PASIR GUDANG – Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman akan
dipertanggungjawabkan sekiranya calon Barisan Nasional (BN) tewas pada
Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), sekali gus menyebabkan kerusi Parlimen
Pasir Gudang jatuh ke tangan pembangkang.
Ketua Pemuda Umno Bahagian Pasir Gudang, Rohazam Shah Ahmad turut
menyokong tindakan menutup sebahagian besar bilik gerakan di sembilan
kampung setinggan kelmarin, seperti yang dilaporkan Sinar Harian,
semalam.
Menurutnya, masalah setinggan yang dibangkitkan penduduk telah empat
tahun diperjuangkan Pemuda Umno Pasir Gudang, namun tiada tanda-tanda
isu itu akan menemui jalan penyelesaian.
“Tindakan ahli parti sehingga sanggup menutup bilik gerakan dalam
saat-saat PRU13 semakin hampir, itu sebenarnya rakyat sudah bosan
menunggu janji yang sudah terlalu lama dinanti.
“MB sudah janji nak selesai...sudah turun padang bertemu penduduk
setinggan, tapi masih bermain teka-teki. Sampai bila? Sedangkan rakyat
hari ini sudah pandai menilai janji yang ditaburkan pemimpin,” katanya
kepada Sinar Harian di sini, semalam.
Rohazam berkata, tindakan menteri besar itu dikhuatiri menggugat jumlah
undi membabitkan 100,000 pengundi di Pasir Gudang akibat kekecewaan
penduduk, sedangkan jentera BN selama ini telah bersusah-payah
meyakinkan lebih 54 peratus pengundi Melayu di situ.
Menurutnya, sudah tiba masanya perkara berkenaan diselesaikan kerana
rakyat telah terlalu lama disogokkan dengan janji yang dibuat oleh
pemimpin utama negeri ini.
“Kita tidak mahu kerana nila setitik, rosak susu sebelanga kerana
jentera BN di Pasir Gudang sudah lama bersiap-sedia dengan pelbagai
program mendekati rakyat, termasuk Pemuda bersama orang muda.
“Jika perkara ini tak selesai, jawapannya akan dapat kita tengok pada
PRU13. Apa sahaja tindakan pengundi dan apa sahaja yang bakal berlaku
kepada calon BN di Pasir Gudang pada PRU13, MB kena bertanggungjawab,”
katanya.
Rohazam yang juga Ketua Penerangan Pemuda Umno Negeri turut menyelar
tindakan Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan yang ingin mengambil
tindakan tata tertib dan disiplin terhadap ahli Umno yang menjadi dalang
boikot kempen.
Menurutnya, Ahmad diingatkan supaya tidak hanya menunjukkan kuasa
dengan kenyataan sedemikian, sebaliknya turun menyelami rintihan
penduduk setinggan di Pasir Gudang dan mencari jalan penyelesaian.
“Jangan cabar kami dengan kenyataan yang boleh mengeruhkan lagi
keadaan. Kalau beliau pemimpin yang berjiwa rakyat, turun ke kawasan
kami dan lihat sendiri rintihan penduduk setinggan di Pasir Gudang yang
setia
menagih janji sejak 13 tahun lepas.
“Bantu kami selesaikan kemelut ini, bukannya cuba menunjuk kuasa yang diamanahkan,” katanya.