PULAU PINANG 19 Dis. – Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang malam tadi memutuskan untuk menuntut jawatan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri diserahkan kepada parti itu.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, permintaan itu dibuat sejajar usaha memantapkan kedudukan BN Pulau Pinang dan bukannya mempunyai agenda tertentu.
Jelasnya, adalah wajar jawatan tersebut diserahkan kepada UMNO memandangkan parti komponen BN lain di negeri itu tidak memenangi sebarang kerusi pada pilihan raya umum lalu.
‘‘UMNO bukan berhajat mengambil alih jawatan itu semata-mata, tetapi bagi memperkuatkan BN negeri ini dan ia juga bukan soal kepentingan personaliti, ia demi kebaikan BN.
‘‘Permintaan ini wajar berdasarkan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat kepada UMNO negeri ini dan kita yakin rakan parti komponen lain menyokong.
‘‘Biar UMNO pula yang menyelaras BN Pulau Pinang supaya lebih berkesan membantu parti komponen di negeri ini,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat badan itu di sini.
Jawatan Pengerusi BN Pulau Pinang selama ini dipegang oleh Gerakan dan sekarang ia disandang oleh Presidennya, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.
Tambah Ahmad Zahid, jawatan tersebut kelak tidak semestinya dipegang beliau tetapi oleh mana-mana pemimpin UMNO negeri yang difikirkan layak memikul tanggungjawab itu.
Sehubungan itu, beliau berharap Pengerusi Dewan Tertinggi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak mempertimbangkan perkara itu.
Ditanya adakah UMNO berbincang dengan parti komponen lain mengenai hasrat itu, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO berkata, mereka tidak perlu berbuat demikian.
Dalam perkembangan lain katanya, UMNO negeri juga akan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin supaya pelantikan Ahli Majlis, Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) bukan hanya terdiri daripada pakatan pembangkang.
‘‘Bagi tujuan itu, rombongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari negeri ini memohon menghadap Tuanku Mizan dalam masa terdekat,” ujarnya.
Perkhidmatan barisan Ahli Majlis MAIPP termasuk Yang Dipertuanya, Shabudin Yahaya iaitu ADUN Permatang Berangan daripada UMNO akan tamat akhir bulan ini.
Selain itu beliau memberitahu, mereka turut meminta semua jabatan dan agensi Kerajaan Pusat supaya menjalankan program yang memberi keuntungan kepada golongan Melayu di negeri ini.
Pada mesyuarat berkenaan, UMNO negeri turut mengalu-alukan keputusan Majlis Tertinggi (MT) parti menarik balik penggantungan hukuman ke atas bekas Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail.
‘‘Sekarang ini kita menyerahkan kepada ahli-ahli bahagian itu untuk mengambil langkah tertentu bagi memberi peluang kepada Ahmad melakukan tugas yang bersesuaian,” katanya.
1 ulasan:
Apa nak jadi dengan UMNO nie! Semua jawatan depa nak bolot.
Catat Ulasan