“Secara peribadi, saya merasakan adalah perlu untuk kita jujur dalam mengkaji dan menafsir semua fakta sejarah. Cakaplah benar, walaupun ia pahit,” kata beliau dalam satu kenyataan mengulas isu ceramah timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu yang didakwa diputarbelitkan oleh media arus perdana.
Pada 27 Ogos lalu, akhbar milik Umno, Utusan Malaysia mendakwa pemimpin kanan PAS itu berkata pengganas dalam Kompeni Pasukan Ke-4 Parti Komunis Malaya (PKM) yang menyerang dan membunuh anggota keselamatan dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong adalah sebagai hero sebenar.
Kenyataan itu mengundang pelbagai kecaman daripada pemimpin-pemimpin Umno, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan terbaru mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurut Tuan Ibrahim sekiranya tafsiran sejarah dibuat secara jujur tanpa prejudis, tujuan, motif dan situasi suatu-suatu peristiwa adalah berlainan daripada satu era ke satu era.
"Apakah British dan konconya yang telah menjajah negara ini dianggap kita sebagai hero ataupun penjajah?
“Kaitannya adalah kerana kalau negara terima mereka sebagai penjajah, maka secara logiknya semua yang menentang penjajah akan dianggap sebagai hero.
"Inilah yang terjadi kepada penilaian baru sejarah Mat Kilau, Tok Gajah, Tok Bahaman, Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong dan yang lain-lainnya. Mereka ini bangun mengajak rakyat menentang penjajahan British dan sejarah kini menganggap mereka hero dan pejuang,” kata Tuan Ibrahim.
Hero atau pengkhianat?
Utusan  dalam laporannya juga mendakwa Mohamad Sabu sebagai berkata Muhammad  Indera, lelaki yang bersekongkol dengan Goh Peng Tun dan 200 anggota  komunis adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga  mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai polis di Bukit  Kepong itu.
 
Selain itu, Utusan  melaporkan, timbalan presiden PAS itu, dalam ceramahnya di Tasek  Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu, turut mendakwa Datuk Onn dan  Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan  kerana menganggap mereka sebagai pegawai British.
 
Tuan  Ibrahim berkata bahawa kedudukan dan jasa Onn, Tunku dan lain-lain  sebagai nasionalis sehingga berjaya merundingkan kemerdekaan negara pada  1957 walaupun mereka pernah menjadi pegawai British tidak perlu  dipertikaikan, dinafikan dan jauh sekali dipersoalkan dalam tafsiran  sejarah.
 
“Namun jika hanya merujuk kepada tahun  1950, apakah pula status golongan yang melawan penjajah British dan  kerajaannya pada waktu itu – adakah mereka adalah hero ataupun  pengkhianat?” soal beliau.
 
"Disebabkan pada zaman  British menjajah negara kita, British telah berjaya memperalatkan  beberapa tokoh Melayu untuk bersekongkol dengan mereka, namun tidak  dinafikan ada yang bersekongkol untuk menghalau British dari dalam  kerajaan,” katanya.
Justeru, menurut Tuan Ibrahim, kini, timbul satu tafsiran baru daripada segi sudut sejarah.
 
“Kita  harus faham kenapa berlakunya penentangan terhadap Inggeris oleh rakyat  dari pelbagai bidang - ada yang menyertai PKMM, PKM dan lain-lain -  semuanya bagi menentang penjajah British dan mereka yang bersekongkol  dengan penjajah British,” katanya.
Menurut Tuan  Ibrahim yang juga adalah Pesuruhjaya PAS Pahang, atas penilaian itu,  rakyat perlu menafsir semula sejarah dan menganggap tokoh-tokoh pejuang  yang pernah bangkit melawan penjajah British sebagai hero.
Penakulan mantik
“Jikalau  itu adalah tafsiran kita, bagaimana pula dengan golongan yang sanggup  bersama dengan penjajah British? Apakah mereka juga hero?” soalnya.
“Jika  dua-dua pula jadi hero, siapa yang jadi pengkhianatnya? Takkan semua  hero, dan takkan pula semua jadi pengkhianat? Jadi landasan mana dalam  tafsiran sejarah yang perlu diikut, itulah persoalannya.”
Katanya,  secara penakulan mantik dalam menafsir sejarah secara hitam-putih,  kalau yang melawan British adalah hero, maka yang bersekongkol adalah  pengkhianat.
"Yang menyusahkan dan melawan arus  penakulan mantiknya sekarang ialah apabila ada pihak yang  hendak  menjadikan golongan yang bersekongkol dengan British ini juga sebagai  hero,” katanya lagi.
 
Dalam menafsir sejarah secara  jujur, Tuan Ibrahim berpendapat bahawa semua kumpulan yang menentang  penjajah waktu itu (1950) yang bertujuan menghalau penjajah walau di  atas landasan mana mereka berjuang sekalipun, perlu dianggap sebagai  wira.
 
Namun demikian, menurutnya, beliau tidak boleh  menafikan ada antara mereka yang mempunyai niat lain selepas berjaya  “menghalau penjajah” – namun apa yang pasti, 'menghalau penjajah'  merupakan 'common goal' yang pertama golongan ini pada waktu itu  walaupun mimpi mereka lain-lain.
 
“Pada tahun 1950,  adakah pihak komunis menentang penjajah ataupun negara? Sudah tentulah  penjajah British. Itu hakikat kerana negara belum lagi Merdeka, yang  ditentang mereka ialah kerajaan British dan orang yang dilihat  bersekongkol dengan penjajah British yang menakluki Tanah Melayu.
 
“Selepas  Merdeka, adakah komunis menentang penjajah ataupun negara? Sudah  tentulah negara yang sah yang telah dipilih rakyat dan merdeka daripada  penjajahan British, maka di sinilah sebab utama mereka perlu ditentang  habis-habisan. Tapi harus diingat, ini adalah waktu Merdeka, yang jauh  berbeza situasinya pada 1950 ketika mereka menentang penjajah British.
 "Oleh itu, soal menyokong komunis tidak timbul jika kita ikhlas dalam mengkaji dan menafsir sejarah tanpa prejudis.
“Kita  harus terima realiti waktu itu (1950) dan sudah tentunya ia tidak sama  dengan realiti selepas Merdeka sebagaimana yang ditegaskan, bahawa tidak  boleh dinafikan masing-masing ada agenda tersendiri selepas menghalau  penjajah,” katanya.
Tuan  Ibrahim kemudiannya secara panjang lebar menghuraikan kontroversi yang  sama yang timbul pada sejarah tanahair iaitu di zaman peralihan antara  Jepun dan British.
Katanya, ada pejuang yang tersepit antara ingin bersama Jepun melawan British atau kekal menyokong British.
 
“Nyata  yang selamat dari kontroversi ini ialah pejuang Islam yang bangun  menentang atas nama jihad seperti Abdul Rahman Limbong, Mat Kilau dan  Tok Janggut kerana mereka pastinya hero di dunia dan akhirat.
 
"Inilah  pengajaran besar dari sejarah lampau agar kita jangan mengulangi  kesilapan lalu. Professor Khoo Kay Kim mungkin tersenyum dengan polemik  baru yang sengaja dibesarkan oleh Umno ini,” sindirnya.
Mohamad  pada sidang akhbarnya di Perlis Isnin lalu berkata kenyataannya telah  diputarbelitkan dan mendapati apa yang dilaporkan oleh akhbar milik Umno  itu berkaitan dengan tragedi Bukit Kepong adalah fitnah terhadap beliau  dan PAS.
Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan  peguamnya untuk menghantar notis saman kepada akhbar itu dan memintanya  meminta maaf dan menarik balik laporan palsu itu.
 
3 ulasan:
Parti PAS dipimpin oleh seorang pemimpin yang BODOH.Bila pimimpin BODOH penyokong juga akan turut menjadi BODOH...dan aku tak sanggup lagi diperbodohkan..
Penyokong UMNO lah yang sebenarnya diperbodohkan oleh pemimpin mereka sendiri.
United Malays No Otak
Catat Ulasan