Rabu, 13 Januari 2010

SEMAK SEBELUM MELABUR - SSM

Orang ramai dinasihati menyemak senarai syarikat yang menawarkan skim pelaburan dengan agensi kerajaan dalam bidang berkaitan bagi mengelak daripada ditipu, kata Pengarah Kanan Penguatkuasaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Muhammad Redzuan Abdullah.

Beliau berkata, jika sesebuah tawaran pelaburan berkaitan bidang pertanian, pelabur dan pengusaha boleh merujuk pejabat-pejabat pertanian untuk mendapatkan pengesahan terlebih dahulu tentang kemajuan dan kemampuan syarikat tersebut beroperasi.

Muhammad Redzuan berkata, langkah itu penting bagi mengelak kejadian seperti yang berlaku terhadap 3,000 pelabur penternakan cacing di Kulim, Kedah yang kerugian lebih RM25 juta, berulang.

Beliau memberitahu, SSM tidak boleh melakukan penyiasatan dan mengganggu operasi sesebuah syarikat selagi tiada dakwaan rasmi dibuat.

“Bagaimanapun, untuk kes ini, SSM segera membuat penyiasatan, dan jika sabit kesalahan, penganjur skim itu, Kulim Worms Agrotech (KWA)(M) Sdn Bhd, boleh didakwa mengikut akta syarikat, sekali gus dikenakan denda atau dipenjara,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang tahun lepas, SSM berjaya menyelesaikan 30 daripada 61 aduan yang melibatkan 161 jenis pelaburan skim berkepentingan iaitu yang mirip dengan pelaburan penternakan cacing.

Muhammad Redzuan berkata, kes-kes penipuan berlaku kerana sesebuah syarikat yang berdaftar dengan SSM tidak melaporkan aktiviti operasi perniagaan sebagai proses pemantauan.

“Bukan kita yang sepatutnya bertanggungjawab memantau sesebuah syarikat, namun kita boleh mengenakan hukuman jika mendapati ada syarikat yang melanggar undang-undang yang diperuntukan mengikut akta SSM,” katanya.

Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) Datuk Roseley Khalid dalam kenyataan semalam berkata, kementerian itu menyediakan senarai nama syarikat yang berkemampuan menawarkan pakej latihan dan berupaya memasarkan suatu produk.

Beliau berkata, Jabatan Pertanian tidak terlibat dengan mana-mana wakil syarikat pelaburan tetapi hanya memberikan khidmat nasihat teknikal bagi membantu pengusaha mengurangkan kos pengeluaran.

Dalam laman web MOA, tersenarai 58 usahawan dan syarikat yang dipantau oleh kementerian itu. Sumber

Tiada ulasan: