Memaparkan catatan dengan label adun katak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label adun katak. Papar semua catatan

Isnin, 26 Oktober 2009

BERAHIM ALI PERASAAN ADA ORANG GELAR DIA KATAK

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali mempersoalkan mengapa beliau sahaja yang digelar 'katak' sedangkan menurutnya ramai lagi pemimpin politik yang turut melompat parti.

Beliau bagaimanapun mengakui pernah menganggotai banyak parti - Berjasa, Umno, Parti Semangat 46 (S46) dan kini menjadi wakil rakyat Bebas.

"Kalau dibandingkan dengan orang lompat parti, ada setengahnya lima enam tujuh parti.

"Tengok di Sabah berapa ramai... tidak ada pemimpin Sabah yang tidak lompat parti," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini Jumaat lalu.

Malah, katanya, pemimpin besar negara seperti bekas Perdana Menteri, Tun Hussein Onn juga pernah keluar Umno apabila Datuk Onn Jaafar keluar dari Umno, dan beliau (Hussein) kembali semula ke pangkuan Umno.

"S46 masuk balik Umno. Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Abim (Angkatan Belia Islam Malaysia) menentang kerajaan, masuk Umno, kemudian keluar (Umno) tubuh (parti) Keadilan, mengapa tidak disebut lompat (katak)?" soalnya.

Katanya, begitu juga dengan pemimpin seperti Marina Yusof, Datuk Asri Muda, Hassan Adli dan ramai lagi.

'Sama saja...'


"Kenapa saya...kalau lompat (digelar) lontong, monyet, kera... tapi orang lain berapa ramai, Datuk Rais Yatim (Umno-S46-Umno) dan Datuk Shabery Cheek (S46-Umno)," katanya.

Rais dan Shabery kini merupakan anggota kabinet dalam pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Sama saja... tapi buruknya Ibrahim Ali... tapi buruk Ibrahim Ali pun tidak ada rekod rasuah dan penyelewangan.

"Saya pegang banyak jawatan juga - pengerusi LKIM, lembaga pengarah KESEDAR, dalam Pernas - adakah orang kaitkan Ibrahim Ali dengan 'ikan kaloi'?... tak ada ... Ibrahim Ali dikaitkan dengan balak?... tak ada...mana (ada)..

"Alhamdullah, kalau dapat pertahan diri 30 tahun jadi pemimpin politik yang tidak dikait dengan rasuah dan penyelewengan kuasa, kira okaylah. Jadi tengoklah kebaikan saya....saya pun berjuang untuk bangsa dan negara juga," katanya.

Ibrahim berkata, antara sumbangan besarnya ialah perjuangan menaikkan taraf Institut Teknologi Mara (ITM) menjadi universiti.

Katanya, orang lupa bahawa pada 1972, diploma ITM hanya diiktiraf sama dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Tunjuk perasaan


"Ringkas cerita, (semasa) saya menjadi setiausaha agung dan kemudiannya presiden Persatuan Siswa ITM pada 1972,buat memorandum desak kerajaan.

"Pada 22 April (1972), berlaku tunjuk perasaan besar. ITM ditutup dan Tun Abdul Razak Hussein masih menjadi perdana menteri, sehinggalah kita buat rundingan penyelesaian sebahagian daripada diploma ITM pada masa itu diiktiraf setaraf dengan ijazah am di universiti-universiti lain.

"Siapa punya kerja... untuk orang Melayu, untuk Islam. Yang berpekik melolong kata kat Ibrahim Ali tu apakah sumbangan mereka?" soalnya lagi.

Namun, kata Ibrahim, perjuangannya tidak berhenti setakat ini sahaja dan selepas dibebaskan dari tahanan ISA, beliau menyertai politik pada tahun 1981.

"(Semasa) menjadi exco Pemuda Umno, saya lantang balik (mendesak) supaya diadakan fakulti perubatan di ITM untuk orang Melayu dan orang Islam, kerana saya tengok inilah gedung ilmu untuk tingkatkan martabat orang Melayu.

"Bila jadi ahli parlimen mulai 1986, setiap kali saya bahaskan perbelanjaan, saya mesti desak ITM dinaikkan (ke taraf) Universiti... saya juga bercakap dalam Majlis Tertinggi (MT) sehingga (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) kata 'kamu ni Ibrahim tak ada kerja lain... ITM universiti, ITM universiti...

"Kemudian bila saya jadi timbalan menteri pada 1997, saya kata, inilah kesempatan paling baik. Saya himpunkan 15,000 bekas siswazah ITM di Stadium Melawati. Waktu

itu Datuk Seri Najib (Tun Razak) selaku menteri pelajaran. Saya pengerusi perhimpunan. Saya berucap dan pelajar angkat kain rentang dan bendera mahukan ITM jadi universiti.

"Saya duduk di tengah-tengah, Dr Mahathir (di sebelah kanan). Perdana menteri tanya kat Datuk Seri Najib boleh tak kita isytihar ITM jadi universiti, peninglah saya dengan Ibrahim ini, itulah kata Dr Mahathir. Najib kata tak ada salah... Dr Mahathir orang yang luluskan, yang melaksanakannya Najib dan saya orang ketiga yang mendesak.

"Ini kerja katak, lutung, orang (yang didakwa) tak berprinsip... Tanyalah siswazah ITM. Tanyalah (bekas pengarah ITM), Tan Sri Arsyad Ayub, pergilah tanya...," katanya.

Sumber: malaysiakini

Rabu, 21 Oktober 2009

BERAHIM KATAK - JENIS MUKA TEMBOK...

KUALA LUMPUR, 21 Okt : Sungguhpun merasakan tidak ada keperluan untuk menghantar borang menyertai Umno, Datuk Ibrahim Ali mengakui walaupun sebagai Ahli Parlimen bebas namun beliau cenderung untuk menyokong Umno.

Dakwanya, ini kerana Umno semakin terbuka dan kukuh di bawah pemerintahan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin sekaligus berjaya membawa banyak perubahan.

Sambil menyambut baik kenyataan Muhyiddin berhubung menerima sesiapa sahaja menyertai parti itu, beliau menyatakan tidak akan masuk parti itu buat masa ini.

"Saya tidak mahu dituduh masuk sewaktu Umno kini kuat dan dituduh ada kepentingan peribadi ataupun kejar pangkat kuasa.

"Buat masa ini tidak ada keperluan untuk saya hantar borang menyertai Umno," katanya sewaktu sidang media di Lobi Parlimen tengah hari tadi.

Ditanya tentang kedudukan dan sebab-sebab beliau bertanding dengan bantuan sokongan PAS pada pilihan raya umum ke -12 di Parlimen Pasir Mas itu, beliau menyatakan bahawa parti itu memerlukan 'pertolongannya' ketika berada dalam keadaan lemah.

"Barangkali ketika itu PAS merasakan partinya lemah, jadi mereka menghulurkan tangan kepada saya untuk meminta bantuan," katanya yang turut membidas parti yang pernah 'menolong' beliau itu sebagai 'tidak mahu menerima' pendapat orang lain.

Baginya, beliau merupakan seorang yang sudah lama berjuang dalam bidang politik dan tidak tunduk kepada mana-mana pihak ataupun boleh diperalatkan oleh sesiapa untuk kepentingan tertentu.

"Saya boleh hidup di padang pasir, saya boleh hidup di kaki gunung kerana saya orang yang berjuang..." katanya yang berulang kali memuji Najib dan Muhyidin yang pada pandangannya terlah berjaya mengubah perjuangan Umno.

Beliau mengadakan sidang media itu untuk menyatakan pendiriannya berhubung pelbagai spekulasi tentang kermasukannya ke dalam Umno semula.

Sebelum ini Pergerakan Pemuda Umno Kelantan meminta Majlis Tertinggi (MT) parti itu membuat penilaian terperinci sebelum menerima semula kemasukan bekas Ketua Umno bahagian Pasir Mas bagi mengelak "pisang berbuat dua kali".

Setiausaha Pemuda Negeri, Bazlan Baharuddin dilaporkan berkata apa yang dialami oleh parti sebelum ini cukup menyedarkan apabila Anggota Parlimen Pasir Mas itu sanggup menentang calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil 2005.

"Dia sanggup tentang BN, kerana tidak terpilih (dicalonkan), pilihan raya kecil lepas sekali lagi dia tentang calon BN menggunakan lambang PAS," katanya yang dipetik daripada agensi berita.

Sementara itu, turut mengulas ialah Dewan Pemuda PAS Kelantan yang tidak akan menghalang Ibrahim Ali untuk menyertai semula Umno kerana menyedari pemimpin berkenaan tidak berprinsip.

Ketuanya, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman, berkata sekiranya anggota Parlimen itu berprinsip, beliau akan melepaskan jawatan terlebih dahulu sebelum menyertai Umno.

"Anggota Parlimen itu kini sudah tidak bernilai lagi kepada kita berikutan tindakan yang tidak berprinsip serta tidak bertanggungjawab kepada kita selepas pihak parti memberi kepercayaan kepadanya,"ujarnya lagi.

Isnin, 31 Ogos 2009

ERA NAJIB ALTANTUYA - ISTIMEWANYA JADI KATAK LUNAS



PADANG SERAI, 30 Ogos: Tekanan semakin hebat ke atas Adun Lunas, Mohd Radzhi Salleh agar beliau melepaskan jawatan Adunnya selepas keluar dari PKR menjadi Adun bebas.

Ini kerana, mereka mengundi Radzhi kerana dia bertanding atas tiket PKR bukannya bebas apatah lagi menjadi alat kepada Barisan Nasional (BN) pula.

Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan mendesak Radzhi supaya melepaskan jawatan beliau sebagai Adun Lunas kerana ianya tidak bertepatan dengan kehendak penduduk dan pengundi kawasan tersebut.

Menurut beliau pada pilihan raya umum yang lalu pengundi kawasan tersebut mengundi calon daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Justeru itu sebagai menghormati para pengundi dan penduduk kawasan yang dimenangi oleh Radzhi atas tiket PKR itu maka beliau harus mengosongkan kerusi tersebut supaya ia dipulangkan kepada pengundi dan penduduk kawasan tersebut untuk membuat pemilihan.

"Beliau telah mengkhianati kepercayaan yang telah diberikan oleh pengundi kepadanya.

"Jika beliau memang seorang yang berpendirian maka beliau akan melepaskan jawatan sebagai Adun Lunas dan memulangkan kepada pengundi dan penduduk untuk membuat keputusan samada mahu menerimanya atas tiket bebas atau sebaliknya," kata Gobala.

Lunas adalah salah Dun di bawah Parlimen Padang Serai yang diwakili Gobala.

Sementara itu Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar pula menyatakan bahawa Radzhi harus sedar dengan perkenan Tuanku Sultan Kedah untuk menggugurkan beliau sebagai Exco sudah jelas membuktikan kemurkaan Tuanku dengan perbuatan beliau.

"Saya yakin keputusan yang telah diambil oleh Tuanku Sultan untuk menggugurkan Radzhi daripada jawatan Exco adalah untuk menjaga nama baik istana. Radzhi sepatutnya faham mesej yang ingin disampaikan oleh Tuanku kepada beliau.

"Pada waktu yang sama selepas beliau dilucutkan daripada jawatan Exco maka pada ketika itu juga Radzhi sepatutnya melepaskan jawatan sebagai Adun Lunas.

"Saya juga yakin majoriti daripada pengundi dan penduduk yang diwakili beliau itu mahukan kerusi Lunas dikosongkan selepas kemenangan beliau dalam pilihan raya umum yang lalu adalah atas tiket PKR dan bukannya Bebas."

Radzhi sebelum ini mengambil keputusan keluar dari PKR setelah mendakwa hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti dan menjadi Adun Bebas.

Rentetan daripada itu beliau kemudian telah dilucutkan jawatan sebagai Exco Pelancongan, Pembangunan Masyarakat dan Sumber Tenaga Manusia oleh Tuanku Sultan Kedah.