Isnin, 1 Februari 2010

ZAMBRY SEMAKIN TERTEKAN, JANGKA HAYATNYA AKAN BERAKHIR PADA 9 FEB


Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hari ini mencabar bekas menteri besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan 27 lagi wakil rakyat pembangkang mengosongkan kerusi mereka bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan di 28 kerusi DUN pembangkang di Perak.

Beliau berkata Mohammad Nizar dan wakil rakyat pembangkang berkenaan tidak perlu teragak-agak untuk mengosongkan kerusi DUN masing-masing sekiranya mereka benar-benar yakin bahawa sebahagian besar rakyat Perak teguh menyokong pembangkang.

"Kalau pembangkang rasa mereka popular sekarang, bubarlah 28 kerusi mereka. Kita tengok sama ada mereka dapat semula 28 kerusi DUN ataupun tidak (pada pilihan raya kecil)," katanya kepada pemberita selepas diwawancara dalam program Setahun Melayari Arus di studio Perak FM Ipoh hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Mohammad Nizar sebelum ini bahawa bekas Menteri Besar Perak itu akan memohon perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah untuk membubarkan DUN Perak sekiranya keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung siapa menteri besar Perak yang sah pada 9 Feb ini berpihak kepadanya.

Zambry menegaskan bahawa kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) tidak akan membubarkan DUN bagi membolehkan satu pilihan raya negeri semula diadakan seperti yang dikehendaki oleh pembangkang.

"Nak bubar DUN ini adalah permainan mereka. Saya tidak akan ikut permainan mereka, bukan kerana takut tapi kerana tidak mahu terikut-ikut rentak permainan pembangkang ini," katanya.

Terdahulu dalam wawancara itu, Zambry berkata fokus utama kerajaan negeri BN yang diterajuinya adalah untuk membangunkan ekonomi dan memakmurkan negeri Perak dan bukannya terheret ke dalam permainan politik pembangkang yang tidak berkesudahan.

"Sebaik sahaja kita (BN) mentadbir, saya telah memaklumkan bahawa kita tidak boleh selamanya bermain dengan politik kerana rakyat di luar sana inginkan sesuatu daripada kita. Ada masanya rakyat ingin memberi tumpuan kepada perkara-perkara yang lebih penting khususnya dalam konteks pembangunan ekonomi negeri," katanya.

Zambry yang dilantik Menteri Besar Perak Ke-11 menggantikan Mohammad Nizar pada 6 Feb lepas menyatakan keyakinannya bahawa sokongan masyarakat pelbagai kaum di Perak terhadap BN akan terus bertambah disebalik pelbagai permainan politik yang dimainkan oleh pembangkang.

"Saya yakin bahawa rakyat di Perak tidak akan termakan dengan cara mereka (pembangkang) dan dengan adanya perkembangan ekonomi yang baik, kedudukan keamanan yang baik di Perak dan program pembasmian kemiskinan efektif yang kita lakukan, saya yakin akhirnya rakyat akan bersama-sama dengan kita... dengan syarat kita pun kena buat kerja dengan kuat," katanya.

- Bernama

USAH PERCAYA LAGI PADA POLIS


MANGSA menunjukkan laporan polis dan tempat dia disimpan di Kampung Baru Cina, Kulim.

GEORGETOWN: Lari dari mulut buaya, masuk mulut naga. Mungkin itulah ungkapan yang sesuai bagi menggambarkan penderitaan seorang isteri yang menjadi mangsa pemuas nafsu seorang anggota polis sejak 10 tahun lalu.

Wanita berusia 40 tahun, dari Sungai Nibong di sini, pada awalnya mengharapkan persahabatan dengan anggota polis berusia 47 tahun berkenaan boleh menamatkan penderitaannya yang sering dipukul suami.

Malangnya, wanita yang mempunyai seorang anak perempuan berusia 18 tahun itu hidup terumbang ambing dan bergelumang dosa kerana dipaksa menjadi perempuan simpanan walaupun masih bergelar isteri orang.

Malah, sejak bersekedudukan dengan lelaki itu, dia mendakwa sudah sembilan kali menggugurkan kandungan sehingga rahimnya rosak dan dipaksa mengambil ubat pencegah hamil.

Dia membuat pengakuan itu kepada Berita Harian dalam satu pertemuan di sini sebelum menunjukkan 'markas' tempat anggota polis itu memuaskan nafsunya.

Mengimbau kisah dukanya, wanita itu mendakwa bertemu anggota polis itu ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah pusat kecantikan di Bukit Jambul dan keesokannya, lelaki itu menunggunya dan mahu berkenalan.

Saya memberitahunya saya sudah bersuami tetapi dia tetap mahu berkawan. Saya kemudian menerimanya sehingga dia berani 'merampas' saya daripada suami ketika berada di rumah," katanya.

Wanita itu juga mendakwa anggota polis itu cuba menyalahgunakan kuasa bagi memerangkap suaminya, tetapi ia diketahui pegawai atasannya dan dia ditukarkan ke tempat lain.

Walaupun ditukarkan, anggota polis itu masih berhubung dengannya dan mendakwa seperti dipukau kerana akan mengikuti apa saja yang dikatakan lelaki itu tanpa berani melawan, memendam perasaan serta sentiasa ketakutan.

Dia juga ke tempat anggota polis itu setiap hari selepas bekerja dan ditempatkan di rumah yang tersorok di sebuah kawasan kediaman.

"Setiap hari saya dipukul, didera, dicekik dan diterajang sehingga selalu mengalami sakit dalam badan. Saya juga dipaksa makan dan minum makanan yang dibelinya yang dipercayai dijampi," dakwanya.

Sepanjang 10 tahun berkeadaan begitu, suaminya tidak mengendahkannya lagi kerana kecewa dengan perbuatannya yang bersekedudukan dengan anggota polis itu, manakala hubungan mereka dirahsiakan daripada pengetahuan isteri anggota polis itu.

Dalam tempoh itu, setiap kali hari raya, dia akan dikurung dalam rumah dengan hanya berbekalkan roti, kaya dan air kosong.

Wanita itu mendakwa, pada 14 Januari lalu, dia dirogol dalam tandas kira-kira jam 10.30 malam oleh seorang lelaki tidak dikenali.

Apabila memaklumkan kejadian itu kepada anggota polis itu, dia dipersalahkan dengan mendakwa cuba mengkhianati perhubungan mereka dan dimarahi serta dipukul sebelum ditinggalkan dalam kesakitan.

"Selepas itu saya menghubungi kakak angkat untuk mendapatkan bantuan dan pergi ke Hospital Bukit Mertajam untuk rawatan," katanya.

Dia turut membuat laporan polis mengenai kejadian rogol pada 16 Januari selepas dinasihatkan doktor yang turut mendapati badannya mempunyai kesan lebam.

Selepas membuat laporan, sepasukan anggota polis diketuai seorang pegawai berpangkat Inspektor mengambil keterangan anggota polis itu tetapi memintanya mengaku dia isterinya.

"Saya kecewa dengan sikapnya, malah dia pernah mengugut akan melakukan sesuatu yang dahsyat jika perkara itu terbongkar," dakwanya yang kecewa kerana dua laporan polis yang dibuatnya di Ibu pejabat Polis Kulim, Kedah tidak diambil tindakan. Sumber