Khamis, 10 Jun 2010

JUDI BOLA HARAM KAUT 1 BILION

Belum pun bermula kejohanan bola sepak terbesar Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mengenal pasti empat sindiket besar di negara ini yang turut didalangi individu berpangkat Datuk menganjurkan pertaruhan secara haram.

Sindiket itu dikesan mampu mengaut keuntungan mencecah RM1 bilion sepanjang kempen Piala Dunia berlangsung selama sebulan.

Kegiatan sindiket itu dikesan pasukan khas yang ditubuh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, khusus bagi menangani kegiatan pertaruhan haram dalam operasi yang dikenali sebagai ‘Ops Soga’.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, pihaknya kini giat menjalankan risikan terhadap sindiket itu dan memberi jaminan akan menentang kegiatan pertaruhan haram tersebut habis-habisan.

“Polis memberi amaran tegas kepada semua ‘bookie’ bola sepak menjelang Piala Dunia 2010 tidak lama lagi bahawa kami sudah bersiap sedia untuk menggempur kamu semua.

“Pasukan khas telah bertungkus lumus membuat risikan sejak April lalu dan telah mengenal pasti sindiket-sindiket utama yang bakal menerima pertaruhan bola untuk Piala Dunia ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Menurut Mohd. Bakri, risikan pihaknya mendapati, beberapa sindiket berkenaan merupakan kumpulan yang pernah ditumpaskan satu ketika dulu, namun kembali bergiat aktif dengan ‘mengubah suai’ dan ‘menambah baik’ modus operandinya bagi mengelak daripada dikesan.

Tambahnya, sindiket-sindiket tersebut adalah antara terbesar di negara ini yang mana kemunculannya bukan saja untuk Piala Dunia, tetapi juga aktif menerima pertaruhan perlawanan bola sepak liga luar negara pada setiap hujung minggu.

“Polis juga telah menjalinkan kerjasama dengan polis antarabangsa (Interpol) untuk menyiasat sama ada mereka ini ada kaitan dengan rangkaian sindiket pertaruhan bola antarabangsa,” ujar beliau.

Dalam pada itu, polis juga menjangkakan trend kaki judi meminjam ‘ah long’ akan meningkat sepanjang Piala Dunia berlangsung, justeru kegiatan ceti haram itu turut diberi tumpuan pasukan khas.

“Aktiviti pertaruhan memerlukan sumber kewangan dan sudah pasti ‘ah long-ah long’ akan mengambil kesempatan mencari mangsa-mangsanya,” jelas Mohd. Bakri yang tidak menolak kemungkinan ada bookie besar terlibat sebagai ‘ah long’.

Beliau sendiri mengakui usaha memerangi kegiatan judi bola haram kini sukar dilakukan berbanding sebelum ini kerana wujudnya trend membuat pertaruhan secara dalam talian (online).

Katanya, keadaan itu akan menimbulkan kesukaran kepada polis untuk mengesan dalang-dalang itu, selain menghadapi masalah mengumpul bukti kukuh untuk mendakwa mereka.

Menurut Mohd. Bakri, untuk tujuan itu, polis telah mendapatkan kerjasama daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk merancang strategi menangani pertaruhan bola secara online.

Tiada ulasan: