Rabu, 10 Mac 2010

ZUL DENGAN FIRAUN KECIL DAN BADUT HINGUSAN

Selepas mendakwa terdapat Firaun kecil dalam PKR, kali ini ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin pula mendakwa wujudnya “badut hingusan” dalam PAS pula yang melatah berhubung ura-ura penyertaannya dalam parti Islam itu.

“Teman (saya) agak geli hati dan pelik bin hairan tengok beberapa badut-badut hingusan dok terkinja-kinja melenting tak tentu pasal, konon membantah teman masuk PAS, sedang teman mohon masuk pun tak!” tulis Zulikfli dalam blognya.

Menjelang dan selepas Zulkifli dipecat daripada PKR Sabtu lalu, beberapa pemimpin kanan PAS dilaporkan menolak penyertaan semula ahli parlimen kontroversi itu dengan mengambil kira “setiakawan dalam Pakatan Rakyat”

Pemimpin berkenaan termasuklah tiga naib presiden PAS - Datuk Mahfuz Omar, Salahuddin Ayub dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Turut menentang kemasukan semula Zulkifli dalam PAs dua ahli jawatankuasa pusatnya - Mohamed Hanipa Maidin dan Dr Hatta Ramli.

Manakala setiausaha agungnya Datuk Mustafa Ali pula sebelum ini membayangkan gelapnya masa depan Zulkifli dalam parti itu.

Menulis dalam blognya lewat petang semalam, Zulkifli menyindir golongan tersebut sebagai “cukup hebat mengutip derma, tetapi mencaci-maki sampai iblis pun menangis”.

“Tapi teman maafkan badut-badut hingusan ini yop, sebab dema (mereka) ini golongan jahlun," katanya. Jahlun adalah bahasa Arab yang bermaksud jahil.

Kemuncak kemarahan Zulkifli itu tergambar apabila beliau menghias artikelnya itu dengan gambar seeokor monyet yang sedang tidur.

Bagaimanapun, beliau menegaskan itu hanya gambar hiasan dan “tiada kena mengena dengan mana-mana badut hingusan”.

Zulkifli juga memberika pengecualian kepada Ketua Pemuda PAS Nasruddin Hassan yang turut mengulas berhubung kemungkinan kemasukannya itu.

Beliau malah berkata, kenyataannya sebelum ini “mencerminkan kematangan dan kewibawaan yang jelas”.

Manakala kenyataan Mustafa dan Dr Hatta pula disifatkan “bernas” kerana mengutamakan hubungan dalam Pakatan.

Tiada ulasan: