Isnin, 14 Disember 2009

NAZRI MARAH BILA DISURUH LETAK JAWATAN



''Kerja bodoh.'' Itulah reaksi spontan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berhubung desakan supaya beliau melepaskan portfolio Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).

Sambil menegaskan beliau tidak bimbang dengan 'ugutan' tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, apa yang sepatutnya dilakukan oleh persatuan teksi terbabit adalah mencari jalan meningkatkan mutu perkhidmatan mereka.

''Itu kerja bodoh, lebih baik buat kerja cari jalan bagaimana nak meningkatkan mutu perkhidmatan.

''(Mereka) suruh saya letak jawatan (lepaskan portfolio), pertama, saya nak sebut, kalau suruh saya letak jawatan bermakna, memang mereka ini merupakan pemandu teksi yang buat kesalahan sebab saya tegur mereka yang buat kesalahan.

''Apa pasal kita nak membela pemandu yang buat kesalahan," katanya.

Semalam, Persatuan Teksi Eksekutif Malaysia (Pupteksm) mendesak beliau melepaskan portfolio LPKP ekoran kenyataannya yang didakwa mencemarkan imej pemandu teksi.

Beliau sebelum itu hadir melancarkan bas baru The Combined Bus Services Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Mohamed Nazri berkata, beliau tidak pernah mengatakan sikap pemandu teksi di negara ini lebih teruk daripada tandas (jamban), sebaliknya itu adalah aduan para pelancong.

''Kalau dulu dalam tinjauan kita tanya pelancong apa yang mereka tak puas hati di Malaysia, mereka kata, tandas yang kotor, sekarang banyak aduan tentang pemandu teksi yang tak amanah, menipu dan tak ikut meter," katanya.

''Sebab itu saya kata, persatuan yang bela pemandu yang ingkar, melanggar syarat, yang menipu, mereka patut mengambil tindakan terhadap ahli-ahlinya, bukan suruh menteri letak jawatan. Ini menunjukkan kebodohan mereka.

''Saya tak akan berhenti. Dan saya tahu, Perdana Menteri juga tak akan suruh saya berhenti. Jadi, berhentilah buat kerja bodoh ini," katanya.

Dalam masa sama, Mohamed Nazri meminta orang ramai terus membuat aduan tentang kesalahan yang dilakukan oleh pemandu teksi bagi membolehkan tindakan segera diambil terhadap mereka.

Tiada ulasan: