Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta syarikat telekomunikasi supaya mengkaji semula keputusan  mengenakan cukai perkhidmatan 6.0 peratus ke atas produk tambah nilai  prabayar dan pek permulaan prabayar kerana keputusan itu kini dilihat  membebankan rakyat.
Najib berkata keputusan  itu yang diambil sendiri oleh syarikat telekomunikasi merupakan satu  keputusan yang tidak popular selepas beliau mengambil kira pandangan dan  maklum balas dari pengguna.
    
Menurutnya, fokus  utama ketika ini sepatutnya untuk mengurangkan beban rakyat dan bukannya  mengambil keputusan untuk menambah beban itu.
"Saya  dah dapat banyak reaksi dan maklumat timbal balas dari orang ramai  bahawa langkah yang dibuat oleh syarikat telekomunikasi mengenakan cukai  perkhidmatan kepada pengguna adalah suatu yang tidak popular dan sukar  diterima oleh rakyat.
    
"Saya berharap syarikat telekomunikasi dapat kaji semula langkah ini kerana hari ini kita hendak kurangkan beban kepada rakyat.
    
"Kini  rakyat terpaksa menanggung kos perbelanjaan serba-serbi dan ada  sesetengah bahan makanan sudah bertambah harga, kita hendak kurangkan  bebanan pada rakyat," katanya ketika ditemui pemberita selepas  melancarkan logo baharu Maybank di Menara Maybank di ibunegara ari ini.
    
Najib  berkata kerajaan tidak pernah meluluskan apa-apa berkenaan caj cukai 6  peratus berkenaan sebaliknya ia dibuat syarikat telekomunikasi sendiri.
    
"Kita tidak pernah luluskan, keputusan dibuat pihak syarikat telekomunikasi sendiri," katanya.
    
Perdana  Menteri, yang juga menteri kewangan, mengulas satu kenyataan bersama  syarikat telekomunikasi hari ini yang mengumumkan caj berkenaan akan  dikenakan kepada produk-produk prabayar bermula Khamis depan.
    
Menurut  kenyataan itu, cukai perkhidmatan bukan sesuatu yang baru, namun sejak  perkhidmatan prabayar diperkenalkan pada 1998 cukai berkenaan diserap  oleh syarikat telekomunikasi. 
    
Langkah itu  diambil bagi memastikan perkhidmatan prabayar mudah alih kekal  kompetitif berikutan kadar panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS)  prabayar adalah tinggi berbanding pasca bayar. 
    
Menurutnya,  dengan cukai perkhidmatan 6 peratus terhadap perkhidmatan prabayar,  pelanggan yang membeli tambah nilai RM10 perlu membayar RM10.60, yang  mana 60 sen adalah cukai perkhidmatan.
    
Sementara  itu, Maybank melancarkan logo baru yang menampilkan ikon Harimau Malaya  dengan lebih jelas selari dengan matlamat Maybank yang mahu berkembang  sebagai syarikat perbankan bertaraf global.
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan