Rabu, 22 Julai 2009

BERITA HAIRAN - BOMBA KELANTAN MENGADU TIADA PANGGILAN PALSU SEPANJANG 6 BULAN PERTAMA 2009

KOTA BAHARU, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan mencatat sejarah apabila tiada panggilan palsu diterima dari orang yang tidak bertanggungjawab sepanjang enam bulan pertama tahun ini.

Pengarahnya Mohd Azmi Othman berkata pada tahun lalu pihaknya menerima 1,074 panggilan dan hanya tiga panggilan palsu.

Beliau berkata pihaknya juga mendapat kerjasama dari orang ramai dalam kerja-kerja mengawal kebakaran walaupun di tempat-tempat yang sukar dimasuki.

"Sebanyak RM26 juta harta orang ramai berjaya diselamatkan termasuk bangunan, rumah kediaman, jentera dan peralatan rumah," katanya kepada Bernama ketika ditemui di pejabatnya di sini, Selasa.

Mohd Azmi berkata sepanjang tempoh enam bulan itu seramai 188 orang hilang tempat tinggal dan lima mangsa hilang pekerjaan akibat kerosakan bangunan tempat bekerja.

Beliau berkata empat kematian dilaporkan berlaku iaitu membabitkan dua kanak-kanak berusia antara satu dan tiga tahun dan masing-masing satu Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas berusia 64 tahun.

"Bomba juga berjaya menyelamat dua mangsa yang cedera dalam kebakaran itu masing-masing seorang di Tumpat dan Pasir Puteh," katanya.

Menurutnya sebanyak RM5.743 juta harta orang ramai musnah dalam kesemua kebakaran itu yang merupakan catatan paling minimum pernah dialami oleh pasukan Bomba dan Penyelamat Kelantan.

"Dari 228 kes yang dilaporkan, sebanyak 72 melibatkan kebakaran bangunan dan 156 panggilan adalah selain dari kebakaran bangunan," katanya.

Pihaknya juga menerima laporan kebakaran kenderaan iaitu sebanyak 33 kes yang membabitkan kerugian kira-kira RM675,200, alat perkakas (RM209,150), mesin berjentera (RM151,200) dan kebun tanaman sebanyak RM20,000.

-- BERNAMA

Catatan: Kelantan adalah negeri di bawah pemerintahan PAS. UMNO-BN mungkin boleh belajar dari kepimpinan PAS bagaimana cara mendidik rakyatnya supaya tidak menyukai perkara-perkara yang berunsur palsu termasuk tidak membuat panggilan palsu dan pelbagai janji palsu pilihanraya.

1 ulasan:

Unknown berkata...

org bodo jer percaya benda2 cam nie