Mungkinkah ini adalah hari perbarisan penghormatan terakhir buat mereka!...
Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Jalil yang terpalit dengan kes lembu kondonya dalam isu penyalahgunaan wang rakyat oleh National Feedlot Corporation (NFC) sudah mengisytiharkan diri tidak bertanding.
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin sudah membayangkan bahawa beliau juga tidak akan bertanding. Nama beliau juga sudah mendapat 'gap order' agar tidak keluar dalam media yang dikawal BN.
Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah binti Haji Abdul Rashid Shirlin pula diura-urakan sebagai bukan calon winnable untuk pilihanraya umum ke 13 ini.
Ketua Putera Umno, Abdul Azeez Rahim dikatakan bukan 'winnable candidate' untuk Parlimen Baling. Ia berdasarkan senarai yang dikeluarkan oleh orang kanan Mahathir, Rocky Bru.
Ketua Ulama Muda Ustaz Fathul Bari dilaporkan ditolak oleh Umno Perlis yang tidak mahukan calon payung terjun di negeri tersebut.
Perkara ini dilaporkan Malay Mail beberapa hari lepas yang menceritakan pertembungan antara ahli-ahli Umno Kangar dan Arau di PTWC.
Sebelum ini, Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek telah mengisytiharkan bahawa beliau tidak bertanding.
Di belah MIC pula, tidak diketahui samada Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel akan bertanding.
Palanivel pernah ditolak menjadi calon di pilihanraya kecil Hulu Selangor, di mana P Kamalanathan dipilih untuk menjadi calon yang mengatasi Datuk Zaid Ibrahim, yang mewakili PKR.
Kelakarnya, bekas Presiden MIC Datuk Seri Samy Vellu muncul dan menyatakan beliau ialah 'winnable candidate' bagi BN di Sungai Siput.
Lebih mengejutkan, satu insiden di mana seorang pemimpin kanan Umno yang didakwa menampar dan menyepak seorang lelaki di Putrajaya minggu lepas dikatakan akan menyebabkan Setiausaha Agong Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor tidak bertanding mempertahankan Putrajaya kali ini.
Ini pula diikuti desas-desus bahawa bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir bakal menggantikan Tengku Adnan yang bakal berdepan dengan Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa.
Program pertama Husam di Putrajaya disambut hangat sehingga mengejutkan Umno sendiri.
“Ya. Sambutan program pertama Husam di Putrajaya adalah di luar jangkaan Umno. Bagi Umno, itu adalah luar biasa. Kini mereka terpaksa mencatur semula. Kemungkinan Mahathir turun kembali bertanding ada walaupun beliau menafikannya. Tingkat 2 B4 sedang mengatur strategi,” kata sumber Umno kepada Harakahdaily lewat malam tadi.
Umno-BN, katanya, kali ini menghadapi masalah besar dalam menentukan calon.
“Pemillihan calon kali ini ialah pertembungan Mahathir dengan Rosmah Mansor. Kedua-duanya ingin memastikan calon mereka yang dikemukakan terpilih. Mereka juga ingin memastikan jumlah calon Umno yang menang adalah dari kem mereka,” kata sumber itu.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan semua ketua sayap Umno tidak bertanding dan kesannya, berikut ialah jawapan sumber Umno tersebut:
“Jika Umno betul berbuat demikian, Umno akan hancur secara dalaman. Ahli-ahli Umno nak letak muka di mana? Nak jelaskan macam mana? Rakyat akan lihat Umno semakin tidak stabil dan akan tumbang.
"Saya tak pasti orang Tingkat 2 B4 sedang berfikir, tapi yang pastinya jika semua ketua sayap tidak bertanding, bersama dengan Chua dan juga Palanivel – BN akan hancur. Sebab itu Mahathir dan kroninya Samy Vellu dilaporkan seperti berminat bertanding,” tegas beliau.
Jadi siapakan calon-calon winnable pada pandangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Harakahdaily bertanya kepadanya.
“Winnable itu main cakap saja. Winnable itu berdasarkan kesukaan Rosmah dan Mahathir. Mahathir dilihat cuba mencatur segalanya demi masa depan anaknya. Rosmah pula ingin mengekalkan kuasanya.
"Pernah tak terfikir kenapa Najib menyandang Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat? Siapa sebenarnya yang nak sangat jawatan itu?
"Sebenarnya, jika rakyat celik politik, rakyat akan soal, Umno jadi macam hari ini bukan ke kerana Mahathir yang ingin menghancurkan Pak Lah (Tun Abdullah Badawi) dulu. Sekarang beliau pula kata nak datang repair.
"Kita pun tak tahu apa beliau nak buat. Sekarang Mahathir kempen ikut skrip beliau sendiri – sehingga menyebabkan war room Najib kelam-kabut nak pertahankan kenyataan Mahathir,” kata sumber Umno tersebut.
Mengapa Najib biar Mahathir berkempen?
“Ada perjanjian,” kata sumber Umno tersebut yang enggan mengulas lanjut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan