Memaparkan catatan dengan label IBRAHIM ALI. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label IBRAHIM ALI. Papar semua catatan

Jumaat, 30 Ogos 2013

KENAPA SALAHKAN SAYA - BERAHIM ALI

KUALA LUMPUR: Bagai retak menanti belah, begitulah kesimpulan yang boleh diandaikan antara Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dengan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali.

Permusuhan kedua-dua pemimpin itu tidak dapat diselindungkan lagi apabila mereka saling tuduh menuduh.
Khairy dalam kenyataan balasnya terhadap Ketua Wira Perkasa, Irwan Fahmi Ideris yang menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan, cuba menyalahkan Ibrahim dalam hal itu.

“Presiden anda (Ibrahim Ali) pun sudah kalah dalam pilihan raya lepas tu perasan nak minta Perdana Menteri letak jawatan,” katanya kepada pemberita di majlis Jamuan Raya Aidifitri Kementerian Belia dan Sukan di Bukit Kiara, di sini, pada Rabu lalu.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, Irwan Fahmi perlu tahu kedudukannya terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana kapasitiya yang hanya ketua sayap kepada sebuah badan bukan kerajaan (NGO), dan bukan parti politik.

“Anda perlu tahu kedudukan anda dulu. Apa Pemuda Perkasa ini? Saya rasa dia (yang) patut letak jawatan dulu. Siapa dia nak minta Perdana Menteri letak jawatan?,” kata Khairy dengan emosi.
Ibrahim ketika dihubungi Malaysiagazette melahirkan rasa terkejut dengan sikap Khairy yang melenting tidak tentu pasal.

“Kenapa tiba-tiba Khairy serang saya dan menghina saya yang kalah dalam pilihan raya umum lalu? Kenyataan Ketua Wira itu tidak ada kena mengena dengan Perkasa. Ia kenyataan yang ditulis dalam blog peribadinya.

“Dia sepatutnya menghentam Irwan Fahmi, bukan menghina saya. Lagipun, saya kalah di Pasir Mas (Parlimen) kerana saya bukan menantu (Khairy) bekas Perdana Menteri (Tun Abdullah Ahmad Badawi),” katanya.

Menurut Ibrahim, beliau hanya orang kampung yang tidak berduit berbanding Ketua Pemuda UMNO itu yang menang dalam PRU 13 di Parlimen Rembau kerana statusnya sebagai menantu bekas Perdana Menteri.

Namun katanya, kenyataan Khairy itu secara tidak langsung telah menunjukkan kepada rakyat bahawa dia yang selama ini dikatakan bijak dan berilmu rupanya seorang yang emosional.

Ibrahim kemudian mendedahkan, Khairy pernah meminta pertolongannya supaya menjadi saksi bagi kes saman Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadapnya suatu ketika dahulu.

“Manusia jenis apa ni? Masa susah cari saya, bila dah senang hina saya? Lupakah dia pernah minta tolong saya ketika berhadapan dengan saman Anwar?,” katanya yang menyifatkan Khairy sebagai angkuh selepas dilantik menteri dan disebabkan dia menantu bekas Perdana Menteri. - MalaysiaGazette

Rabu, 21 Oktober 2009

BERAHIM KATAK - JENIS MUKA TEMBOK...

KUALA LUMPUR, 21 Okt : Sungguhpun merasakan tidak ada keperluan untuk menghantar borang menyertai Umno, Datuk Ibrahim Ali mengakui walaupun sebagai Ahli Parlimen bebas namun beliau cenderung untuk menyokong Umno.

Dakwanya, ini kerana Umno semakin terbuka dan kukuh di bawah pemerintahan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin sekaligus berjaya membawa banyak perubahan.

Sambil menyambut baik kenyataan Muhyiddin berhubung menerima sesiapa sahaja menyertai parti itu, beliau menyatakan tidak akan masuk parti itu buat masa ini.

"Saya tidak mahu dituduh masuk sewaktu Umno kini kuat dan dituduh ada kepentingan peribadi ataupun kejar pangkat kuasa.

"Buat masa ini tidak ada keperluan untuk saya hantar borang menyertai Umno," katanya sewaktu sidang media di Lobi Parlimen tengah hari tadi.

Ditanya tentang kedudukan dan sebab-sebab beliau bertanding dengan bantuan sokongan PAS pada pilihan raya umum ke -12 di Parlimen Pasir Mas itu, beliau menyatakan bahawa parti itu memerlukan 'pertolongannya' ketika berada dalam keadaan lemah.

"Barangkali ketika itu PAS merasakan partinya lemah, jadi mereka menghulurkan tangan kepada saya untuk meminta bantuan," katanya yang turut membidas parti yang pernah 'menolong' beliau itu sebagai 'tidak mahu menerima' pendapat orang lain.

Baginya, beliau merupakan seorang yang sudah lama berjuang dalam bidang politik dan tidak tunduk kepada mana-mana pihak ataupun boleh diperalatkan oleh sesiapa untuk kepentingan tertentu.

"Saya boleh hidup di padang pasir, saya boleh hidup di kaki gunung kerana saya orang yang berjuang..." katanya yang berulang kali memuji Najib dan Muhyidin yang pada pandangannya terlah berjaya mengubah perjuangan Umno.

Beliau mengadakan sidang media itu untuk menyatakan pendiriannya berhubung pelbagai spekulasi tentang kermasukannya ke dalam Umno semula.

Sebelum ini Pergerakan Pemuda Umno Kelantan meminta Majlis Tertinggi (MT) parti itu membuat penilaian terperinci sebelum menerima semula kemasukan bekas Ketua Umno bahagian Pasir Mas bagi mengelak "pisang berbuat dua kali".

Setiausaha Pemuda Negeri, Bazlan Baharuddin dilaporkan berkata apa yang dialami oleh parti sebelum ini cukup menyedarkan apabila Anggota Parlimen Pasir Mas itu sanggup menentang calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil 2005.

"Dia sanggup tentang BN, kerana tidak terpilih (dicalonkan), pilihan raya kecil lepas sekali lagi dia tentang calon BN menggunakan lambang PAS," katanya yang dipetik daripada agensi berita.

Sementara itu, turut mengulas ialah Dewan Pemuda PAS Kelantan yang tidak akan menghalang Ibrahim Ali untuk menyertai semula Umno kerana menyedari pemimpin berkenaan tidak berprinsip.

Ketuanya, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman, berkata sekiranya anggota Parlimen itu berprinsip, beliau akan melepaskan jawatan terlebih dahulu sebelum menyertai Umno.

"Anggota Parlimen itu kini sudah tidak bernilai lagi kepada kita berikutan tindakan yang tidak berprinsip serta tidak bertanggungjawab kepada kita selepas pihak parti memberi kepercayaan kepadanya,"ujarnya lagi.