Isnin, 20 Julai 2009

PASCA MANEK URAI - UBN PUN TAK PERCAYA PADA SPR

UMNO mengkaji kemungkinan menghantar petisyen pilihan raya bagi mencabar keputusan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, Kuala Krai, Kelantan, yang dimenangi oleh Pas dengan majoriti kecil 65 undi.

Ketua Penerangannya, Ahmad Maslan berkata, parti itu kini sedang memperhalusi langkah tersebut bersama Penasihat Undang-Undang UMNO, Datuk Mohamed Hafarizam Harun.

‘‘Saya tidak menolak kemungkinan itu (petisyen), tetapi perkara ini akan diputuskan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

‘‘Saya tidak mahu mendahului pemimpin tertinggi UMNO, tetapi Barisan Nasional (BN) masih mempunyai waktu untuk berbuat demikian dan kita sedang memperhalusi perkara tersebut,’’ katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis Memperkasakan Perpaduan Melalui Penerangan di sini hari ini.

Ahmad diminta mengulas dakwaan wujudnya sedikit keraguan terhadap keputusan pilihan raya di Manek Urai apabila beberapa pihak mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tersilap mengumumkan keputusan undi bagi kawasan Manek Urai Lama.

Desas-desus wujud keraguan keputusan pengiraan di peti undi Manek Urai Lama timbul apabila BN sepatutnya dikatakan menang dengan majoriti 289 undi, tetapi hanya diumumkan 189 undi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Perkara itu disahkan oleh bekas Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai, Datuk Wan Zaid Wan Abdullah baru-baru ini.

Keputusan itu dikatakan memberi kesan yang besar sehingga menyebabkan BN kalah pada pilihan raya kecil Selasa lalu, sedangkan jika mengambil kira undi 289 di Manek Urai Lama dan undi pos, BN menang kira-kira 42 undi.

Keputusan pilihan raya kecil tersebut menyaksikan calon Pas, Mohd. Fauzi Abdullah mendapat 5,348 undi, manakala calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat memperoleh 5,283 undi, manakala sebanyak 117 undi rosak.

UMNO tidak boleh menerima hakikat bahawa mereka sebenarnya telah kalah walaupun dengan 65 undi. Sebaliknya mereka menyalahkan SPR kerana membuat kesilapan pengiraan undi. Kalau dah UMNO sendiri pun tak percaya pada SPR walaupun SPR adalah sebahagian komponennya, tidak hairanlah mereka juga sering mempertikaikan kemenangan PR juga.

Tiada ulasan: