Khamis, 12 Januari 2012

SHAHRIZAT CUTI 3 MINGGU, SIAPA YANG AKAN JAGA LEMBU

SHAH ALAM - Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Jalil telah memohon cuti tiga minggu bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat sama ada beliau terlibat dalam sebarang keputusan kerajaan berkenaan projek ternakan lembu NFC.

Cuti rehat selama tiga minggu daripada menjalankan tugas sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan bermula esok.

Shahrizat juga merupakan Ketua Wanita Umno.

Dalam satu kenyataan hari ini, Shahrizat berkata, beliau telah mengemukakan permohonan itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya berharap pihak SPRM akan dapat menjalankan siasatan sama ada saya terlibat atau tidak di dalam apa-apa keputusan yang dibuat oleh kerajaan mengenai National Feedlot Corporation (NFC) di mana suami saya Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail memegang jawatan sebagai Pengerusi Eksekutif," katanya dipetik laporan Bernama.

Shahrizat berdepan isu NFC, yang diterajui Dr Mohamad Salleh, apabila Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada Oktober lepas menyatakan NFC gagal memenuhi matlamat penubuhannya.

Isu itu semakin panas berikutan dakwaan pembangkang kononnya wujud penyelewengan peruntukan kerajaan berjumlah RM250 juta yang disalurkan kepada NFC.

Ia kemudian dibangkitkan oleh PKR menerusi pendedahan secara bersiri.

NFC ialah projek 'Lembah Daging' di Gemas, Negeri Sembilan bagi meningkatkan pengeluaran daging tempatan dan mengurangkan pergantungan negara terhadap daging import. sinarharian

Tiada ulasan: