Keputusan  itu dicapai selepas kedua-dua  pihak bermesyuarat selama sejam dengan  Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk  Mohmad Salleh di pejabatnya di Ibu  Pejabat Polis Kontinjen Kuala  Lumpur.
Walaupun  timbalan presiden PKR Azmin Ali yang mengetuai  rombongan parti itu,  namun beliau tidak mahu mengeluarkan sebarang  kenyataan sehingga sidang  akhbar jam 3 petang nanti.
Sebaliknya, perkara tersebut diumumkan oleh Ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Md Akin dalam laman twitternya yang berbunyi:
"Persetujuan   dicapai dgn @PDRMsia utk perhimpunan solidariti utk @anwaribrahim 901   di kawasn letak kereta Kompleks Mahkamah KL. Jom turun".
Azmin pada sidang akhbarnya sekadar berkata keputusan perbincangan dengan polis hari ini "positif".
Bagaimanapun katanya, beliau akan mengumumkan hasil perbincangan secara terperinci pada sidang medianya pada jam 3 petang ini.
Walaupun diasak bertubi-tubi, beliau enggan mendedahkan butiran terperinci hasil perbincangan berkenaan.
"Keputusannya   positif, saya gembira dengan (hasil) perbincangan pagi ini, kerana   polis menunjukkan kesediaan untuk berbincang dengan parti-parti politik.
"Mereka   mengambil sikap terbuka demi untuk menjamin keamanan rakyat," katanya   sambil mengharapkan perhimpunan tersebut berjalan dengan aman dan   teratur.
Azmin juga menegaskan bahawa pihaknya menyerahkan kepada   pihak polis untuk menjaga keamanan dan mampu mengatasi sebarang   provokasi daripada pihak yang tidak bertanggungjawab.
"Saya   percaya polis mengambil langkah-langkah sewajarnya... Kita juga   berbincang tentang program kita secara teliti dengan polis. Kita amat   berpuas hati," katanya.
Menurutnya lagi, perhimpunan tersebut adalah untuk mrnunjukkan solidariti bagi membebaskan Anwar daripada fitnah.
"Ia bukan protes, tapi solidariti kepada Datuk Seri Anwar," katanya.
Sementara itu, Datuk Mohmad Salleh yang ditemui wartawan selepas mengadakan pertemuan itu mengesahkan pihak polis Kuala Lumpur membenarkan perhimpunan itu dengan dengan syarat ia berlangsung dalam keadaan aman dan teratur.
"Penganjur mesti memastikan perhimpunan itu dijalankan secara aman dan tidak mengganggu ketenteraman awam," katanya.
Semalam Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar memberi kelonggaran kepada penyokong Anwar untuk mengadakan perhimpunan di lokasi lain tetapi bukan di kawasan Kompleks Mahkamah, Jalan Duta. 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan