Pengerusi DAP Karpal Singh berkata hari ini beliau tidak bersetuju  dengan cadangan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa  cara terbaik menangani masalah jenayah dan sosial ialah meminda  undang-undang sivil dan digantikan dengan undang-undang hudud.   
    
Karpal berkata partinya tidak dapat menerima sebarang bentuk pelaksanaan hudud di negara ini.  
    
"Adalah  silap bagi orang seperti Nik Aziz bercakap sesuatu yang tidak boleh  diperkenalkan di negara ini. Perlembagaan Persekutuan hanya membenarkan  Kanun Keseksaan dan undang-undang sivil lain dan tidak ada ruang untuk  undang-undang hudud," katanya pada sidang akhbar di ibunegara hari ini.    
    
Karpal mengulas kenyataan Menteri Besar  Kelantan itu semalam bahawa adalah wajar untuk berbalik kepada hudud  oleh kerana beliau dakwa undang-undang sivil sekarang gagal mengawal  jenayah dan penyakit sosial. 
    
Namun, kata Nik Aziz, keutamaan mestilah menerapkan taqwa atau pendidikan agama terlebih dulu di kalangan rakyat.  
Karpal  berkata beliau amat jelas dalam perkara itu dan tidak mahu berhujah  dengan Nik Aziz kerana pandangan beliau (Karpal) berdasarkan apa yang  dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan negara  sekular.   
    
Karpal berkata pada 1988, Mahkamah  Persekutuan memutuskan bahawa hanya undang-undang sivil terpakai di  sesebuah negara sekular.   
    
Katanya, beliau tidak  bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk mengenakan hukuman mati dalam  kes buang bayi, dan menambah adalah lebih baik menubuhkan suruhanjaya  diraja bagi menyiasat dan mengenalpasti punca masalah sebenar.  
    
- Bernama
 
1 ulasan:
Salam perkenalan ...Nik Ajis bukan baru hari ini kenal Karpal..cuma yang dia tak faham lagi ialah putar belit Karpal...
Catat Ulasan