Semenjak pasukan Datuk Seri Najib Abdul Razak dan Tan Sri Muhyiddin 
Yassin mengetuai BN pada 2009, perdana menteri dan timbalan perdana 
menteri itu cuba menonjolkan satu imej kepimpinan yang sepadu.
Namun,
 di saat pilihan raya makin hampir, tanda-tanda keretakan semakin ketara
 pada keutuhan kepimpinan yang digambarkan itu dan contoh paling jelas 
dilihat melalui reaksi kerajaan yang mengelirukan berhubung pindaan Akta
 Keterangan.
Susulan kepada bantahan Seksyen 114A Akta Keterangan
 oleh pengendali laman web, Najib pada 14 Ogos mengumumkan di Twitter 
bahawa beliau akan mengarahkan kabinet mengkaji semula peruntukan 
undang-undang yang menimbulkan kontroversi itu.
Sehari kemudian, 
Muhyiddin yang mempengerusikan mesyuarat kabinet semasa ketiadaan Najib 
membuat keputusan yang bertentangan arahan perdana menteri supaya 
mengkaji semula pindaan tersebut.
 
Malaysiakini
 difahamkan bahawa Muhyiddin juga memanggil dua timbalan menteri, Datuk 
Saifuddin Abdullah dan Gan Ping Sieu, serta ketua pemuda Umno Khairy 
Jamaluddin berhubung pendirian mereka yang tidak bersetuju dengan 
peruntukan pindaan akta tersebut.
Mesyuarat pada 15 Ogos itu pada
 awalnya memutuskan untuk menegur ketiga-tiga pemimpin Umno berkenaan 
ekoran pendirian itu yang bertentangan dengan kerajaan.
Menteri 
di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengesahkan 
perkata itu namun menjelaskan bahawa ia hanyalah satu cadangan yang 
ditolak Najib selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet sekali lagi pada
 28 Ogos.
Walaupun dengan keputusan perdana menteri sedemikian, 
Muhyiddin pada 3 September memanggil dua timbalan menteri berkenaan ke 
pejabatnya,
Perkara ini disahkan sekali lagi oleh Nazri yang 
hadir ke mesyuarat tersebut, namun beliau menjelaskan bahawa tiada 
sebarang teguran dikeluarkan.
Menteri undang-undang itu juga 
berkata, beliau tidak memanggil timbalan menteri berkenaan tetapi 
dijemput oleh Muhyiddin untuk menjelaskan peruntukan tersebut kepada 
Saifuddin dan Gan.
Di sebalik babak yang berlangsung itu, komplot politik di peringkat parti nampaknya juga sedang digerakkan.
Menurut
 sumber PKR, puak Umno yang memihak kepada Muhyiddin dipercayai 
bertanggungjawab membocorkan dokumen projek sambungan LRT laluan Ampang 
yang mengaitkan Najib dalam pemberian kontrak kontroversi itu kepada 
George Kent (Malaysia) Bhd.
PKR menggunakan dokumen tersebut 
untuk menyerang Najib dengan dakwaan bahawa perdana menteri masuk campur
 dalam proses tender terbuka projek tersebut supaya memihak kepada 
konsortium George Kent.
Pengerusi konsortium tersebut ialah Tan Sri Tan Kay Hock yang disifatkan sering bermain golf dengan Najib.
Ketika
 dihubungi, pengarah strategi PKR Rafizi Ramli yang bertanggungjawab 
mendedahkan skandal itu berkata, identiti individu yang menghantar 
dokumen tersebut ke ibu pejabat PKR tidak diketahui.
Katanya, dokumen tersebut dihantar dalam satu sampul surat.
"Kesemua
 dokumen itu lengkap jadi terpulang kepada saya bagaimana hendak 
menggunakannya," kata Rafizi yang menambah, identiti individu yang 
menghantar dokumen berkenaan menjadi bahan spekulasi. mkini