Selasa, 2 Februari 2010

UMNO BOLEH BUAT APA MEREKA MAHU - KU LI



Apa yang ingin dilakukan oleh Umno terhadap Tengku Razaleigh Hamzah adalah tidak relevan kerana isu sebenar ialah ketetapan undang-undang bahawa Kelantan dan Terengganu berhak mendapat royalti.

"Siapa saya berbanding isu sebenarnya, iaitu undang-undang dan hak rakyat. Umno boleh buat apa yang mereka mahu. Tetapi selepas itu mereka tetap terpaksa berhadapan dengan undang-undang negara dan berhadapan dengan rakyat," Malaysiakini memetik bekas Menteri Kewangan itu berkata ketika mengulas kemungkinan tindakan Umno terhadapnya.

Ini ekoran tindakan Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang menyampaikan ucapan mengenai hak Kelantan untuk mendapatkan royalti minyak di Majlis Solat Hajat dan Ceramah Perdana Royalti Petroleum di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV, Kota Bharu pada 28 Januari lalu.

Beliau mengulangi penegasan bahawa Akta Kemajuan Petroleum memberikan hak di sisi undang-undang kepada Kelantan dan Terengganu untuk mendapat bayaran tunai royalti sebanyak lima peratus hasil keuntungan minyak di luar pesisir.

"Sebagai Pengerusi Petronas pada waktu itu, saya yang merangkakan undang-undang tersebut dan menandatangani perjanjian atas arahan bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

"Beliau mahu memastikan negeri-negeri yang miskin di Semenanjung mendapat faedah dari minyak yang diperolehi di luar pesisir," kata bekas Naib Presiden Umno itu.

Razaleigh berkata, beliau tahu negeri-negeri tersebut tidak mempunyai minyak di pesisirnya.

Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan pihaknya memerlukan masa untuk meneliti kenyataan yang dibuat oleh Razaleigh yang juga Ketua Umno Bahagian Gua Musang itu sebelum menentukan adakah ia melanggar disiplin parti.

Katanya, Umno juga akan meneliti terlebih dahulu kenyataan yang dibuat oleh Razaleigh mengenai persetujuannya untuk mengetuai kaukus royalti minyak Kelantan sebelum memutuskan tindakan selanjutnya.

Menurut Tengku Razaleigh pula, fungsi kaukus tersebut seharusnya diperluaskan dengan mengkaji semula kedudukan dan hak negeri-negeri sebagai anggota kepada Persekutuan Malaysia.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

style="font-weight: bold;">hitam