Jumaat, 1 April 2011

STANDARD CHARTERED DERMA RM1 LEWAT LAYAN PELANGGAN


TEMPOH menunggu hanya lapan minit. Itulah janji Standard Chartered Bank (M) Bhd kepada pelanggan dalam piagam perkhidmatannya, dan jika lewat ia akan mendermakan RM1 bagi setiap kelewatan kepada tabung kebajikan.Bercakap kepada media selepas melancarkan piagam pelanggan berkenaan, Pengarah Eksekutif Kumpulan bank itu, Steve Bertamini, berkata langkah berkenaan bertujuan menjadikan perkhidmatan bank itu lebih cekap, serta memastikan setiap pelanggan mendapat layanan serta khidmat yang lebih cemerlang.

“Inisiatif ini adalah pendekatan kami untuk meningkatkan produktiviti syarikat, pada masa sama, memberi kepuasan maksimum kepada pelanggan.

“Ia juga, katanya, bersifat serampang dua mata kerana turut meletakkan aspek kebajikan,” katanya sambil berkata, Standard Chartered adalah bank pertama di negara ini memperkenalkan piagam sedemikian.

Mengulas lanjut Bertmanini berkata, tempoh menunggu lapan minit itu dikira bermula daripada saat pelanggan menerima nombor giliran sehingga nombor giliran mereka dipaparkan di skrin LCD yang dipasang di setiap cawangan.

“Sistem giliran itu secara automatik akan merekodkan tempoh menunggu setiap pelanggan dan seterusnya memaklumkan kepada petugas jika mereka telah melebihi tempoh lapan minit yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, hasil daripada kutipan bagi kelewatan itu akan disalurkan kepada empat program kebajikan global naungan bank terbabit iaitu ‘Seeing Is Believing’, ‘Living with HIV’, ‘Environment’ dan ‘Financial Literacy Programme’.

“Seeing Is Believing adalah dana yang dibentuk untuk menangani dan mencegah masalah cacat penglihatan, manakala ‘Living with HIV’ ialah program khas yang dibentuk untuk mengurangkan bilangan jangkitan HIV.

“Environment pula ialah program pemuliharaan alam sekitar, manakala ‘Financial Literacy Programme’ ialah program yang disusun untuk menanamkan kesedaran mengenai pengurusan wang di kalangan pelajar sekolah,” katanya.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Apakah bank lain sanggup bersaing dengan bank Standard Chartered bagi memuaskan hati pelanggan dalam memberi layanan pantas. haha!....