KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Kumpulan dikenali sebagai "kuasa ketiga" dalam MCA pada Jumaat meminta Datuk Seri Najib Tun Razak campur tangan untuk menyelesaikan krisis kepimpinan parti itu yang masih berlarutan.
Jurucakap kumpulan itu, Datuk Tan Kah Choun, mencadangkan agar Perdana Menteri selaku Pengerusi BN, bertemu dengan 11 tokoh veteran parti itu untuk sama-sama mencari jalan penyelesaian.
"Demi megembalikan imej Barisan Nasional, saya dengan ikhlas berharap Datuk Seri Najib berbincang dengan 11 tokoh ini yang terdiri sama ada bekas presiden atau timbalan presiden MCA," katanya pada satu sidang akhbar di sini Jumaat.
Mereka ini terdiri Tun Dr Lim Chong Eu, Tan Sri Lee San Choon, Tan Sri Michael Chen Wing Sum, Datuk Dr Neo Yee Pan, Datuk Mak Hon Kam, Tan Koon Swan, Tun Dr Ling Liong Sik, Tan Sri Lee Kim Sai, Tan Sri Lim Ah Lek, Tan Sri Ong Ka Ting dan Tan Sri Chan Kong Choy.
Najib pernah berkata beliau tidak akan campur tangan melainkan diminta oleh MCA kerana tidak mahu Umno disalah anggap sebagai cuba mencampuri urusan parti lain. Naib Presiden MCA Datuk Seri Kong Cho Ha dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dilaporkan pernah mencadangkan agar Najib membantu menyelesaikan krisis itu.
Tan, yang juga pengerusi MCA cawangan Rasa Jaya di Selangor, malah mencadangkan agar Najib mendapatkan pandangan Tun Dr Mahathir Mohamad memandangkan bekas perdana menteri itu pernah menangani tiga krisis dalaman MCA sebelum ini.
"Tidak kira siapa menjadi presiden atau timbalan presiden asalkan MCA dapat terus bergerak dengan kuat, bersatu dan aman," katanya.
Beliau berharap semua pihak yang bertelagah supaya menerima pelan perdamaian yang melibatkan presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat dan timbalan presiden Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan menolak satu mesyuarat agung luar biasa yang dicadangkan oleh sekumpulan anggota Jawatankuasa Pusat MCA 28 Nov ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan