Sabtu, 4 Februari 2012

ISU LEMBU NFC, UJIAN ALLAH KATA SHAHRIZAT



Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang akan mula bertugas minggu depan setelah bercuti selama tiga minggu menegaskan bahawa beliau bersedia dan tidak takut untuk menghadapi sebarang tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.

Beliau berkata sebaliknya serangan yang dilemparkan terhadapnya itu menjadikannya lebih bersemangat untuk menghadapi pelbagai ujian.

"It's okay...kita orang politik...lagi bagi semangat kepada kita bila dapat dugaan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemantapan Jentera Pilihan Raya (Jalinan Rakyat) Wanita Barisan Nasional (BN) di Beruas hari ini.

Majlis itu dirasmikan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Shahrizat diminta mengulas kenyataan Pengarah Strategi Keadilan, Rafizi Ramli dalam laman berita rasmi Parti Keadilan Rakyat, Keadilan Daily, baru-baru ini bahawa parti itu akan menyambut kepulangan Shahrizat dari bercuti dengan pendedahan terbaru berhubung dakwaan penyelewengan melibatkan keluarganya.

Shahrizat berdepan isu National Feedlot Corporation (NFC), yang diterajui suaminya Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail apabila Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada Oktober lepas menyatakan NFC gagal memenuhi matlamat penubuhannya.

Isu itu semakin panas berikutan dakwaan pembangkang kononnya wujud penyelewengan peruntukan kerajaan berjumlah RM250 juta yang disalurkan kepada NFC.

NFC ialah projek 'Lembah Daging' di Gemas, Negeri Sembilan bagi meningkatkan pengeluaran daging tempatan dan mengurangkan pergantungan negara terhadap daging import.

Terdahulu, dalam ucapannya Shahrizat yang juga Ketua Wanita Umno dan Wanita BN berkata selama 30 tahun beliau berkecimpung dalam politik segalanya senang dan dipermudahkan oleh Allah, bagaimanapun pada akhir-akhir ini beliau menghadapi ujian yang berat.

"Saya tidak layak jadi ketua jika kena uji saya menyerah bulat-bulat. Jangan ingat saya takut sangat. Saya hanya takut kepada Allah," katanya yang baru pulang daripada menunaikan umrah, semalam.

Shahrizat berkata Wanita BN perlu bersedia menghadapi pelbagai dugaan dalam politik dan beliau menasihatkan mereka supaya tidak mengambil kesempatan jika ada di kalangan mereka dilanda kesusahan.

Katanya ketika seseorang ditimpa kesusahan semua pihak perlu bersatu padu memberi sokongan kepada individu tersebut.

Beliau turut mengingatkan mereka supaya tidak mudah melatah dengan agenda pembangkang.

"Kalau orang nak tembak, dia akan cari kepala.. jangan nak melatah dan ikut agenda pembangkang," katanya.

Mengenai persediaan Wanita BN bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang, katanya beliau akan memastikan jentera pilihan raya sentiasa bersedia.

"Kita akan lebarkan sayap Skuad Sayang. Kita akan pastikan Wanita Umno dan parti komponen lain mantap," katanya.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Mentekedarah duit dana rakyat tu APA NAMANYA SHARIZAT?

batu pelangi berkata...

Takut pada Allah SWT hanya pada
ucapan saja.Tapi perbuatan???
SAPU TETAP SAPU WALAUPUN HAK RAKYAT!