Sabtu, 6 Mac 2010

NAJIB TIDAK AKAN HADIRI MESYUARAT MCA ESOK

KUALA LUMPUR, 6 Mac — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak akan menghadiri mesyuarat agung tahunan MCA di Wisma MCA yang dijadualkan esok, demikian menurut Pejabat Perdana Menteri.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini menyebut keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pandangan pelbagai pihak dalam Barisan Nasional (BN).

Najib ialah Pengerusi BN.

Kenyataan itu menyebut MCA sewajarnya diberi peluang untuk menyelesaikan masalah dalaman parti terlebih dahulu secara bijaksana.

“Adalah diharapkan isu yang berbangkit dapat diselesaikan, seterusnya membolehkan barisan kepimpinan MCA mendapat mandat yang baru daripada para ahli,” menurut kenyataan itu.

Menurut Setiausaha Agung MCA Datuk Wong Foon Meng dalam sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Pusat (CC) MCA semalam, Najib dijadualkan merasmikan mesyuarat agung parti itu. — Bernama

Tiada ulasan: