Khamis, 18 Jun 2009

BENARKAH NAJIB BERSUNGGUH DALAM PEMBENTUKAN KERAJAAN PERPADUAN - JIKA BERANI SAHUT CABARAN INI

KOTA BHARU 17 Jun - Pas Kelantan meminta UMNO tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil Manek Urai 14 Julai ini sekiranya benar-benar serius dengan cadangan pembentukan kerajaan perpaduan.

Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan, Datuk Husam Musa dalam nada sinis berkata, UMNO tidak akan 'bergaduh' dengan Pas dalam pilihan raya kecil itu sekiranya mereka benar-benar mendokong cadangan tersebut.

"Saya yakin UMNO tidak akan letak calon sebab mereka sekarang beria-ia untuk wujudkan kerajaan perpaduan, tidak mungkin kita bercakap tentang kerajaan perpaduan, selepas itu kita bergaduh dan bertumbuk pula," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Graduan Melayu Muda (GGMM), Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz bagaimanapun berpendapat, UMNO tidak seharusnya bertanding di Manek Urai untuk 'menyambut' salam kerajaan perpaduan yang diasaskan Pas.

Katanya, penyertaan UMNO dilihat tidak membawa perubahan kepada pemerintahan Kelantan, namun menimbulkan kekacauan politik di antara parti bertanding.

''UMNO tidak perlu bertanding di Manek Urai. Itu mengundang sedikit 'masalah' kepada sebarang perbincangan kerajaan perpaduan yang akan dijalankan kelak.

''Tiada perubahan akan berlaku kepada kepimpinan Kelantan jika UMNO memenangi pilihan raya itu. Apa yang penting kini fokus kepada usaha 'berbaik-baik' di antara Pas dan UMNO sendiri,'' ujarnya.

Tiada ulasan: