Khamis, 19 November 2009

MERIAHNYA POLITIK BN APABILA MCA BAKAL HANCUR


ONG (kanan) dan Dr Chua pada sidang media selepas mengumumkan
pemecatan sembilan ahli Majlis Presiden di Bangunan MCA,
di Kuala Lumpur, semalam


KUALA LUMPUR: Kemelut MCA semakin panas apabila sembilan penyokong Datuk Seri Liow Tiong Lai termasuk Ketua Pemuda dan Wanita digugurkan daripada menganggotai Majlis Presiden, berkuat kuasa serta-merta.

Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat, ketika mengumumkan rombakan majlis berkenaan selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pusat (CC) di sini semalam, menjelaskan tindakan itu dilakukan mengikut perlembagaan parti bagi mengukuhkan MCA.

Liow yang juga Naib Presiden MCA, bagaimanapun mendakwa Tee Keat mengamalkan politik ‘cantas dan hapus’ terhadap pemimpin yang tidak sehaluan dengannya dan menyifatkan keadaan parti itu kini seperti ‘keluarga sedang berperang’.

Mereka yang digugurkan ialah lima timbalan menteri termasuk Ketua Pemuda, Datuk Dr Wee Ka Siong dan Ketua Wanita Datin Paduka Chew Mei Fun.

Selain Wee yang juga Timbalan Menteri Pelajaran dan Chew (Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), turut digugurkan Dr Hou Kok Chung (Timbalan Menteri Pengajian Tinggi), Wee Jeck Seng (Timbalan Menteri Belia dan Sukan), Datuk Chor Chee Heung (Timbalan Menteri Kewangan), manakala empat lagi ialah Wong Nai Chee, Gan Hong Su, Lee Wei Kiat, Gan Ping Sieu.

Pada sidang media yang turut dihadiri Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Tee Keat turut mengumumkan pelantikan tujuh anggota baru Majlis Presiden.

Dengan rombakan itu, kini hanya tinggal Liow berseorangan tanpa penyokongnya dalam Majlis Presiden.

Majlis itu yang bertindak sebagai badan pengurusan parti, turut dianggotai Presiden, timbalannya, Setiausaha Agung, Naib Presiden dan Bendahari.

Tee Keat berkata, rombakan itu dilakukan bagi memastikan segala dibincang dan didebat oleh MCA dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

Selain itu, beliau turut mengumumkan keputusan CC menolak mesyuarat agung luar biasa (EGM) kedua pada 28 November ini yang diusulkan penyokong Liow.

Tee Keat berkata, CC memutuskan resolusi EGM itu untuk mengadakan pemilihan baru parti adalah cacat dan bercanggah dengan perlembagaan MCA.

Seramai 23 ahli CC menolak EGM itu, 10 menyokong dan dua berkecuali, manakala tujuh lagi tidak hadir.

Pada 6 November lalu, kumpulan Liow yang diketuai Nai Chee mengumumkan EGM kedua akan diadakan pada 28 November ini. Bagaimanapun, mereka memerlukan sekurang-kurangnya 800 perwakilan untuk mengadakan EGM itu.

Liow pada sidang media berasingan, berkata tindakan terbaru Tee Keat itu akan memburukkan lagi keadaan parti.

“Mesyuarat CC hari ini (semalam) membuatkan hati kami berdarah. Presiden menggugurkan Ketua Pemuda dan Ketua Wanita dalam Majlis Presiden.

“Presiden melantik orangnya dan menyingkirkan mereka yang tidak sehaluan dengannya supaya beliau boleh mempunyai kuasa mutlak dalam Majlis Presiden. Majlis Presiden adalah satu jawatankuasa penting yang memutuskan banyak perkara dalam parti,” katanya.

Sambil menegaskan MCA berada pada persimpangan jalan, Liow menggesa perwakilan menghadiri EGM kedua untuk membuat keputusan demi kebaikan MCA serta mempertahankan nilai perjuangan dan prinsip demokrasi dalam parti itu.

“Pemimpin parti mesti mendengar suara ahli, perwakilan dan orang ramai. Kami tidak mahu menjadi `tawanan’ kepada politik kotor, autokratik dan penggunaan kuasa tanpa mempedulikan orang lain,” katanya.

Liow menegaskan beliau akan terus bergerak ke seluruh negara untuk mendapat sokongan perwakilan bagi mengadakan EGM kedua.

Tiada ulasan: