Gambar hiasan
PM tidak ubah macam ahli nujum dan ahli silap mata apabila cuba memberikan suatu ramalan yang semua pihak diminta membayangkannya sekalipun ia berbentuk sindiran, kiasan, teka-teki, bidalan dan lain-lain.
Begitulah senario politik dalam negara ini. Terlalu mahal buat PM untuk berkongsi dengan rakyat tarikh PRU13. Dibiarkan rakyat berteka-teki mencari tarikh penting negara itu. Seolah-olah PRU adalah hak peribadi PM, dan rakyat tidak berhak mengetahui apa-apa. Tahu-tahu sahaja sudah bubar parlimen dan akan mengundi selepas itu.
PM menganggap November bulan istimewa kerana angkanya, yang hakikatnya tidak ada apa yang istimewanya kepada rakyat biasa, kerana sudah beberapa kali tarikh 11 itu disebut, sama ada bulan 11 ataupun sebelas haribulan.
Apa yang pasti, bulan November akan menjanjikan kesukaran buat semua rakyat jika PM bertegas mahu mengadakan PRU pada bulan tersebut.
Meskipun musim haji tamat pada akhir bulan Oktober, namun ramai yang masih belum pulang ke tanahair di awal November. Umat Islam akan pulang sepenuhnya menjelang pertengahan atau akhir bulan November nanti.
Jika Datuk Seri Najib membubarkan Parlimen awal bulan November, maknanya sebahagian umat Islam tidak dapat bersama semasa penamaan calon dan sewaktu berkempen. Mereka hanya mampu turun untuk mengundi sahaja, itupun jika diadakan akhir bulan November atau awal bulan Disember.
Di bulan November juga adalah musim peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) berlangsung. Dalam keadaan semua dewan sekolah akan digunakan untuk peperiksaan tersebut serta para guru sibuk dikerah menjaga peperiksaan, bagaimana PM akan menggunakan ruang untuk proses pengundian?
Adakah PM mahu menganjak tarikh peperiksaan SPM dan STPM ke bulan lain selain November?
November juga, adalah musim tengkujuh bagi negara ini. Meskipun ia bukan agenda yang ditetapkan oleh insan, namun PM harus memahami tabiat alam negara ini serta banjir yang akan melanda di beberapa buah negeri.
Apakah rakyat akan terpaksa berperahu untuk ke pusat pengundian, dan meredah banjir untuk berkempen?
Sebenarnya, asas yang paling baik diadakan PRU13 adalah ruang masa yang cukup selesa buat rakyat seluruhnya, bukan untuk PM dan Umno-BN.
Mentaliti ini harus diubah dan PM perlu mengerti bahawa PRU bukan hak mutlak beliau semata-mata. PRU adalah hak semua rakyat untuk menunaikannnya. Menafikan segelintir pihak hanya kerana mahu menjaga ‘keselesaan’ PM adalah suatu kezaliman terhadap hak rakyat.
Justeru, tidak ada perkara yang paling utama melainkan PM perlu berterus terang kepada rakyat dan membentangkan tarikh cadangan PRU13 kepada rakyat. Anjakan PRU13 ke bulan Mac 2013 sehingga ke akhir penggal kerana ketika itu semua pihak telah bersedia menerimanya. mkini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan