.

"Jawapan itu juga menunjukkan bahawa institusi polis sekaligus telah hilang kredibiliti apabila setelah 12 tahun isu alat CIA dimainkan, Datuk Seri Anwar masih gagal disabitkan dengan sebarang bukti konkrit dan sahih," tambahnya.

Beralih kepada Utusan Malaysia, yang melaporkan dakwaan terhadap Anwar itu semalam, Shamsul berkata akhbar tersebut telah mengkhianati perjuangan tokoh-tokoh wartawan terkemuka Melayu seperti Datuk Usman Awang, Keris Mas dan Datuk A Samad Said.

"Utusan kini jelas bukan lagi satu institusi, tetapi media yang telah terlacur sepenuhnya," tegas Shamsul lagi.

Dalam edisi Ahadnya semalam - Mingguan Malaysia - akhbar harian bahasa Melayu itu memetik tulisan Elaine Meinel Supkis, yang digambarkannya sebagai "seorang penulis blog terkemuka", mendedahkan bahawa Anwar merupakan "alat" CIA .

Akhbar tersebut menterjemah tulisan Elaine dalam blog - Culture of Life News - seperti berikut: "Anwar bukan ejen tetapi alat yang dicipta oleh CIA. Senarai rakan-rakan membuktikan segala-galanya dan merupakan ejen CIA yang menyamar."

Mingguan Malaysia memetik tulisan Elaine yang bertajuk 'CIA and Mossad want Anwar Ibrahim assassinated (CIA dan Mossad mahu Anwar Ibrahim dibunuh) yang menyebut bahawa Anwar merupakan alat ciptaan CIA bagi menjaga kepentingan dan perancangan sulit negara itu di Malaysia.

JANGAN LETAK HARAPAN TINGGI PADA NAJIB

KUALA LUMPUR, 12 Julai: Rakyat wajar tidak meletak harapan yang tinggi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyelesaikan isu Gaza walaupun beliau disokong Firma Perunding Antarabangsa APCO Worldwide (IAC), kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Ini kerana, beliau berkata, usul 'Selamatkan Gaza' yang dibawa oleh Najib ke peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Rabu lalu ditolak mentah oleh dunia, termasuk Amerika Syarikat sendiri.

"Sepatutnya dengan firma pelobi yang dekat dengan Yahudi dan Amerika ini, Najib bolehlah pengaruhi PBB," ujar beliau malam tadi dalam majlis 'Sembang Santai Bersama YB Sempena Pertandingan Akhir Piala Dunia' di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Titiwangsa (PAS).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, kegagalan Najib itu mungkin disebabkan sikap sambil lewa Kuala Lumpur sendiri melobi negara-negara yang sependapat berhubung isu kemanusiaan Gaza sebelum usul tersebut dibahas dalam kolokium PBB.

Katanya lagi, Najib sepatutnya perlu membawa usul tersebut bersama-sama Turki serta beberapa negara yang lantang mempertikan tindakan zionis Israel di wilayah bergolak itu.

Dengan berbuat demikian, katanya lagi, akan mengukuhkan keyakinan dunia terhadap usul yang dibawa oleh Kuala Lumpur.

"Kenapa tak ajak Turki dan yang lain sekali bersama kita," soal beliau sambil mempertikai iltizam politik Najib.

Lanjutan itu, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa kegagalan Najib itu berpunca daripada hubungan tidak langsung dengan APCO dengan negara haram Israel dan hegemoni Amerika Syarikat.

"Firma ini pernah dikaitkan dengan dua agen risikan Israel sebelum ini, firma ini berpengaruh dalam aktiviti lobi di Amerika, takkan dia (APCO) tak bisik apa-apa tentang Gaza pada Najib," ujar beliau lagi.

Tuntas dari itu, beliau menasihatkan Najib membatalkan perjanjian politik antara 'Kabinet Najib' dan APCO demi kepentingan dan kedaulatan negara.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui blog peribadinya, anwaribrahimblog.com mendedahkan, APCO dikepalai oleh Simen Stein (bekas duta Israel di Jerman), Itamar Robinovich (bekas duta Israel di Amerika Syarikat) dan Doron Bergerbest-Eilon (bekas Ketua Keselamatan, Agensi Keselamatan Israel-ISA/Shin Bet).

Pendedahan itu, akhirnya mendesak Ahli Parlimen Umno tertentu mengheret Anwar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

'Sembang Santai' anjuran Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr. Lo' Lo' Mohd Ghazali itu turut disertai oleh Dr. Mohd Hatta Ramli (Ahli Parlimen Kuala Krai), Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin (Ahli Parlimen Bukit Gantang) dan Mohd Nasir Zakaria (Ahli Parlimen Padang Terap). hrk

Ahad, 11 Julai 2010

Mesyuarat Perwakilan UMNO Sungai Petani kecoh

Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sungai Petani kecoh apabila sebahagian besar perwakilannya bangun dan tidak membenarkan Ketua Bahagian, Ali Yahaya berucap pada majlis perasmian di sini, hari ini.

Kekecohan bermula kira-kira pukul 9 pagi apabila seorang Ahli Jawatankuasa Bahagian, Mohd. Yusuf Lazim bangun dan terus menyatakan pendirian tidak puas hati secara terbuka dengan Ali.

Ini kerana menurut Yusop, Ali tidak layak menjadi Ketua Bahagian kerana telah menimbulkan pelbagai kesulitan kepada kepimpinan parti.

Tindakan tersebut kemudiannya disokong oleh sebahagian besar perwakilan yang bangkit meminta Ali berundur dari jawatan tersebut.

Bagaimanapun, suasana tegang tercetus apabila berlakunya kejadian tolak menolak dan bertikam lidah antara perwakilan dengan penyokong Ali.

Ekoran itu, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Abd. Azeez Abd. Rahim selaku pemantau yang dihantar Ibu Pejabat UMNO terpaksa bercampur tangan dan meminta perwakilan memberikan laluan kepada Ali berucap.

Kekecohan terus berlaku apabila perwakilan bertikam lidah dan bertegas tidak mahukan Ali meneruskan ucapan.

Keadaan tersebut memaksa Abd. Azeez beralah dan mencadangkan agar Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berucap merasmikan mesyuarat berkenaan.

Situasi berkenaan kembali reda apabila Jamil diberikan peluang berucap dan merasmikan mesyuarat tersebut kira-kira pukul 9.45 pagi.

Abd. Azeez yang ditemui pemberita berkata, pihaknya akan menyelesaikan kemelut berkenaan secara semangat kekeluargaan dan berlandaskan perlembagaan parti.

"Kita cuba selesaikan masalah ini dan harap semua perwakilan bertenang,'' katanya.

Selain Abd. Azeez, Ibu Pejabat UMNO turut menghantar Setiausaha Kerjanya, Datuk Mohd. Rauf Yusof dan Ahli MT, Datuk Abd. Aziz Shiekh Fadzir untuk memantau mesyuarat terbabit. UMNgok

Khamis, 8 Julai 2010

UMNO sesat sebab lawan perjuangan Islam

KOTA BHARU, 8 Julai: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan tuduhan pihak yang mendakwa PAS sebuah parti ajaran sesat bukan sahaja satu tuduhan yang berat, sebaliknya amat tidak berasas.

Katanya, tidak ada sebab PAS yang menjadikan al-Quran dan Hadis sebagai dasar dalam perjuangannya, ditentang sekiranya Umno sendiri bukan sebuah parti yang sesat.

Beliau sebaliknya mendakwa Umno yang sebenarnya parti sesat kerana menolak perjuangan Islam.

“Umno sebenarnya parti sesat, sebab itu mereka melawan perjuangan PAS biarpun perjuangan PAS berlandaskan al-Quran dan hadis,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengulas kenyataan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mendakwa PAS sebuah parti ajaran sesat.

Tuan Guru berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Armalah di Putik, Pengkalan Chepa hari ini.

Beliau juga turut menyifatkan kenyataan Shafie Apdal itu sebagai mengarut serta tidak berasas.

Menurutnya, sesat atau sebaliknya perjuangan bukan boleh diukur dengan kefahaman sains, sebaliknya agama.

Jelasnya lagi, orang Islam sendiri setiap kali menunaikan solat sering menyebut tidak ingin sesat di mana Allah sendiri telah memberi nikmat kepada mereka berada di jalan yang benar.

“Hanya empat golongan mereka yang diberi nikmat oleh Allah, antaranya meneruskan perjuangan yang ditinggalkan oleh Rasulullah dan para nabi iaitu memperjuangkan Islam.

“PAS sendiri khususnya di Kelantan meneruskan dasar perjuangan Islam berkenaan yang menjadi agenda perjuangan parti sendiri menurut al-Quran, hadis, ijmak ulamak malah ianya menjadi dasar bertulis perjuangan,” ujarnya.

Tambahnya, dengan jawatannya sebagai Menteri Besar Kelantan turut dilaksanakan mengikut landasan Islam termasuk menghapuskan premis judi, menyediakan rumah tiga bilik mengikut ajaran Rasulullah dan berbagai lagi.

“Kita juga buat sekolah Arab aliran sains, nak sesat apa lagi, yang tolak Islam itulah yang sesat.

Jelasnya lagi, menolak Islam ini akan menjadi manusia sesat di akhirat nanti, iaitu tidak akan sampai ke syurga.

Tambahnya, manusia tidak akan menemui jalan ke syurga jika tidak menurut ajaran Islam.

Katanya lagi, tidak ada ahli sains, psikologi atau golongan pemikir dapat membawa manusia ke syurga melainkan Rasulullah dengan ajaran Islam.

Ahad, 4 Julai 2010

HISHAMUDDIN MINTA TOLONG, KENANGLAH JASA POLIS

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengingatkan masyarakat dan generasi muda terutama pemimpin parti politik yang sering menuding jari dan mengkritik pihak berkuasa terutamanya polis, supaya mengenang kembali jasa-jasa pejuang tanahair yang banyak berkorban untuk negara.

Katanya, keamanan yang dikecapi hari ini bukan datang secara bergolek sebaliknya hasil pengorbanan pejuang negara yang mempertaruhkan jiwa dan raga demi mendapatkan kemerdekaan.

"Ini disambung dengan usaha berterusan pihak berkuasa termasuk polis dalam memastikan kemerdekaan dan keamanan yang dikecapi akan terus berkekalan namun terdapat warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dicemuh dan dikritik masyarakat malah 'digigit' oleh wakil rakyat.

"Sikap sebegini hanya akan menghakis jati diri dan negara...jika serangan terhadap pihak polis berleluasa, bagaimana kita mahu menyuntik semangat kenegaraan kepada generasi baru," katanya dalam ucapan di majlis makan malam mengenang jasa pejuang negara anjuran Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) di ibunegara malam tadi.

Beliau berkata pihak polis sering menjadi mangsa kritikan oleh individu yang tidak bertanggungjawab yang bermotifkan peribadi dan politik sempit, yang mana menuntut ketahanan dan kesabaran warga institusi itu.

Dalam pada itu, katanya, peredaran zaman serta perkembangan ilmu dan teknologi masa kini dapat memberi ancaman keselamatan lebih teruk berbanding ketika darurat.

Menurutnya, ancaman tanpa disedari seperti melalui dunia siber dapat menggugat keselamatan negara jika integriti pasukan polis sering diperkecilkan dan sekiranya tidak ditangani sejak awal.

"Cabaran yang dihadapi kini lebih getir, payah dan mencabar. Ia menuntut transformasi yang selari dengan teknologi dan peredaran zaman termasuk akta-akta sedia ada yang mungkin agak lapuk untuk diaplikasikan pada masa ini," katanya.

Beliau turut menyeru agar bekas polis kekal akrab dan terus bersama dengan kerajaan dalam menghadapi cabaran dari segi ekonomi ataupun politik semasa.

Menurutnya, segala cabaran dan realiti baru, nilai patriotisme, sikap sayang menyayang dan elemen kasih kepada negara mesti dimaknai dengan suasana dan realiti semasa.

Jumaat, 2 Julai 2010

ADA SEBAB UMNO PERTAHAN FELDA

Nak tahu sebab apa UMNO pertahankan Felda? Haha!... Inilah jawapannya...

Hubungan terus antara projek pembangunan Felda dan syarikat yang mempunyai kaitan
dengan Umno menimbulkan pelbagai soalan berhubung cara projek-projek berkenaan ditawarkan.

Berdasarkan pendedahan oleh ahli jawatankuasa pusat PAS, Datuk Husam Musa di blognya, Selasa lalu, semakan yang dilakukan Malaysiakini mendapati projek berkenaan dianugerahkan kepada firma Arkitek W&W yang dimiliki oleh ahli Umno.

Mereka adalah ADUN Bukit Chandan, Wan Mohd Khair-il Anuar Wan Ahmad dan seorang lagi yang dikenali sebagai Wan Burhanuddin Wan Hassan.

Mengesahkan perkara ini, Husam berkata Wan Burhanuddin adalah ahli Pemuda Umno bahagian Besut.

Beliau dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan keluarga seorang pegawai kanan Felda yang juga berasal dari Terengganu.

Antara projek yang diberikan kepada firma berkenaan adalah kawasan perumahan dan komersial di Feldajaya - projek pembangunan bercampur untuk generasi kedua peneroka Felda.

Bagaimanapun menurut Husan, projek Feldajaya itu bukannya sesuatu yang boleh dibanggakan kerana lokasi yang tidak sesuai serta harganya.

Contohnya, di Feldajaya Trolak, satu daripada empat mukim yang disiapkan, sebuah banglo ditawarkan pada harga sekitar RM180, 000.

"Jika anda pergi ke mukim-mukim ini, akan akan lihat ia hanya projek 'gajah putih',” kata Husam.

Projek seumpama itu juga boleh didapati di Chini, Serting dan Mempaga.

Menurut Husam, sehingga hari ini, projek berkenaan menelan kos RM152 juta.

Bagaimanapun dalam ucapannya pada 2006, Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu timbalan perdana menteri mengumumkan Felda memperuntukkan RM188 juta bagi pembangunan keempat-empat permukiman baru itu.

Meskipun bayaran untuk firma arkiter itu tidak jelas, Husam berkata jumlah kos bagi semua projek yang W&W terlibat mungkin sehingga setengah bilion ringgit.

Ini termasuk untuk pembinaan MRSM Felda Trolak dan kolej-kolej komuniti di Terengganu dan Sabah, yang katanya dibayar oleh Felda.

Ketika dihubungi, Wan Mohd Khair-il berkata isu yang ditimbulkan oleh Husam adalah isu lama dan firmanya telah beroperasi sejak 1990 dan bukannya syarikat perunding tunggal yang terbabit dengan projek Felda.

Khamis, 1 Julai 2010

ALAMAK!... G40 DITIPU 'SERTAI' UMNO

Mohd Hosni Mubarak Abdul Hamid, 27 mendakwa beliau ditipu apabila disebut sebagai salah seorang daripada 40 ulama muda yang menyertai Umno Jumaat lalu.

Beliau memberitahu Malaysiakini, keempat-empat mereka diperdaya oleh ayah kepada seorang rakan mereka kononnya perdana menteri mahu berjumpa dengan bekas pelajar Jordan.

"Jadi,pada saya apa salahnya berjumpa dengan perdana menteri," kata Mohd Hosni yang kini menjadi tenaga pengajar di Maahad Tahfiz Integrasi dan Teknologi Selangor yang terletak di Klang.

Mereka diberitahu pertemuan akan diadakan di Hotel Legend yang terletak di seberang jalan bangunan Umno.

Namun, apabila sampai ke hotel itu, beliau dan rakan-rakan dibawa turun dengan eskalator dan seterusnya menyeberang jalan ke bangunan Umno dan dibawa masuk ke dalam satu dewan.

Di sana sudah ada ramai orang yang kelihatan macam orang PAS, orang Tabligh dan sebagainya, berdasarkan kepada pakaian mereka.

"Jadi saya senang hatilah," kata Mohd Hosni. Menurutnya mereka kemudian disambut oleh bekas menteri besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dan disuruh berbaris bagi menyambut ketibaan perdana menteri.

Kata Hosni, selepas pengumuman dan diperkenalkan dengan ulama yang menyertai Umno, baru beliau menyedari tujuan majlis diadakan.

"Sekiranya saya tahu hal ini, saya tidak akan hadirinya. Saya ditipu untuk datang,” katanya.

Hosni bersama tiga rakannya yang belajar di Universiti Al Albayt, Jordan adalah antara mereka yang hadir pada majlis penyerahan borang menyertai Umno kepada presiden parti itu, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau juga menolak dakwaan yang dia ke PWTC untuk bersalam dengan Perdana Menteri.

“Tentang hendak bersalam dengan Najib, adalah lebih munasabah saya pergi ke Kelantan bersalaman dengan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz, itu lebih baik dari bersalaman dengan orang yang didakwa,” jelasnya.

Dalam pada itu, Harakahdaily memetik Hosni berkata, beliau mendapat maklumat terdapat seorang lagi lepasan Madinah yang dijemput ke majlis berkenaan kerana terdapat majlis diskusi, tetapi sebaliknya yang berlaku ialah penyerahan borang menyertai Umno oleh beberapa orang yang digelar sebagai sebagai ulama muda yang 'ori'.

Katanya, seorang di Perlis, Ustaz Abdul Wahab Abdullah berkata, beliau hadir untuk bertemu dengan perdana menteri bagi membersihkan nama kumpulan mereka yang dikaitkan dengan keganasan.

“Terbukti Umno menggunakan banyak cara untuk menarik ulama muda menyertai mereka kerana jika untuk alasan biasa pasti mereka tidak didekati, lalu mereka gunakan berbagai cara,” ujarnya.

"Saya sebenarnya rasa tertipu dengan apa yang berlaku....itulah yang saya terangkan di setiap kali ceramah saya," kata Hosni. Mkini