KUALA LUMPUR - Empat Kerajaan Negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat iaitu
Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Selangor bersetuju menangguhkan
pemasangan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, sebanyak 331 kamera
AES dicadang untuk dipasang di empat negeri itu, namun pelaksanaannya
terpaksa ditangguhkan.
"Kami akan bertemu Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Long
See Wool bulan depan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai AES
termasuk kos dan syarikat pengendali," katanya pada sidang media di lobi
Parlimen di sini, hari ini.
Guan Eng berkata, pemasangan AES itu seharusnya mendapat kelulusan
daripada pihak berkuasa di peringkat kerajaan negeri terlebih dahulu.
AES adalah sistem kamera automatik berteknologi tinggi yang dipasang di
lokasi yang dikenal pasti sering berlaku kemalangan selain bertujuan
meningkatkan keberkesanan dan kecekapan sistem penguatkuasaan serta
mampu mengurangkan kemalangan maut.
Ia merakam pesalah trafik yang melanggar dua kesalahan utama iaitu
memandu melebihi had laju atau melanggar lampu merah. - Bernama