Selasa, 11 Ogos 2009

GMP bincang demo kedua anti PPSMI

Cadangan demonstrasi susulan bagi mendesak kerajaan memansuhkan serta-merta dasar Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mungkin dibincangkan dalam mesyuarat Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) minggu ini.

"Pak Samad (A Samad Said) penasihat GMP. Cadangan itu ditimbulkan beliau. Apabila disebut dalam mesyuarat nanti, bolehlah dibincang.

"Dulu kita pun tidak sangka, (pemansuhan PPSMI) akan meleret macam ini," kata setiausaha gerakan itu Hasni Abas kepada Malaysiakini semalam.

Beliau diminta mengulas kemungkinan GMP mengadakan demonstrasi kedua selepas peristiwa 7 Mac lalu yang menghimpun ribuan penunjuk perasaan di ibu negara, termasuk seniman dan budayawan bagi menuntut pemansuhan PPSMI.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini akur terhadap desakan kuat pelbagai pihak supaya PPSMI dimansuhkan.

Bagaimanapun, ia dilaporkan hanya akan berkuatkuasa pada tahun 2012 dan sebahagian kumpulan pelajar akan tamat pada 2014.

Mengulas lanjut tuntutan pemansuhan serta-merta dasar itu, Hasni berkata, perkara itu merupakan tuntutan GMP sejak awal lagi.

Tambahnya, isu teknikal yang digunakan bagi menangguhkan penggunaan bahasa Melayu dalam dua subjek tersebut, antaranya penyediaan buku teks baru, tidak seharusnya ditimbulkan.

"Buku darjah 1 (contohnya), macam one plus one (satu campur satu), apa yang teknikal sangat? Lagi pun, dulu buat (dasar baru dalam bahasa Inggeris) tidak ada masalah pun, boleh buat serta-merta," katanya.

Menurut Hasni lagi, kerajaan juga boleh menggunakan kembali buku teks asal yang digunakan enam tahun lalu ketika PPSMI belum diperkenalkan.

Sementara itu, Hasni juga berkata pihaknya masih berminat menemui Muhyiddin, yang juga menteri pelajaran, bagi memberikan pandangan mereka secara langsung.

Katanya, surat permohonan untuk bertemu dengan Muhyiddin dihantar sebelum demonstrasi besar di Masjid Negara Mac lalu, tetapi sehingga kini masih belum dijawab dan dilayan.

Kenyataan rasmi terkini gabungan itu dijangka dikeluarkan awal minggu depan selepas jawatankuasanya selesai bermesyuarat.

Sumber: malaysiakini

Tiada ulasan: