SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat UMNO dan Barisan Nasional (BN) mungkin akan mengalami nasib sama seperti Parti Liberal Demokratik (LDP) Jepun yang ditolak rakyat negara itu.
Beliau berkata, situasi politik yang berlaku dalam UMNO dan BN dilihat seakan-akan mengikut jejak langkah negara Jepun dan tidak mustahil pilihan raya akan datang, fenomena yang sama turut berlaku.
Menurutnya, parti-parti yang berjuang dan mencapai kemerdekaan di beberapa negara lain, telah hilang begitu saja seolah-olah rakyat di negara itu tidak tahu berterima kasih dan tidak peduli ‘perjuangan dan pengorbanan’ parti-parti itu dan pemimpinnya.
“Saya begitu hairan, tidakkah mereka tahu mengucapkan terima kasih? Apa yang saya lihat, ada kebenaran dan kesahihannya kerana mendapati sikap pejuang kemerdekaan itu dan mereka yang menggantikan pejuang kelihatan berubah hampir sepenuhnya,” katanya dipetik dalam blognya, semalam.
Tsunami revolusi pilihan raya di Jepun 30 Ogos lalu, menyaksikan kemenangan Parti Demokratik Jepun (DPJ) menyingkirkan pemerintahan Parti Liberal Demokratik (LDP) di negara itu sejak Perang Dunia Kedua.
Kehancuran kuasa LDP itu menyaksikan DPJ memenangi 308 dari 480 kerusi parlimen negara itu.
Dr Mahathir berkata, mereka menjadi tamak dan angkuh serta tidak lagi mempedulikan negara dan rakyat.
Walaupun menyatakan bahawa pengundi Melayu begitu setia kepada BN, Dr Mahathir mengingatkan bahawa wujudnya bukti pada pilihan raya umum tahun lalu pengundi setia memberikan undi kepada pembangkang.
Sementara itu, Dr Mahathir berkata, gejala yang melanda parti itu tidak boleh dinafikan lagi.
“Rasuah semakin menjadi-jadi dalam UMNO dan parti-parti komponen (BN) yang lain.
“Dengan adanya pemimpin sedemikian, negara dan rakyat diabaikan. Pada dekad lepas, walaupun berdegar-degar dengan cakap-cakap bahawa berbilion ringgit diperuntukkan kepada koridor dan sebagainya, tidak ada bukti yang ketara dan boleh dilihat.
Berkenaan parti komponen BN, Dr Mahathir berpendapat, BN hanya boleh diselamatkan jika prestasi pembangkang lemah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan