Isnin, 4 Julai 2011

AWAS!... BLOG PEMBANGKANG SEDANG DIPANTAU

KUALA LUMPUR 4 Julai - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuat pemantauan internet secara khusus terhadap laman blog atau portal berita yang telah dikenalpasti selain daripada menjalankan pemantauan rambang, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang berkata, langkah ini diambil berikutan terlalu banyak laman web atau blog yang terdapat di internet dan sukar untuk pihak berkuasa memantau setiap laman itu satu persatu.

Katanya, pemantauan juga dijalankan berdasarkan aduan orang awam.

"SKMM sentiasa menggalakkan orang untuk membuat aduan ke Biro Aduan SKMM (aduan.skmm.gov.my), Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF-www.cmcf.my) dan Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CfM-www.cfm.org.my) sekiranya mempunyai maklumat mengenai kandungan laman web atau blog yang menyalahi undang-undang,” katanya ketika menjawab soalan Senator Lee Cheam Choon. - Bernama

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Ini apa yang aku faham dari Titah Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong.

Jika dilihat kepada situasi terkini, dengan hadirnya titah Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong, matlamat Himpunan BERSIH 2.0 dapat dikatakan telah mencapai matlamatnya. Cuma memorandum rasmi sahaja tidak di tangan Seri Paduka namun sememangnya di dalam pengetahuan Baginda. Matlamat kita untuk berhimpun pada 9 Julai 2011 adalah untuk mendapatkan perhatian Seri Paduka bagi menzahirkan hasrat rakyat di Malaysia yang ingin agar SPR dapat mewujudkan pilihanraya yang adil dan telus di dalam hakikat yang sebenar. Dengan titah dari Seri Paduka secara tidak langsung Baginda sememangnya telah sedia maklum akan kegusaran kita tentang ketidaktelusan dan ketidakadilan SPR.

Titah Seri Paduka juga secara tidak langsung telah menempelak tindakan zalim dari kerajaan Barisan Nasional yang cuba menghalang hasrat rakyat untuk mendapat perhatian Baginda. Titah Seri Paduka juga turut menghendik salah laku kerajaan Barisan Nasional yang menyalahguna kuasa dan pentafsiran undang-undang secara salah oleh pelbagai pihak dan agensi kerajaan. Lebih memalukan, Baginda turut menasihatkan kerajaan di bawah Perdana Menteri agar lebih bijaksana dan adil dalam setiap tindakan yang dilakukan. Ini bermakna, Seri Paduka tidak menggemari tindakan kekerasan dan penipuan kerajaan Berisan Nasional yang dilihat kurang bijaksana dan adil dalam urusan pentadbiran kerajaan.

Titah Seri Paduka dilihat tidak menyalahkan Himpunan BERSIH yang ingin diadakan memandang himpunan ini adalah sebahagian intipati yang dibolehkan bagi sebuah negara demokrasi berparlimen, di dalam hak untuk bersuara, berkumpul dan bergerak di serata pelusuk negara. Walau bagaimanapun tidak dinafikan Seri Paduka dilihat gusar terhadap kebarangkalian buruk yang berlaku jika Himpunan BERSIH 2.0 terus diadakan. Ini memandangkan terdapat dua kumpulan pelampau yang sebelum ini dengan sengaja cuba mencetus provokasi dalam dalam menggugat Himpunan Aman yang ingin dilakukan oleh rakyat, selain oleh pihak agensi kerajaan sendiri angkuh menutup pintu rundingan selain melakukan kekerasan dan tangkapan atas alasan pencegahan walaupun secara nyata melanggar undang-undang. Ini menyebabkan titah Baginda terungkap, 'Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik.' yang bermakna Seri Paduka memahami niat baik Himpunan BERSIH 2.0 diadakan.

Secara nyata, titah Seri Paduka berkehendakkan kedua-dua pihak melakukan runding atas perkara yang berbangkit. Ketidakupayaan kedua-dua pihak untuk mengada rundingan mampu dilihat sebagai cuba mencemar saranan Seri Paduka.

Daulat Tuanku, Daulat Tuanku, Daulat Tuanku.

Allahhu Akhbar, Allahhu Akhbar, Allahhu Akhbar.