Cuepacs menyarankan pekerja Kumpulan Sokongan II membuat kerja sampingan  bagi menjana pendapatan tambahan sekiranya jabatan tidak mempunyai  peruntukan bagi membayar kerja lebih masa yang dilakukan.
Presidennya, Omar  Osman, berkata Cuepacs ada menerima aduan dari pekerja kumpulan sokongan  itu bahawa mereka tidak dibayar bagi kerja lebih masa yang dilakukan  atas alasan jabatan tidak mempunyai peruntukan atau "bajet".
"Jadi  buatlah kerja anda seperti biasa dari 8 pagi hingga 5 petang, lepas itu  tidak perlulah buat OT (kerja lebih masa), pergilah tukar baju, jadi  pemandu teksi ke," katanya ketika ditemui pemberita pada bengkel  tatatertib sektor awam dan mesyuarat khas Majlis Kongres Cuepacs di  Kuala Lumpur hari ini.
Omar berkata pihak jabatan sepatutnya  membayar kerja lebih masa yang dilakukan walaupun tidak sepenuhnya agar  tidak menjejaskan produktiviti.
"Janganlah tidak membayar  langsung. Contohnya, jika pekerja buat kerja lebih masa 100 jam,  sekiranya jabatan tidak boleh membayar 100 jam, bayarlah bagi 70 jam  kerja lebih masa. Lagi 30 jam dijadikan sebagai cuti gantian," katanya.
Omar  berkata terdapat hampir 450,000 pekerja Kumpulan Sokongan II di bawah  Gred 1 hingga 16 yang terdiri daripada pemandu, pembantu am pejabat,  pembantu rawatan kesihatan dan pekerja rendah awam yang mana 60 peratus  daripadanya membuat kerja lebih masa.
Sementara itu, beliau  meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengkaji semula Pekeliling  Perkhidmatan Awam Bilangan 4/2010 supaya memberikan bayaran pampasan  sepenuhnya kepada mana-mana kakitangan awam yang memilih untuk bersara  awal.
"Ketika ini  mana-mana kakitangan awam yang bersara awal dibayar pampasan 20 peratus  daripada gaji akhir mereka atau RM10,000. Dan bakinya dibayar selepas  mereka berumur 56 atau 58 tahun. Jadi, saya harap JPA dapat kaji semula  pekeliling ini," katanya.
Beliau juga berkata mana-mana anggota  perkhidmatan awam yang dibuang kerja kerana melakukan kesalahan  tatatertib yang tidak melibatkan rasuah atau jenayah layak menerima  pampasan sepanjang perkhidmatannya.
Mengenai sama ada tindakan  akan diambil terhadap Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd Zin  kerana mengeluarkan kenyataan tentang kebimbangan penguasaan wanita  dalam sektor awam hingga dikritik banyak pihak, Omar berkata satu  mesyuarat khas akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan  perkara itu.
Ahmad Shah dilaporkan berkata trend masa kini  menunjukkan semakin ramai wanita dilantik memegang jawatan sebagai  pembuat keputusan dan situasi itu mempunyai implikasi jangka panjang  dalam aspek kemajuan dan pertumbuhan negara. Takbernama
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan