Jumaat, 6 Januari 2012

PERHIMPUNAN 901 DIBENARKAN: TENTUKAN TIADA PROVOKASI DARI POLIS

Polis telah membenarkan Pakatan Rakyat meneruskan perhimpunan ‘Bebaskan Anwar' di tempat letak kereta perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, Isnin ini.

Keputusan itu dicapai selepas kedua-dua pihak bermesyuarat selama sejam dengan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Walaupun timbalan presiden PKR Azmin Ali yang mengetuai rombongan parti itu, namun beliau tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan sehingga sidang akhbar jam 3 petang nanti.

Sebaliknya, perkara tersebut diumumkan oleh Ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Md Akin dalam laman twitternya yang berbunyi:

"Persetujuan dicapai dgn @PDRMsia utk perhimpunan solidariti utk @anwaribrahim 901 di kawasn letak kereta Kompleks Mahkamah KL. Jom turun".

Azmin pada sidang akhbarnya sekadar berkata keputusan perbincangan dengan polis hari ini "positif".

Bagaimanapun katanya, beliau akan mengumumkan hasil perbincangan secara terperinci pada sidang medianya pada jam 3 petang ini.

Walaupun diasak bertubi-tubi, beliau enggan mendedahkan butiran terperinci hasil perbincangan berkenaan.

"Keputusannya positif, saya gembira dengan (hasil) perbincangan pagi ini, kerana polis menunjukkan kesediaan untuk berbincang dengan parti-parti politik.

"Mereka mengambil sikap terbuka demi untuk menjamin keamanan rakyat," katanya sambil mengharapkan perhimpunan tersebut berjalan dengan aman dan teratur.

Azmin juga menegaskan bahawa pihaknya menyerahkan kepada pihak polis untuk menjaga keamanan dan mampu mengatasi sebarang provokasi daripada pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Saya percaya polis mengambil langkah-langkah sewajarnya... Kita juga berbincang tentang program kita secara teliti dengan polis. Kita amat berpuas hati," katanya.

Menurutnya lagi, perhimpunan tersebut adalah untuk mrnunjukkan solidariti bagi membebaskan Anwar daripada fitnah.

"Ia bukan protes, tapi solidariti kepada Datuk Seri Anwar," katanya.

Sementara itu, Datuk Mohmad Salleh yang ditemui wartawan selepas mengadakan pertemuan itu mengesahkan pihak polis Kuala Lumpur membenarkan perhimpunan itu dengan dengan syarat ia berlangsung dalam keadaan aman dan teratur.

"Penganjur mesti memastikan perhimpunan itu dijalankan secara aman dan tidak mengganggu ketenteraman awam," katanya.

Semalam Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar memberi kelonggaran kepada penyokong Anwar untuk mengadakan perhimpunan di lokasi lain tetapi bukan di kawasan Kompleks Mahkamah, Jalan Duta.

Tiada ulasan: