Sabtu, 5 Disember 2009

NAJIB AKAN TERIMA 'BALA' JIKA DAKWAAN BALA BENAR


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akhirnya bersuara terhadap dakwaan bahawa adiknya Datuk Mohamed Nazim telah memaksa penyiasat persendirian P Balasubramaniam menutup mulut.

Beliau menafikan dakwaan itu yang menurutnya tidak berasas.

Apabila soalan itu diajukan kepada beliau dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno malam ini, Najib berkata, beliau tidak akan melayan kenyataan semberono.

Beliau diminta mengulas dakwaan Balasubramaniam dalam siri video wawancaranya yang disiarkan dalam Youtube.

Dalam wawancara tersebut, Balasubramaniam mendakwa Nazim dan beberapa individu lain, bertindak sebagai proksi Najib, bagi memaksanya menarik balik akuan bersumpah pertamanya.

Beliau juga mendakwa ditawarkan RM5 juta oleh Nazim dan individu lain yang dikaitkan dengan kes tersebut.

Akuan bersumpah itu, yang diumumkan 3 Julai tahun lalu, mengandungi dakwaan yang Najib mempunyai hubungan dengan Altantuya Shaariibuu - kenyataan yang dinafikan Najib kemudiannya.

Balasubramaniam telah menarik balik akuan bersumpah pertamanya itu dalam tempoh 24 jam dalam situasi yang meragukan dan meninggalkan negara bersama anggota keluarganya.

Walaupun pelbagai pihak telah mendesak Najib supaya memberi reaksi terhadap perkembangan terbaru itu, tetapi perdana menteri dan adiknya itu sebelum ini, hanya membisu.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata ia telah memulakan siasatan terhadap isu tersebut.

2 ulasan:

Balachi berkata...

Pasal apa najib takut nak saman jika dia benar

Balakong berkata...

NAJIB adalah PM 1Malaysia yang punyai paling banyak masalah peribadi. Turun atau sedia diturunkan seperti Pak Lah.