Rabu, 26 September 2012

GARA-GARA SLOGAN 'JANJI DITEPATI' SANGGUP PONTENG SOLAT JUMAAT

KUANTAN - Dua anggota polis dari salah sebuah balai di Raub sanggup  ponteng solat Jumaat hanya kerana RM300 yang dijanjikan seorang pesalah jalan raya  sebagai balasan kerana melepaskan lelaki itu setelah ditahan dalam satu sekatan jalan raya kerana memandu kereta dengan cukai jalan tamat tempoh, kelmarin.

Anggota berpangkat Konstabel dan Lans Koperal berusia 26 dan 56 tahun itu datang menemui  lelaki berusia  37 tahun di salah sebuah restoran di pekan Dong Raub kira-kira jam 1.20 tengah hari Jumaat lalu tanpa menyedari pertemuan itu turut disertai beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Lebih mengejutkan, pengadu dalam kes ini memaklumkan, dia mempunyai pertalian keluarga dengan salah seorang anggota polis terbabit namun mereka  sanggup mengambil kesempatan meminta suapan  daripadanya.

Sumber SPRM memaklumkan, dua anggota polis itu merampas kad pengenalan pengadu dan hanya  akan menyerahkan dokumen itu setelah ‘mangsa’ menjelaskan wang yang diminta.

Berdasarkan maklumat yang diterima, beberapa pegawai dari SPRM daerah Raub membuat pemantauan di restoran terbabit  sebelum mendapati pertemuan dan perbuatan menerima rasuah itu benar-benar berlaku.

Berdasarkan bukti yang ada, dua anggota terbabit ditahan pegawai SPRM untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 sebelum dibebaskan dengan jamin RM1,000 setiap seorang.

Sumber memaklumkan, kes tersebut masih dalam siasatan dan tindakan pendakwaan akan diambil setelah semua proses dilengkapkan.

Pengadu dalam kes ini difahamkan ditahan dalam satu sekatan jalan di kampung Sega, Raub kira-kira jam 4.30 pagi 17 September lalu.

Hasil pemeriksaan mendapati cukai jalan kereta jenis Proton Saga model lama yang dipandunya sudah tamat tempoh dan terpaksa ditahan untuk tindakan.

Bagaimana pun, dua penjawat awam itu cuba mengambil kesempatan meminta suapan sebagai dorongan melepaskan lelaki itu daripada kesalahan yang dilakukan. Sinar

1 ulasan:

XUMNO berkata...

Padan muka.Umor dah 56 tahun masih lagi tak ingat mati. Dah terlalu biasa dengan rasuah? Itulah balasan daripada Allah...kalau didapati bersalah, kena buang kerja, masuk penjara, hilang pencen dan gratuiti.Tabik kepada SPRM Raub.