MIC mahu kerajaan menutup Pusat Tahanan Simpang Renggam di Johor kerana mendakwa ia menjadi sarang pembiakan penjenayah khususnya di kalangan kaum India berbanding usaha memulihkan mereka.
"Penjenayah kecil-kecilan yang dihantar ke pusat itu kemudian keluar sebagai penjenayah tegar," kata presidennya Datuk Seri S. Samy Vellu kepada pemberita selepas merasmikan bengkel Pemuda MIC mengenai pencegahan jenayah di kalangan pemuda India di sini.
Menjawab satu soalan, Samy Vellu berkata beliau sedar bahawa beberapa badan bukan kerajaan (NGO) juga mahu pusat berkenaan ditutup.
Pusat tersebut dibina pada 1986 bagi menempatkan tahanan yang ditangkap di bawah Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 serta banduan lain dan banduan reman.
Samy Vellu, yang melawat pusat berkenaan pada 2007 ketika menjadi Menteri Kerja Raya, menegaskan bahawa pusat tersebut sesak dan banduan tinggal dalam keadaan jijik.
Dilaporkan bahawa pusat itu hanya boleh menampung 2,000 tahanan tetapi kini jumlahnya melebihi 4,000 banduan.
Samy Vellu mencadangkan supaya banduan yang menjalani hukuman penjara dipindahkan ke penjara moden seperti Penjara Sungai Buloh manakala tahanan yang belum didakwa dibawa ke mahkamah untuk menghadapi hukuman.
"Bagi banduan yang tidak dapat didakwa di mahkamah atas pelbagai sebab, kami fikir mereka harus dikenakan hukuman khidmat masyarakat dan kemudian dipindah ke pusat pemulihan lain yang dilengkapi dengan kemudahan moden," katanya.
Menurutnya, ketika kunjungan ke pusat itu, beberapa tahanan mengadu bahawa mereka sepatutnya ditahan selama dua tahun dan mendakwa pihak berkuasa telah melanjutkan tempoh tahanan mereka.
Katanya beliau yakin Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan mempertimbangkan permintaan MIC itu atau mencari penyelesaian alternatif. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan