Oleh: Roslan Harun
SEDANG anda memandu menghampiri sebuah persimpangan berlampu isyarat,  anda terdengar bunyi siren. Anda pun mengerakkan kereta anda ke tepi,  memberi laluan kenderaan yang anda sangkakan sebuah ambulans.
Bagaimanapun  andaian anda salah. Kenderaan yang melepasi anda itu sebenarnya membawa  orang besar dan berkuasa. Pegawai pengiring mengarahkan anda ke tepi  dan kemudian konvoinya berdesup sekalipun lampu isyarat berwarna merah.
Demikianlah  contoh menunjukkan bahawa ada orang lebih hebat daripada undang-undang.  Mereka mengatasi undang-undang. Kisah 'The Emperor's New Clothes'  (Pakaian Baru Raja) menceritakan bagaimana seseorang yang berkuasa itu  sentiasa dikatakan betul sekalipun dia tidak betul (raja berbogel tetapi  dikatakan berpakaian paling cantik dan hebat).
Anda benar kerana  anda berkuasa. Yang penting di sini bukannya lojik sesuatu perkara itu  tetapi siapa yang mengutarakan pendapat atau kata-kata tersebut.
Kata-kata  seorang pengemis atau tukang sapu sampah mengenai politik sudah tentu  tidak akan dipandang dengan sebelah mata walaupun apa yang mereka  katakan itu ada kebenaran dan lojiknya.
Keadaan sebaliknya akan  berlaku jika seorang raja atau mengemukakan pandangan. Walaupun  kadang-kadang hal itu tidak masuk akal, disebabkan begitu berpengaruhnya  orang tersebut, maka hal itu diterima juga orang awam kerana  masing-masing terpaksa atau dipaksa mengakuinya.
Situasi ini  berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Kita tidak lepas bebas kerana  ada pihak yang mengikat diri kita. Dalam dunia hari ini, di mana  terdapat aneka kemudahan dan penciptaan, dikatakan kehidupan kita  semakin aman, hakikatnya mungkin tidak begitu.
Kita semakin  takut, takut akan bayang-bayang kita sendiri dan juga takut kepada orang  di atas kita kerana bagi mereka segala yang mereka utarakan kepada  orang bawahan itu mereka anggap benar walaupun tidak benar.
Kisah  pertarungan Hang Tuah dan Hang Jebat dalam dunia lama Melayu mungkin  boleh dijadikan contoh mengenai apa yang didakwa betul dan tidak betul.  Pada mulanya, Sultan mendapati Hang Tuah tidak betul dan perlu dihukum.
Hang  Tuah disembunyikan Bendahara Tun Perak di Ulu Melaka. Selepas Hang  Jebat mengamuk dan Hang Tuah diperlukan untuk menghapuskannya, Hang Tuah  dikatakan tidak bersalah pula. Hari ini Hang Tuah bersalah, esok Hang  Jebat pula bersalah yang yang sentiasa betul adalah Sultan.
Sultan  akan sentiasa betul kerana baginda mempunyai kuasa. Kerana kuasa di  tangan baginda, orang bawahan tiada hak untuk menyatakan sesuatu itu  betul atau sebaliknya.
Dunia ini memang aneh. 'Kebenaran' dapat  dibeli dengan wang ringgit. Dengan itu siapa yang banyak wang dan  berkuasa, dialah yang 'benar'. Dan orang yang membenarkannya mempunyai  kepentingan sendiri.
Bagaimanapun 'kebenaran' yang dibeli dengan  wang ringgit ataupun yang ada udang di sebalik batu tidak bertahan lama.
Dalam  kisah 'The Emperor's New Clothes' sendiri memperlihatkan kebijaksanaan  seorang budak yang dapat mengalahkan raja; memang raja bersalah dan  tidaklah payah untuk diselindungkan keaiban raja seperti dilakukan  menteri-menterinya.
Mengenai kebenaran dan kemenangan, bijak  pandai mengungkapkan "kebenaran itu tidak semestinya menang, dan  kemenangan itu tidak semestinya benar."
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan