Kementerian Kesihatan hari ini mengarahkan  semua sos tiram jenama Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) ditarik balik  kerana didapati melanggar Akta Peraturan-peraturan Makanan 1985.
"Kami  telah maklumkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi  dan Kepenggunaan, yang mempunyai kuasa untuk mengeluarkan produk itu  dari pasaran.
“Produk  itu mesti ditarik balik segera,” kata menterinya Datuk Seri Liow Tiong  Lai kepada wartawan pada sidang akhbar di lobi parlimen hari ini.
Jelasnya,  ujian makmal oleh Jabatan Kesihatan, kementerian itu mendapati sos  tiram 1Malaysia yang dijual di kedai-kedai KR1M di seluruh negara,  mencatatkan kandungan protein yang rendah daripada keperluan yang  disyaratkan oleh undang-undang.
Sos tiram itu adalah satu  daripada tujuh barangan yang didakwa oleh ahli parlimen Petaling Jaya  Utara, Tony Pua, mencabuli  Akta Peraturan-peraturan Makanan 1985.
Pua  sebelum ini berkata pada label sos tiram keluaran Lee Kum Kee dan Tesco  menyatakan bahan bahan yang digunakan adalah dari ekstrak tiram.  Bagaiamapun, katanya, sos jenama 1Malaysia pula menyatakan ia diperbuat  daripada  perisa tiram. [Baca berita penuh]
Sementara itu, Bernama  melaporkan Liow berkata, Kementerian Kesihatan mendapati susu rumusan  tumbesaran bayi yang dijual di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) tidak  berbahaya untuk kesihatan.
Katanya, hasil analisis menunjukkan  kandungan vitamin A dalam produk susu itu ialah 3240 I.U (unit  antarabangsa) bagi setiap 100gram dan ia tidak melebihi had sebenar  iaitu 5,000 I.U bagi kuantiti yang sama.
"Pihak kilang yang  mengeluarkan produk itu juga didapati melaksanakan sistem jaminan  keselamatan makanan dan mempunyai sijil ISO 9001:2008," katanya dalam  sidang media di bangunan Parlimen hari ini.
Sehubungan itu,  beliau menafikan dakwaan setiausaha publisiti kebangsaan DAP Tony Pua  yang menyatakan produk susu itu mengandungi lapan kali lebih banyak  vitaman A daripada had dibenarkan.
Liow berkata Tony telah  mengelirukan rakyat dengan mengemukakan peraturan kandungan susu rumusan  tumbesaran itu dengan peraturan susu rumusan bayi.
Beliau berkata peraturan kandungan susu rumusan bayi menetapkan had maksimum vitaman A yang dibenarkan ialah 500 I.U.
Sementara  itu, Liow berkata pemeriksaan terhadap produk KR1M lain seperti krimer  pekat manis, krimer sejat, teh, bihun dan bes miniman buah-buahan  Blackucurrent didapati tidak berbahaya dan mematuhi Peraturan-Peraturan  Makanan 1985. mkini
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan