Isnin, 21 Disember 2009

UMNO MUNGKIN KEMPUNAN UNTUK JADI PENGERUSI BN P.PINANG

KUALA LUMPUR, 21 Dis: Pergolakan BN Pulau Pinang dilihat berpanjangan apabila pemimpin nombor dua Umno negeri itu pula menegaskan bahawa jawatan Pengerusi BN negeri bukannya hak turun-temurun mana-mana pihak.

Penegasan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman itu dipercayai umum ditujukan kepada Presiden Gerakan Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.

"Jawatan (Pengerusi BN Pulau Pinang) tersebut bukannya hak turun-temurun atau hak seumur hidup kepada mana-mana individu mahu pun parti," kata Zainal.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno (2009-2011) menegaskan bahawa Koh tidak berhak menolak permintaan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya Umno mempengerusikan BN Negeri kerana Umno mempunyai Adun terbanyak di Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu sebanyak 11 orang.

Beliau menegaskan, soal menerima atau menolak permintaan Ahmad seharusnya dipulangkan kepada Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri.

Ujarnya lagi, Umno lebih layak mempengerusikan BN Pulau Pinang demi berdasarkan sokongan rakyat dalam Pilihanraya Umum ke-12 (PRU12) lalu.

Dengan Umno menyandang Pengerusi BN Negeri kelak, dipercayai mampu meraih semula sokongan rakyat kepada BN.

Lebih pada itu, Zainal turut menuduh Koh tidak menjalankan tugas yang diamanahkan kepadanya selaku Pengerusi BN Negeri belakangan ini.

Koh turut dituduh tidak mengadakan aktiviti-aktiviti sewajarnya demi kepentingan rakyat, khususnya di kalangan akar umbi parti-parti komponen sendiri.

Dalam perkembangan berkaitan, dilaporkan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merika turut menyokong desakan Zainal dan Ahmad tersebut.

Pun begitu, beliau berharap Koh dan Gerakan tidak menganggap Umno cuba memonopoli BN negeri itu.

"Ini bukan bererti bahawa Umno hendak monopoli BN Pulau Pinang," ujarnya.

Beliau turut menasihatkan Koh supaya tidak mempertahankan jawatan Pengerusi BN walaupun Gerakan pernah menyandang jawatan penting itu sejak 35 tahun lalu.

"Beliau (Koh) tidak lagi boleh sentimental dan perlu melihat realiti (sokongan rakyat kepada Gerakan dan Umno sekarang)," ujarnya.

Koh yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang diajak bersepakat dengan Umno serta parti-parti komponen BN yang lain dalam isu dalaman BN tersebut demi kepentingan bersama.

"Kita (Umno dan Gerakan) perlu sepakat...ini bukan soal parti tapi (soal) perjuangan, (iaitu) bagaimana mahu yakinkan rakyat kepada BN," jelasnya.

"Kita nak rampas balik Pulau Pinang pada Pilihanraya Umum ke-13 nanti..."

Tiada ulasan: