Selasa, 1 September 2009

BERITA TAK HAIRAN - DUN Kota Siputeh kekal milik BN - SPR

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan bahawa Datuk Abu Hassan Sarif masih kekal sebagai ADUN Kota Siputeh, Kedah.

Oleh itu, menurut SPR, pilihanraya kecil tidak perlu diadakan di DUN tersebut.

Sebelum ini Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail telah menghantar surat kepada SPR berhubung kedudukan Abu Hassan dari Umno, yang didakwa hilang keanggotaannya.

Surat Dr Abdul Isa itu memaklumkan bahawa Abu Hassan hilang keanggotaan setelah dua kali gagal menghadiri sidang DUN pada 19 April dan 9 Ogos lalu.

Abu Hassan, ketua Umno bahagian Jerlun menyandang kerusi DUN Kota Siputeh selama empat penggal berturut-turut.

Seksyen 51 Perlembagaan Negeri memperuntukkan mana-mana anggota DUN yang tidak hadir sidang Dewan dua kali berturut-turut hilang keanggotaannya dan hendaklah mengosongkan kerusi yang disandang.

Bagaimanapun, Abu Hassan telah menjelaskan bahawa beliau mempunyai sijil cuti sakit pada hari yang beliau tidak dapat hadir.

Abdul Isa bagaimanapun sebelum ini bertegas dengan keputusannya dan menolak penjelasan Abu Hassan bahawa beliau sakit dan menolak permohonan maafnya.

Sementara itu, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, SPR dalam mesyuaratnya hari ini, sebulat suara memutuskan ADUN Kota Siputeh itu tidak menghadiri dua mesyuarat berturut-turut di dalam dua penggal yang berbeza, bukan dua mesyuarat di dalam satu penggal yang sama.

"Setelah meneliti dokumen dan mengkaji fakta yang dikemukakan kepada SPR serta kedudukan undang-undang yang berkaitan, pada menjalankan kuasa di bawah Fasal (5) Perkara 53 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah, surat cuti sakit yang dikemukakan oleh ADUN Kota Siputeh, diterima oleh SPR bahawa kegagalan beliau menghantar surat cuti sakit kepada Speaker lebih awal tidak menjadikan surat cuti sakit itu terbatal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Aziz berkata sebelum Perkara 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah Darul Aman digunakan, ia terlebih dahulu perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan.

Mengenai surat pemakluman daripada Speaker DUN Kedah, Abdul Aziz menjelaskan bahawa Abu Hassan telah diberi peluang untuk menjelaskan sebab sebenar ketidakhadiran beliau dalam sidang itu.

"SPR telah meneliti surat daripada beliau yang memohon maaf kerana tidak dapat hadir dalam Sidang Dewan pada 9 Ogos 2009. Bersama surat itu dilampirkan surat cuti sakit daripada doktor yang mendapati beliau tidak sihat untuk menjalankan tugas selama dua hari iaitu dari 9 hingga 10 Ogos.

"Turut diteliti ialah kenyataan beliau bahawa beliau telah menghantar sms (khidmat pesanan ringkas) kepada Ketua Pembangkang untuk memaklumkan mengenai ketidakhadiran itu kerana sakit dada," katanya.

Catatan: SAH!... SPR kuda tunggangan UBN.

mkini

ERA NAJIB ALTANTUYA - MESTI BACA: BUKTI BN MASIH KUAT

Kita sering dengar ungkapan ini dari pemimpin UMNO mengatakan bahawa Barisan Nasional (BN) masih merupakan parti yang kuat berbanding pakatan pembangkang. Dan inilah buktinya.

MCA makin tenat

KUALA LUMPUR: Krisis MCA dijangka bertambah meruncing apabila dua mesyuarat agung luar biasa (EGM) mungkin diadakan susulan pemecatan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek daripada parti, minggu lalu.

Ini berikutan keputusan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat, untuk memanggil EGM ketika penyokong Dr Chua turut merancang mengadakan mesyuarat berkenaan dalam usaha membatalkan pemecatan Timbalan Presiden itu.

Ong dalam satu kenyataan di dalam blognya semalam berkata, beliau terpaksa menggunakan klausa 30.1 perlembagaan parti untuk mengarahkan EGM diadakan bagi membolehkan perwakilan menyatakan pendirian berhubung kontroversi pemecatan Chua berikutan skandal seksnya pada 2007.

“EGM ini juga diadakan bagi mengetahui sama ada ahli parti bersetuju dengan cara penyelesaian isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

“Mengadakan EGM adalah satu keputusan yang besar dan ia lebih bererti ketika negara sedang menyambut kemerdekaan ke-52,” katanya.

Rabu lalu, Majlis Presiden MCA memecat Chua berkuat kuasa serta-merta kerana skandal seksnya yang dikatakan memberi imej buruk kepada parti, tetapi keputusan itu dibantah sesetengah pemimpin dan ahli MCA.

Berikutan itu, penyokong Chua berusaha mendapatkan tandatangan perwakilan MCA bagi mengadakan EGM bagi membatalkan pemecatannya.

Mengikut perlembagaan MCA, EGM boleh diadakan melalui tiga kaedah, iaitu persetujuan satu pertiga perwakilan, arahan daripada presiden dan satu pertiga anggota Jawatankuasa Pusat parti.

Ong berharap ahli MCA dapat membuat keputusan terbaik demi kepentingan parti, bukannya dipengaruhi oleh faktor diri beliau.

“Suara ahli parti lebih penting bagi meneruskan kelangsungan MCA yang menjadi tonggak penting kemerdekaan negara selama ini. Keputusan ini juga diharap mengembalikan kekuatan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Chua ketika dihubungi Berita Harian pula mempersoalkan tindakan Ong menggunakan kuasanya mengarahkan parti mengadakan EGM, sedangkan Presiden MCA itu sebelum ini menyelar usaha sekumpulan ahli untuk mengadakan EGM yang dianggap boleh memecahbelahkan parti.

“Keputusan Ong itu mengelirukan penyokong dan ahli MCA, sekali gus menunjukkan pendiriannya yang sering berubah-ubah. Ketika saya dipecat dan penyokong saya berura-ura mahukan EGM, Ong menyelar dengan mengatakan ini akan menyebabkan MCA berpecah.

“Tetapi kini dia sendiri yang inginkan EGM dan perkembangan terbaru ini tidak akan menghalang penyokong saya untuk terus mendapatkan tandatangan dan mengadakan EGM seperti yang diinginkan.

“Jika satu pertiga perwakilan meminta EGM dan semua syarat dipenuhi, parti tidak boleh menafikan permintaan itu dan apa yang kami lakukan adalah menggunakan kuasa perwakilan yang menjadi akar umbi dalam menentukan kedudukan kita dalam parti, berbanding Ong yang menggunakan kuasa Presiden,” katanya.

Chua berkata, tindakan penyokongnya yang mahukan EGM bukan untuk membela beliau, tetapi lebih penting bagi menentukan hala tuju MCA pada masa akan datang.

“Kami komited untuk terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tetapi kecewa apabila MCA yang dipimpin Ong gagal menyatupadukan parti dan menggariskan hala tuju seperti yang dilakukan Perdana Menteri.

“Bahkan, terlalu banyak politiking dalam MCA hingga mengabaikan tuntutan dan aspirasi rakyat, malah tiada usaha langsung daripada MCA untuk menjayakan kempen 1Malaysia,” katanya.

Chua yang baru pulang daripada bercuti di luar negara, semalam berkata beliau akan meneliti agenda Ong dalam menganjurkan EGM kerana apa yang berlaku sekarang membuktikan alasan Presiden MCA itu memecatnya adalah tidak benar.

“Dia beritahu pemecatan saya untuk membentuk imej parti yang baik dan jika itu benar, ahli MCA semestinya mengalukan keputusan itu dan berasa lega tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila ramai ahli yang kecewa dan berasa marah.

“Sekarang, orang sudah nampak siapa sebenarnya yang menjejaskan nama baik MCA walaupun dia mahu tonjolkan dirinya seolah-olah kelihatan baik dan bersungguh-sungguh memerangi rasuah dalam kes penyelewengan PKFZ,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung MCA, Datuk Wong Foon Ming ketika dihubungi mengesahkan menerima arahan daripada Ong pagi semalam supaya memanggil EGM.

Beliau berkata, satu mesyuarat akan diadakan hari ini bagi membincangkan tarikh, masa dan tempat EGM akan diadakan, selain agenda yang akan dibawa ke mesyuarat itu.

Wong berkata, EGM itu akan diadakan dalam tempoh 30 hari dan beliau berharap notis mengenai boleh dikeluarkan hari ini.