
KUALA LUMPUR: Secara tidak
rasminya, Datuk Seri Najib Razak tidak boleh mengatakan rakyat
memberikannya mandat selama lima tahun untuk menerajui negara
memandangkan beliau bukannya dipilih melalui pilihan raya lalu.
Sebaliknya,
selepas BN memenangi pilihan raya umum ke-12, Mac 2008 lalu, Najib
dilantik oleh Tun Abdullah Badawi untuk menerajui BN, sekaligus
membentuk kerajaan.
"Kalau diikutkan, rakyat beri mandat melalui
pilihan raya kepada Abdullah, bukan Najib. Dia tidak boleh berkata
demikian, kononnya dia diberi mandat oleh rakyat," tegas Naib Presiden
PAS, Datuk Mahfuz Omar kepada Harakahdaily.
Beliau berkata
demikian sebagai mengulas kenyataan Najib yang berhasrat untuk menunggu
tempoh lima tahun sebelum memanggil pilihan raya umum bagi membolehkan
beliau meneruskan mandat yang diberikan rakyat.
Bagaimanapun,
kata Mahfuz, pihaknya bersetuju dengan hasrat tersebut, dan meminta
Najib menyatakannya secara 'akujanji' tentang tempoh lima tahun
tersebut.
"Jika benar beliau berhasrat untuk mengadakan pilihan
raya umum selepas tamat tempoh penggal yang diberikan, adalah lebih baik
jika ia memberi jaminan secara akujanji," tegas beliau lagi.
Tambah
ahli parlimen Pokok Sena itu lagi, dengan hasrat Najib itu juga dilihat
mampu menguruskan soal peruntukan negara membabitkan Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) secara lebih berkesan.
Sebelum ini, dalam
bajet tambahan yang dibentangkan di parlimen, kerajaan memperuntukkan
sejumlah wang kepada badan pengendali pilihan raya itu.
"Kalau
ditetapkan tarikh pilihan raya seperti tepat pada tempoh mandatnya,
banyak perkara boleh dilakukan dengan lebih mudah, termasuk wang
peruntukkan yang diberikan kepada pihak berkaitan," tegas Mahfuz.
Dalam
pada itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali turut menyambut baik
hasrat Najib itu, walaupun ia sebenarnya menunjukkan sikap serba salah
beliau yang sehingga kini tidak boleh menetapkan tarikh pembubaran
parlimen.
"Bagaimanapun, apapun alasan beliau, kita terima kerana
ia lebih memudahkan semua pihak untuk persiapan menghadapi pilihan
raya," kata beliau yang dihubungi, hari ini.
Najib, dalam
kenyataannya malam tadi menegaskan kerajaan BN sekarang berhasrat untuk
menggunakan sepenuhnya mandat lima tahun untuk berkhidmat kepada rakyat
selepas memenangi pilihan raya tahun 2008.
Harakahdaily