Rabu, 2 Februari 2011

MERLIMAU - BERSEDIA DENGAN LIMPAHAN PROJEK DAN BANTUAN SEGERA

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengadakan lawatan sehari ke Merlimau pada 19 Feb depan untuk meninjau kemajuan pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata antara aturcara sempena lawatan Perdana Menteri ialah merasmikan pecah tanah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jasin, yang dibangunkan dengan anggaran kos RM300 juta di atas tanah milik Yayasan Melaka.

Beliau juga dijadual melakukan pecah tanah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) Merlimau, melakukan tinjauan mesra di Pekan Merlimau dan pada sebelah malamnya menghadiri jamuan rakyat serta jamuan Tahun Baru Cina di pekan itu.

Sempena lawatan itu, Najib, yang juga pengerusi BN akan mendengar taklimat persediaan pilihan raya kecil DUN Merlimau, kata Mohd Ali kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan, di Seri Bendahara di Melaka hari ini.

Pilihan raya kecil DUN Merlimau akan diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan daripada BN pada 20 Jan lepas akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi pilihan raya itu pada 26 Februari manakala hari pengundian pada 6 Mac jika ada pertandingan.

Mohd Ali berkata lebih banyak kawasan industri baru akan dibangunkan di DUN Merlimau, antaranya di Lipat Kajang bagi pembangunan lebih pesat.

Mengulas mengenai pilihan raya di DUN berkenaan, beliau berkata Merlimau merupakan kubu kuat BN sejak dahulu dan menyaksikan banyak pembangunan.

"Saya juga percaya sentimen pengundi di DUN itu kuat dan berada dalam mood yang baik untuk terus menyokong BN kerana banyak jasa ditinggalkan oleh Allahyarham Mohamad Hidhir untuk pembangunan Merlimau," katanya.

Pada pilihan raya umum 2008, Mohamad Hidhir menewaskan calon PAS Jasme Tompang dengan majoriti 2,154 undi.

DUN itu mempunyai 10,679 pengundi pendaftar. - Bernama

Tiada ulasan: