Memaparkan catatan dengan label insurans. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label insurans. Papar semua catatan

Jumaat, 11 Mac 2011

UMNO BARU SEDAR, SYARIKAT INSURANS TIPU RAKYAT

KUALA LUMPUR 10 Mac - Penyokong kerajaan dan pembangkang hari ini 'bersatu' menyelar syarikat-syarikat insurans kerana mengenakan premium yang tidak masuk akal terhadap kenderaan lama berusia lebih 10 tahun dan insurans pihak ketiga sejak dua tahun lalu.

Sambil menyifatkan dua langkah itu sebagai tidak munasabah, Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) berkata, peraturan baru tersebut telah menyusahkan rakyat terutama penduduk di luar bandar.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) mengkaji semula kadar dikenakan itu sejak dua tahun lalu kerana jelas membebankan rakyat ekoran harga premium insurans yang terlalu tinggi.

''Ini isu serius. Oleh itu Kementerian Kewangan dan BNM perlu melihat masalah ini kerana ia tidak memberi keadilan kepada rakyat di kampung-kampung. Kebanyakan kenderaan mereka adalah kenderaan lama. Peraturan ini langsung tidak munasabah.

''Munasabah ke premium insurans kereta lama lebih tinggi daripada kereta baru. Begitu juga dengan pembelian insurans pihak ketiga, mengapa kadarnya terlalu tinggi?'' katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Isu mengenakan premium insurans pihak ketiga yang terlalu tinggi pernah dibangkitkan di dalam Dewan Rakyat sebelum ini.

Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) ketika mencelah berkata, kerajaan perlu menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji semula operasi syarikat-syarikat insurans kerana perjalanan perniagaan mereka adalah secara menipu.

''Perniagaan yang banyak menipu rakyat ialah perniagaan insurans. Berlaku sahaja kes kemalangan berpuluh tahun baru selesai. Saya minta satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi memantau operasi mereka kerana mereka ini adalah penipu paling besar di negara ini," katanya.

Mohamed dalam pada itu turut mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan satu syarikat insurans yang baru sebagai alternatif bagi syarikat insurans sedia ada.

''Kalau masalah ini tidak selesai, apa kata Kementerian Kewangan mewujudkan syarikat insurans baru yang boleh menjual insurans dengan harga berpatutan. Namakan sahaja insurans ini, insurans 1Malaysia. Jangan terima lagi syarikat-syarikat insurans yang sedia ada sekarang," ujarnya.

Terdahulu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee ketika mencelah telah meminta isu yang ditimbulkan oleh Ahli Parlimen Sri Gading itu meliputi pembelian insurans hayat.

Chong Chieng Jen (DAP-Kuching) di dalam perbahasannya juga bersetuju supaya kadar premium insurans pihak ketiga diturunkan bagi meringankan beban rakyat.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat bagaimana syarikat-syarikat insurans ketika ini memaksa pelanggan membeli polisi insurans kemalangan peribadi sebelum dikeluarkan polisi insurans pihak ketiga walaupun kerajaan tidak membenarkan ia berlaku.

''Itu belum dikira caj tambahan (loading) yang turut dikenakan kepada pelanggan. Apabila dicampur kedua-duanya dan ditambahkan dengan bayaran premium insurans pihak ketiga sudah tentu harganya tinggi dan membebankan.

''Walaupun Kementerian Kewangan sudah kata tidak ada syarikat yang boleh paksa pemilik kenderaan untuk membeli insurans tambahan ini, tetapi ini masih diamalkan oleh semua syarikat insurans di negara ini," katanya.

Akibatnya beliau berkata, harga premium insurans pihak ketiga yang dahulu dibayar sekitar RM70 sehingga RM80 tetapi sekarang harganya antara RM100 hingga RM200.

''Bank Negara ini butakah, takkan tidak tahu langsung, ini hakikat yang memang berleluasa? Mengapa kerajaan tidak ada penyelesaian sebaliknya terus membenarkan syarikat insurans mengeksploitasi pelanggan mereka," katanya.

Datuk Seri Azmi Khalid (BN-Padang Besar) pula berpendapat operasi syarikat trak penunda juga harus dipantau kerana ia menyumbang kepada peningkatan kadar premium insurans yang dijual kepada pemilik kenderaan, termasuk caj tambahan.

Loke Siew Fook (DAP-Rasah) pula mempersoalkan kuasa Bank Negara dalam mengawal syarikat-syarikat berkenaan.

Meskipun katanya, telah ada arahan supaya syarikat-syarikat insurans tidak boleh memaksa pemilik kenderaan membeli pelindungan insurans tambahan namun perkara itu masih berleluasa.

Selasa, 7 Julai 2009

1MALAYSIA - PEMILIK KENDERAAN LAMA BAKAL SUSAH

KUALA LUMPUR: Cuepacs mendedahkan sebahagian besar daripada kira-kira 500,000 kakitangan awam Kumpulan Sokongan Dua yang menggunakan kenderaan berharga kurang RM10,000 menghadapi risiko tanggungan jika terbabit kemalangan kerana tidak dilindungi insurans.

Presidennya, Omar Osman, berkata tindakan beberapa syarikat menolak permohonan memperbaharui perlindungan insurans kenderaan lama dianggap penganiayaan kepada kakitangan awam, terutama jika mereka terbabit dalam kemalangan ketika menggunakan kenderaan itu untuk berulang-alik ke tempat kerja.

“Kakitangan bawahan seperti pekerja rendah awam, pemandu, operator mesin dan pembantu am pejabat hanya mampu membeli kereta terpakai yang murah kerana tidak mampu membeli kereta baru.

“Kalau syarikat insurans pun tidak mahu lagi melindungi kenderaan mereka, apa lagi kemudahan yang mereka dapat nikmati kalau terjadi sesuatu yang tidak diingini ketika di jalan raya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas tindakan beberapa syarikat menolak permohonan untuk memperbaharui perlindungan insurans kenderaan berharga kurang RM10,000 kerana dianggap merugikan.

Syarikat terbabit memberi alasan kenderaan itu berisiko tinggi untuk diberi perlindungan insurans. Dianggarkan 4.8 juta kereta berusia 10 tahun dan ke atas bernilai kurang RM10,000 berada di jalan raya pada masa ini, termasuk lebih 900,000 Proton dan 300,000 kenderaan keluaran Perodua, iaitu Kancil, Rusa dan Kembara didaftar antara 1994 hingga 1999.

Omar berkata, jika syarikat insurans terus berdegil, Cuepacs akan meminta kerajaan campur tangan dalam isu berkenaan kerana ia membabitkan kepentingan rakyat berpendapatan rendah.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata perlindungan insurans kenderaan baru lebih berisiko tinggi kerana terdedah kepada risiko kecurian dan kemalangan berbanding kenderaan lama.

Katanya, perlindungan insurans kenderaan baru juga lebih mahal kerana nilai pasarannya yang lebih tinggi, berbanding kenderaan lama yang lebih rendah harga pasarannya.

“Berbeza kenderaan baru, kadar tanggungan yang perlu dibayar oleh syarikat insurans terhadap kenderaan lama lebih rendah jika berlaku tuntutan.

“Tiada statistik yang menunjukkan pemilik kenderaan lama sering menuntut pembayaran insurans. Malah, terdapat ramai pemilik kenderaan yang melebihi 10 tahun tidak pernah membuat sebarang tuntutan,” katanya.

Mohd Yusof berkata, Fomca memandang serius perkara itu dan mahu kerajaan mewujudkan satu garis panduan dan mekanisma mengenainya, termasuk menarik balik lesen syarikat insurans yang enggan memperbaharui insurans kenderaan lama.

Sumber: Berita Hairan