Sabtu, 4 Ogos 2012

ROYALTI KELANTAN - BN ANGKAT BENDERA PUTIH


SHAH ALAM - Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat awal pagi ini memberitahu bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menghantar surat kepada beliau memintanya menghantar wakil untuk membincangkan pembayaran royalti minyak untuk Kelantan. 
Menurut beliau, surat itu dihantar kepada beliau semalam.
Perkara ini dimaklumkan oleh Nik Aziz kepadaHarakahdaily sebaik sahaja selesai solat Subuh di masjid berhampiran rumahnya di Pulau Melaka, Kota Bharu pagi ini.
Beliau turut memaklumkan berita ini dalam tazkirah Subuh yang disampaikan beliau sebaik sahaja selesai solat Subuh di Masjid Pulau Melaka, bersebelahan rumahnya pagi ini.
"Surat ini diterima oleh Setiausaha Sulit saya, Encik Rosdi (Mohamad). Tetapi kerana hari cuti, dia baru bagi kepada saya," kata Nik Aziz.
Sebelum menghantar wakil Kelantan untuk berunding, Nik Aziz berkata, beliau akan menghadap Sultan Kelantan untuk membincangkan perkara tersebut.
Yang menariknya, istilah yang digunakan dalam surat ini adalah pembayaran 'bayaran tunai'.
Nik Aziz menyambut baik keputusan kerajaan ini dan menyifatkannya sebagai keberkatan bulan Ramadan.
"Semoga ALLAH membuka pintu hati kerajaan Pusat selepas jawatankuasa ini bersidang," katanya.
Awal minggu ini, veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah mengulangi pendiriannya bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) perlu menyelesaikan segera isu royalti minyak yang dituntut Kerajaan Kelantan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Katanya, isu itu perlu diselesaikan sebelum PRU13 untuk menarik sokongan rakyat Kelantan kepada BN.
Pas mengekalkan kerajaan negeri yang dirampas daripada BN pada 1990. Beberapa kajian terbaru, termasuk yang diumumkan minggu lalu menunjukkan negeri itu akan kekal di tangan Pas pada PRU13.
Dipetik laporan Astro Awani, Tengku Razaleigh mengulas perkembangan selepas laporan beberapa bulan lalu bahawa Umno Kelantan mahu mendapatkan pandangannya untuk persiapan menghadapi PRU13.
Razaleigh, yang pernah mengeluarkan pandangan yang sama tahun lalu, mengakui bahawa beliau ada didatangi oleh beberapa pemimpin Umno Kelantan yang meminta pandangan bagaimana untuk menguatkan semula Umno di Kelantan.
Pada Ogos 2010, Kerajaan Pas Kelantan mengemukakan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Petronas berhubung tuntutan royalti minyak yang didakwa dikeluarkan dari perairan negeri itu.
Dalam kes saman itu kerajaan negeri tidak menetapkan tuntutan yang dibuat, sebaliknya terserah kepada mahkamah menentukannya.
Hujung minggu lalu, Timbalan Menteri Kewangan Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin menyifatkan penganjur Konvoi Royalti, yang menjelajah negeri ini, sepatutnya menunggu mahkamah membuat keputusan mengenai kes tuntutan royalti minyak oleh kerajaan Kelantan terhadap Petronas.
"Jika mereka mengambil langkah sebelum mahkamah membuat keputusan, ia dibimbangi tidak selari dengan keperluan undang-undang," katanya.
Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (Royalti) menganjurkan Konvoi Royalti, yang diketuai Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, ke Gua Musang.
Awang Adek, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengagihan Wan Ehsan Kelantan berkata, pemberian wang itu dilaksanakan mengikut keperluan undang-undang dan dilakukan dengan telus membabitkan semua golongan seperti pelajar, mangsa kebakaran rumah dan bencana alam, tanpa mengira fahaman politik.
Kerajaan Pas Kelantan menuntut Kerajaan Pusat membayar royalti minyak RM1 bilion bagi pengeluaran petroelum dan gas di perairan negeri itu antara 2004 hingga 2009. Kerajaan Pusat menolak tuntutan itu.
Mengulas lanjut, Nik Aziz yang juga Mursyidul Am Pas berkata, perkembangan ini sedikit sebanyak adalah berkat doa rakyat Kelantan termasuk 40 orang ulama yang pergi ke Makkah sebelum ini untuk bermunajat kepada ALLAH agar diselesaikan isu ini segera.
Beliau juga meminta semua rakyat Kelantan terus berdoa agar pembayaran royalti ini menjadi kenyataan.
Nik Aziz juga berkata, beliau sangat gembira jika bayaran royalti ini menjadi kenyataan tetapi sedar ia adalah satu amanah besar dari ALLAH.
"Harta kerajaan ini tidak boleh buat pandai-pandai, harta sendiri pun tidak boleh buat ikut sedap je," kata beliau.
Nik Aziz berkata, jika bayaran ini menjadi kenyataan bermakna apa yang dikatakan oleh dua wakil kerajaan Pusat di Kelantan selama ini bercanggah dengan surat Perdana Menteri ini.
"PM nak buat jawatankuasa khas, Timbalan Menteri Awang Adek kata sudah bayar wang ihsan. Seorang lagi Menteri (Datuk Mustapha Mohamad) pula mengaku dalam (Dewan Undangan Negeri) Dun, dia yang sekat," kata Nik Aziz.

Tiada ulasan: