Memaparkan catatan dengan label Petronas. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Petronas. Papar semua catatan

Sabtu, 24 Mac 2012

HENTI IMPORT MINYAK DARI IRAN KERANA IKUT TELUNJUK YAHUDI

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia akan menghentikan pengimportan minyak mentah Iran.

Beliau mengesahkan satu laporan berita asing bahawa syarikat minyak negara, Petronas, akan menghentikan pengimportan minyak mentah Iran mulai April, iaitu dua bulan sebelum sekatan Amerika Syarikat berkuat kuasa.

"Ia hanya jumlah yang kecil," katanya dalam jawapan singkat kepada para pemberita pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di sini hari ini.

Menurut laporan itu hari ini, Petronas kini mengimport kira-kira 50,000-60,000 tong minyak minyak mentah Iran sehari.

Kini, China, India, Jepun dan Korea Selatan adalah empat pembeli terbesar minyak mentah Iran di Asia.

Sehingga ini, Iran menjual kebanyakan daripada 2.6 juta tong sehari (bpd) yang dieksport di rantau ini. - Bernama

Ahad, 2 Mei 2010

INILAH JASA UMNO-BN TERHADAP NEGARA, TOLONG PERCAYA!...

KUALA LUMPUR, 2 Mei: Kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mesti memberi penjelasan mengenai penyerahan dua blok pengeluaran minyak luar pantai kepada Brunei, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu.

"Setakat ini, yang memberikan ulasan agak panjang hanyalah (bekas Perdana Menteri, Tun) Abullah (Ahmad Badawi). Kita mahu penjelasan telus dan berterus-terang dari kerajaan, bukan sekadar ulasan Ahli Parlimen Kepala Batas," katanya.

Beliau menuntut kerajaan Najib menghentikan sikap tidak bertanggungjawab dan terus membisu mengenai hal itu walaupun sudah beberapa hari bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan perkara itu.

"Dr Mahathir mendedahkan jumlah kerugian dalam bentuk perolehan berjumlah AS$100 bilion (RM320 bilion) malah didedahkan juga bahawa kawasan yang kaya simpanan minyak di Laut Cina Selatan - Block L dan Block M - tidak lagi menjadi sebahagian daripada Malaysia.

"Ini bukan setakat kehilangan khazanah negara malah kehilangan wilayah dalam negara ini," katanya.

Sebab itulah, kata Mohamad yang juga Pengerusi Mobilisasi Demokrasi PAS, kerajaan mesti memberikan penjelasan mengenai perkara itu.

"Rakyat juga mesti diberitahu apa yang dilakukan oleh anggota kabinet ketika perkara itu berlaku.

"Adakah mereka menjadi pak turut sahaja kepada tindakan Abdullah yang ketika itu menjadi Perdana Menteri?

"Apa Najib buat untuk mempertahankan khazanah dan wilayah negara sedangkan ketika itu beliau adalah Timbalan Perdana Menteri?

"Sebahagian besar anggota kabinet ketika Abdullah menjadi Perdana Menteri masih lagi berada dalam pentadbiran Najib kini. Apa mereka buat untuk mempertahankan khazanah dan wilayah negara ini dari terlepas ke tangan Brunei?" beliau mempersoalkan.

Rakyat, katanya, mesti menuntut Najib bertanggungjawab ke atas perkara itu, begitu juga semua anggota kabinet ketika Abdullah menjadi Perdana Menteri.

"Jika mereka enggan bertanggungjawab atas kehilangan khazanah dan wilayah negara, rakyat mesti bangkit bersama mengajar mereka tentang erti tanggungjawab," tegas beliau.

Dr Mahathir mendakwa Abdullah telah menyerahkan kepada Brunei dua blok pengeluaran minyak luar pantai, sebelum bersara awal tahun lalu.

Menurutnya, perkara itu dilaporkan oleh The Edge Financial Daily (22 April) dan Brunei Times di mana kawasan yang kaya simpanan minyak di Laut Cina Selatan - Block L dan Block M - tidak lagi menjadi sebahagian daripada Malaysia.

Menulis dalam blognya, Dr Mahathir mendakwa jumlah kerugian dalam bentuk perolehan berjumlah AS$100 bilion (RM320 bilion).

Menurutnya, Abdullah telah menyerahkan 'Blok L' dan Blok M' di Laut Cina Selatan, dikatakan sebagai pertukaran dengan Brunei supaya menggugurkan tuntutannya terhadap Limbang, Sarawak.

"Blok L dan Blok M dituntut oleh Malaysia berdasarkan kepada fakta sejarah. Menurutnya, Petronas menandatangani kotrak perkongsian pengeluaran dengan Murphy Oil (Corp) untuk memulakan pengeluaran minyak.Simpanan minyak di kawasan itu adalah hampir 1 bilion tong.

"Abdullah berunding dengan sultan (Brunei) untuk mengambil Limbang di Sarawak. Sebagai balasannya, beliau bersetuju untuk menyerahkan dua blok tersebut kepada Brunei.

"Tidak ada wakil Petronas yang hadir, hanya kakitangan pejabat luar dan pnasihat halehwal luar kepada PM," dakwa Mahathir.

Abdullah menolak dakwaan Dr Mahathir itu.

Dalam kenyataannya selepas pendedahan Dr Mahathir itu, Abdullah berkata sumber di 'blok L dan M' di Laut China Selatan yang dirujuk oleh Dr Mahathir, kini dikongsi bersama oleh Malaysia dan Brunei di bawah perjanjian wilayah dan komersil yang ditandatangani pada 16 Mac tahun lalu.

Walaupun blok L dan M kini berada di bawah kedaulatan Brunei, tetapi katanya, Malaysia akan dibenarkan mengambil bahagian dalam usaha bersama untuk memajukan pengeluaran minyak dan gas di situ untuk tempoh 40 tahun.

Menurut Abdullah, ia bertujuan untuk menyelesaikan isu sempadan antara kedua negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pula memberitahu media bahawa Malaysia tetap memastikan kawasan Limbang di Sarawak kekal sebagai hak milik negara ini walaupun konsesi Blok L dan Blok M menjadi milik Brunei dalam perjanjian persempadanan dengan Brunei pada Mac 2009.

Ditanya mengenai laporan bahawa Brunei telah membuat penafian bersetuju menyerahkan Limbang, Mohamed Nazri berkata, Brunei boleh membuat penafian itu, tetapi hakikatnya, Limbang tetap hak milik Malaysia.

"Kita akan pertahankan Limbang dan negara lain boleh kata apa pun, Limbang adalah hak Malaysia walaupun ada pihak yang akan mempertikaikan keputusan melepaskan Blok L dan Blok M itu," tegasnya. sumber

Sabtu, 30 Januari 2010

PEMIMPIN BERJIWA 'KELANTAN MURTAD' SAHAJA SANGGUP NAFI HAK ROYALTI NEGERI SENDIRI



Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan beliau berhak untuk menyuarakan pandangannya tentang royalti petroleum yang dituntut oleh kerajaan negeri.

Bekas Menteri Kewangan itu berkata, beliau bebas untuk bersuara selagi ia tidak melanggar undang- undang dan disiplin parti walaupun berada di atas pentas pembangkang semalam.

Bagaimanapun bekas Pengerusi Petronas itu menolak dakwaan kononnya tindakan tersebut adalah langkah awal untuk beliau menyertai pakatan pembangkang.

“Saya bebas dan boleh bersuara apa yang saya suka asalkan tidak melanggar perlembagaan dan undang-undang yang terpakai di negara ini serta disiplin parti.

“Saya bukan pak turut, malah pada zaman Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein Onn dan Tun Dr. Mahathir Mohamad, saya tidak pernah menjadi pak turut. Kalau orang ajak kita masuk ‘rok’ (semak), kita masuk ‘rok’ lah ,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Solat Hajat dan Ceramah Perdana Royalti Petroleum di Stadium Sultan Muhammed IV di sini malam tadi.

Turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan barisan Exco kerajaan negeri serta kira-kira 20,000 rakyat negeri ini.

Penyertaan Tengku Razaleigh dalam ceramah itu mencetuskan kontroversi kerana beliau berada di atas pentas kerajaan negeri yang ditunjangi Pas.

Sementara itu, ketika menyampaikan ceramah, Tengku Razaleigh berkata, kehadirannya pada malam tersebut adalah berdasarkan prinsipnya yang mahu menegakkan keadilan dan memperjuangkan nasib rakyat Kelantan yang ditindas selama ini.

“Sebelum saya hendak datang sini ada orang hendak halang saya kerana melanggar disiplin parti tetapi apa saya peduli, saya hanya mahu menyatakan kebenaran selepas melihat rakyat Kelantan ditindas. Sepatutnya apa yang saya nyatakan pada malam ini telah dinyatakan 36 tahun yang lalu.

“Sebagai orang yang terlibat dalam penubuhan Petronas dan berdasarkan Akta Kemajuan Petroleum, saya tahu kerajaan negeri sememangnya berhak untuk menerima royalti sebanyak lima peratus walaupun pada kawasan bertindih dengan Thailand,” katanya.

Katanya, jika Kerajaan Pusat tidak yakin dengan kebolehan kerajaan negeri untuk menguruskan royalti itu, beliau mencadangkan supaya sebuah jawatankuasa pemantau ditubuhkan untuk memastikan wang berkenaan diuruskan dengan baik.

Jelasnya, beliau sendiri sedia menjadi ‘jambatan’ bagi menghubungkan pihak berkenaan demi pembangunan dan kepentingan negeri serta rakyat.

“Saya rasa kerana mereka tak begitu yakin dengan kerajaan negeri disebabkan pimpinan Pas, barangkali saya fikir itu sebab berlengah tak nak bagi royalti kepada Kelantan.

“Saya sanggup menjadi jambatan untuk berhubung antara Kerajaan Pusat dengan kerajaan negeri dan Petronas supaya dapat kita laksanakan dengan baik demi faedah Kelantan,” katanya.

Rabu, 22 Julai 2009

KU LI BAKAL MENINGGALKAN UMNO SEDIKIT MASA LAGI

Menurut beberapa sumber yang boleh dipercayai, Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) akan keluar dari Umno. Adakah khabar angin ini sekadar permainan pihak tertentu? Atau adakah khabar angin ini akan menjadi realiti?

Khabar angin ini timbul ekoran daripada tindakan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim semalam yang mempelawa Ku Li menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) demi menolak parti perkauman.

Menurut sumber, Ku Li juga tidak berapa seronok berikutan hak yang dituntut oleh kerajaan negeri Kelantan iaitu negeri tanah tumpah darahnya berkaitan royalti minyak telah dinafikan. Dalam nada yang tak sealiran dengan Umno telah memberi isyarat yang jelas bahawa ada ura-ura Ku Li akan meninggalkan parti keramat itu.

Ku Li yang juga mantan Menteri Kewangan, berkata Kelantan berhak menerima royalti lima peratus seperti termaktub dalam perjanjian perkongsian hasil carigali minyak yang dimeterai antara Kerajaan Pusat, Petronas dan kerajaan negeri dan justeru itu tidak berhak untuk menahan pembayaran royalti kepada negeri itu.

Dalam temubual khas bersama Suara Keadilan, beliau yang juga bekas Pengerusi Petronas berkata peruntukan dalam perjanjian itu hendaklah dihormati serta dipatuhi.

“Perkara ini tidak patut menjadi isu kerana kita telah menandatangani persetujuan meletakkan hak minyak kepada Petronas iaitu kerajaan Kelantan dan negeri-negeri lain sudahpun bersetuju sekiranya minyak ditemui dalam kawasan milik negeri berkenaan.

“Tetapi dalam hal ini, minyak ditemui di luar persisiran pantai, yang dimajukan bersama dengan Thailand. Namun begitu sebahagian daripada kawasan terlibat berhampiran dengan negeri Kelantan. Merujuk kepada perjanjian milik minyak tadi, maka Petronas berkewajipan membayar wang kepada negeri berkenaan sebanyak 5 peratus keuntungan minyak,” tegas Tengku Razaleigh yang merupakan salah seorang yang menggubal perjanjian asal Petronas pada awal 1970an.

Akta Malaysia Thailand Joint Development Authority (MTJDA) 1990 menyatakan bahawa perjanjian-perjanjian yang sedia ada di antara Malaysia dan Thailand serta mana-mana pihak sebelum ini masih lagi terpakai.

Petronas sebelum ini telah menandatangani perjanjian dengan kerajaan negeri Kelantan untuk memberi hak kepada negeri itu mendapat royalti 5 peratus setahun sama ada onshore (daratan) atau offshore (lautan).

Menurut Akta Malaysia Thailand Joint Development Authority (MTJDA) 1990 terdapat peruntukan dalam akta itu untuk membayar kepada mana-mana pihak yang terlibat. Akta itu juga tidak menafikan pembayaran royalti mana-mana pihak termasuk kepada kerajaan negeri Kelantan.

Kerajaan Barisan Nasional berkata Kelantan tidak berhak kepada minyak yang ditemui 150 kilometer dari persisiran pantai negeri itu, walaupun amalan sedia ada menunjukkan Petronas membayar royalti minyak kepada Terengganu dan Sarawak meskipun penyedutan minyak berlaku lebih 200 kilometer di laut luas.

Menteri Penerangan Dr Rais Yatim dengan angkuh berkata royalti minyak kepada negeri-negeri terletak sepenuhnya di bawah sifat ehsan dan belas kasihan Kerajaan Pusat dan bukannya hak rakyat Kelantan atau rakyat mana-mana negeri.

Rais juga berkata kerajaan telah mengarahkan Petronas untuk menyanggah tuntutan Kelantan itu, namun sehingga ke hari ini Petronas belum mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung isu ini.

Tengku Razaleigh berkata semua pihak harus menjurus kepada keikhlasan untuk membela rakyat miskin.

“Saya tidak tahu kenapa ini boleh menjadi isu kerana semasa kita buat perjanjian ini, kita sudahpun fikir kedudukan negeri Kelantan, Sabah, Sarawak, Terengganu yang merupakan negeri-negeri miskin, dan sememangnya patut hasil dari keuntungan minyak ini diberi kepada rakyat di negeri-negeri miskin ini untuk mengimbangi pembangunan di negeri-negeri lain yang sudahpun maju.

“Saya telah menandatangani perjanjian bersama kerajaan-kerajaan negeri lain. Kalaulah benar Petronas telah dapat faedah dari minyak yang diusahasama ini, maka berkewajikan Petronas membayar kepada kerajaan negeri Kelantan,” kata Ahli Parlimen Gua Musang itu.

Selaku bekas Pengerusi Petronas Tengku Razaleigh berharap tidak ada pihak yang mempolitikkan isu ini.

“Kita sedar bahawa kawasan-kawasan minyak ini terletak dibawah Kerajaan Pusat namun harus difahamkan juga bahawa perjanjian yang kita buat ini adalah untuk membantu negeri-negeri ini, apatah lagi negeri-negeri miskin. Jadi patut hasil minyak ini diberi kepada mereka.

“Saya telah bincangkan perkara ini dengan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak, untuk merumuskan perjanjian memberi 5 peratus ini, dengan satu matlamat yang jelas iaitu membantu negeri-negeri berkenaan.

“Selain itu, Kerajaan Pusat juga bertanggungjawab untuk menjana pembangunan di negeri-negeri terbabit selain dari lima peratus itu. Jadi tidak perlu diungkitkan lagi dan tidak patut jadi isu kalau Petronas sendiri mengaut keuntungan dari perjanjian ini, maka berkewajipan untuk memberi royalti kepada negeri terbabit,” tegas Tengku Razaleigh."